Tuesday, October 6, 2009

ULASAN BUKU "Hati Yang Terusik"

Buku yang saya kaji ialah sebuah novel yang bertajuk “hati yang terusik” yang ditulis oleh Nia Azalea terbitan Alaf 21 Sendirian Berhad. Pada kali pertama melihat kulit buku yang menarik ini telah mendorong saya untuk lebih berminat mengetahui lebih mendalam apa yang ingin disampaikan oleh penulis dalam bukunya. Walaupun buku ini merupakan sebuah buku cinta tetapi terdapat unsur lain yang diketengahkan oleh penulis iaitu pengajaran hidup, penghormatan antara manusia dan perbezaan tahap kelas sosial. Sinopsis buku yang di perlihatkan oleh penulis di belakang kulit buku banyak menjadi persoalan atau tanda tanya yang dapat mendorong pembaca untuk mengetahui lebih lanjut jalan cerita dan kesudahan ceritanya.

Jalan cerita yang mempunyai pelbagai konflik emosi, pengajaran serta keteguhan pendirian seseorang membuatkan buku ini lebih menarik dan mampu mencungkil realiti cerita kehidupan yang sebenarnya. Hal ini menjadi faktor utama buku ini menjadi sebuah cerita yang menarik. Daripada seorang yang daif terhadap agama Islam kepada seorang wanita yang muslimah yang mampu menghadapi pelbagai cabaran menyebabkan cerita ini banyak keistimewaannya. Pergolakkan rumah tangga dan masalah kewangan turut mengisi inti penceritaan buku ini.

Selain itu, kepelbagaian idea yang timbul dalam penulisan ini juga mampu membuatkan pembaca lebih berminat untuk terus membaca jalan cerita buku ini dengan kadar yang kerap tanpa jemu. Plot cerita yang ada turun naiknya serta tahap kemuncak cerita yang panas atau bergolak membuatkan pembaca melihat bahawa penulis banyak mengembangkan idea penulisannya untuk menjadi lebih menarik dan tidak hanya menggunakan plot yang mendatar.

Dalam penelitian yang telah dibuat hasil daripada pembacaan novel ini mendapati bahawa novel ini sangat menarik dan menepati gaya penulisan kreatif yang sebenar. Beberapa aspek telah dikenalpasti menarik perhatian pembaca apabila membaca novel ini iaitu dari segi gaya bahasa, teknik penceritaan dan penyampaian isi.

Sebab-sebab meminati gaya bahasa dalam novel yang dipilih.

Perkara pertama yang sangat menarik mengenai hasil pembacaan buku novel ini ialah jalan ceritanya yang hampir dengan jiwa pembaca atau lebih jelas bersesuaian dengan fenomena dunia remaja sekarang iaitu dunia percintaan. Bunga-bunga bahasa yang digunakan oleh penulis mampu meruntun emosi atau perasaan pembaca yang sangat berminat dengan alam fantasi atau khayalan dengan dunia percintaan. Motif yang ingin disampaikan sangat dekat dengan jiwa pembaca yang diibaratkan seperti peristiwa yang benar-benar berlaku.

Selain itu, teknik penceritaan atau teknik plot yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu cerita atau kisah itu sangat menarik dan tidak membosankan pembaca. Dalam buku ini, banyak kaedah yang digunakan oleh penulis sangat menarik dan menjadi pelengkap kepada jalan cerita ini iaitu teknik imbas kembali. Penulis tidak hanya menulis berdasarkan cerita yang sedang berlaku dan cerita pada masa depan malah turut mengimbas kembali cerita yang pernah berlaku bagi mengingatkan semula kenangan atau pengalaman yang berlaku terhadap watak dalam cerita. Sebagai contohnya:

Kemalangan ngeri yang dialaminya enam bulan lalu telah menyebabkan kedua-dua belah kaki Vincent Tan dipotong. Walaupun pergerakannya terbatas, namun dia tetap mengambil berat soal syarikat.

Gaya penulisan seperti ini sangat menarik kerana dapat mengingatkan pembaca keadaan sukar atau bahagia dalam hidup yang pernah dialami oleh watak. Teknik imbas kembali ini mampu mengimbau kembali perkara yang menjadi ingatan atau igauan kepada watak.

Penulis juga tidak lupa untuk menyelitkan teknik imbas muka iaitu gambaran atau bayangan tentang sesuatu yang akan berlaku. Perkara yang menarik mengenai gaya penulisan ini ialah penulis dapat memberikan tanggapan awal kepada pembaca episod cerita yang seterusnya. Sebagai contohnya gambaran awal yang menarik dalam buku ini ialah gambaran awal yang menunjukkan perubahan sikap berlaku pada watak Farhan yang dahulunya teguh dengan pendirian hidupnya.

Dari sudut gaya bahasa yang digunakan oleh penulis, banyak kata dalam buku novel ini yang digunakan secara bersahaja atau tidak terlalu menggunakan bahasa yang formal sebaliknya lebih bersifat penerangan terhadap kata. Walau bagaimanapun, penulis masih juga mengekalkan gaya retorik yang melampau atau dikenali sebagai hiperbola bagi menegaskan sesuatu perkara yang penting. Sebagai contohnya:

Kalau mahu, dia boleh mengupah orang untuk menghapuskan dirinya dari muka bumi ini.
Gaya bahasa seperti ini menunjukkan setiap perkara yang diucapkan atau dilafaskan adalah benar-benar penting dan seolah-olah tidak bermain-main dengan kata-kata.

Penulis juga banyak menggunakan gaya bahasa yang berbentuk peribahasa dalam cerita ini yang sangat menarik apabila disesuaikan dengan ayat. Dalam pembacaan yang teliti serta penghayatan yang tinggi mendapati penulis banyak menggunakan gaya peribahasa apabila sampai di penghujung ayat. Contoh-contoh peribahasa yang digunakan ialah

Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat (halaman 356)
Takut lain yang diharap, lain pula yang jadi. (halaman 371)
Badut yang terlalu menurut keinginan hati. (halaman 405)

Penggunaan peibahasa seperti ini dilihat sebagai pelengkap dalam beberapa pengakhiran cerita bagi setiap bab.

Penulis juga bijak menimbulkan rasa geram, sakit hati, rasa marah serta rasa kebencian dalam hati pembaca apabila membaca perangai watak yang cuba digarapkan oleh penulis. Sikap yang dipamerkan oleh watak Hadzim yang menjengkelkan berjaya di ilustrasikan oleh penulis melalui gaya penulisan yang digunakan oleh beliau. Sebagai contohnya melalui gambaran perlakuan Hadzim yang semakin melampau dan ganas terhadap isterinya Irene sejak mereka mengecapi hari yang paling bahagia iaitu perkahwinan.

Bulan ketiga perkahwinan, sesekali tangan Hadzim sudah berani singgah ke mukanya. Silapnya hanya sedikit. Tertumpahkan air mineral di atas fail pejabat yang dibawanya pulang. Selepas peristiwa itu, makin galak Hadzim menghamburkan kemarahannya. Kakinya ringan sahaja menyepak barang rumah. Pernah juga sesekali singgah ke tubuh Irene. Apa sahaja yang tidak kena di pejabat, Irene yang akan dipersalahkan. Irene mengandung pun disalahkan juga. Sedangkan janin itu hasil kesatuan dua hati.

Keistimewaan gaya penulisan seperti ini mampu membuatkan pembaca menghayati dengan mendalam dan menyelami perasaan sebenar yang dilalui oleh watak yang disampaikan oleh penulis. Secara tidak langsung, pembaca dapat menghayati setiap penyampaian watak atau perwatakan watak yang sebenarnya. Apabila timbul perasaan benci serta geram dalam hati pembaca apabila membaca bait-bait kata tersebut, penulis berjaya menyelami serta menyentuh hati pembaca secara tidak langsung.

Selain itu, sesuatu yang menarik melalui pembacaan buku ini ialah penulis bijak menggunakan seluruh isi penyampaian cerita dengan tidak hanya menggunakan latar tempat yang statik malah banyak menceritakan tempat-tempat yang menarik yang membuktikan bahawa penulis banyak membuat rujukan. Kepelbagaian tempat yang diceritakan mampu membuat pembaca tidak berasa bosan malah lebih teruja dengan gaya penceritaannya. Latar tempat tidak hanya tertumpu di dalam Malaysia iaitu sekitar kampung, suasana pejabat dan bandar-bandar besar malahan lebih banyak diceritakan keindahan tempat di luar negara iaitu di Kota London, Kota Paris, Dubai dan Scotland. Banyak lagi tempat menarik yang diceritakan seperti Musee De Louvre muzium yang menempatkan karya agung Monalisa,Musee De Orsay, Victoria Coach Station, Nottingham, Norfolk, Dover, Calais, Jardin Des Tuilerias, Notre Dame gereja yang banyak menyimpan bahan sejarah dan bermacam-macam tempat lagi.

Tempat-tempat menarik di ulas oleh penulis dengan kreatif dan kritis bagi memberi kesan bahawa pembaca turut mengalami atau merasai sama suasana yang berlaku. Sebagai contohnya:
Paris memang tampak lengang sewaktu musim sejuk. Ramai yang gemar melancong ke negara-negara beriklim tropika. Jauh dari kesejukan bawah paras beku, yang mencengkam ke tulang-temulang.(halaman 156)

Fikirannya dapat membayangkan kesejukan yang sedang dirasai oleh abang sepupunya itu. Kata Farhan, biarpun musim sejuk, namun gadis-gadis barat tetap slamba mengenakan mini skirt dan baju tanpa lengan dengan kasut tumik tinggi, keluar di waktu malam.(halaman 195)
Hal ini menunjukkan penulis bijak untuk menyusun ayat bagi merasai suasana sebenar keadaan yang digambarkan dalam penulisan.

Kekecewaan yang melampau turut digarapkan oleh penulis dengan berjaya dan begitu menyentuh perasaan apabila membaca setiap bait-bait kata dalam cerita tersebut. Penulis bijak menginterprestasikan emosi supaya betul-betul dirasai oleh pembaca. Hal ini dapat dilihat apabila watak Irene yang sakit jiwa akibat kecewa dengan perkahwinannya.

“…Kategori psikosislah yang paling teruk. Dalam kes ini, pesakit hidup dalam alam imaginasinya dan berkelakuan ganjil. Hilang terus hubungan dengan alam nyata. Dia mungkin mendengar suara yang tidak wujud dan bercakap tidak tentu hala.” Dr. Vinesh terdiam sebentar.

Di dalam buku ini juga terdapat beberapa bahasa asing yang boleh dipelajari sebagai suatu pengetahuan tambahan iaitu bahasa mexico dan bahasa Perancis. Kepelbagaian gaya penulisan seperti ini mampu menarik minat pembaca untuk mempelajari bahasa yang baru. Contoh bahasa yang digunakan adalah seperti berikut:

“Any problemo? Perdona me. I know English…only little! My name is Hugo, from Mexico.”
Tambah menyulitkan keadaan, mereka lansung tidak fasih berbahasa Perancis. Sekadar tahu, oui, no, bonjour, parlez-vous Anglais, au revoire!

Penulis juga pandai dalam menyusun kata atau ayat dalam buku ini bagi menampakkan atau mengambarkan setiap apa yang berlaku itu diterangkan dengan teliti. Gaya penulisan ini sangat menarik dan bersahaja apabila dibaca. Sebagai contohnya:

Suis lampu bilik dan komputer ditekan. Selepas memasukkan kata laluan, dia menanti komputer memproses maklumat. Sesaat kemudian, Raymond menepuk kepalanya, membebel sendirian.

Penulisan seperti ini mampu membawa pembaca kepada gambaran sebenar terhadap apa yang dilakukan oleh watak dalam cerita tersebut yang diterangkan dengan teliti. Hasil daripada pembacaan novel secara keseluruhan, penulis gemar untuk menceritakan perlakuan watak dengan lebih teliti. Penyampaian kejadian melalui mata pengamatan yang tertentu meletakkan pembaca ke dalam watak tersebut.

Pada akhir cerita dalam buku ini, penulis sangat kreatif dalam membuat perubahan gaya penulisan dengan mengakhiri cerita dengan satu sajak yang mengambarkan keindahan alam yang disulami dengan cinta yang kekal selamanya. Penerapan kesenian yang diketengahkan oleh penulis pada akhir cerita ini mampu memberi keindahan dalam penulisan sebegini. Selain itu, penulis juga ada menyelitkan segmen ilmu pada bahagian belakang buku sebagai suatu penambahan ilmu pengetahuan kepada pembaca.

No comments:

Post a Comment