Saturday, August 29, 2009

KUCING DAN ISLAM



Islam itu syumul (lengkap), hinggakan panduan untuk berinteraksi dengan haiwan pun ada! Ya, sungguhpun tidak dinyatakan dengan jelas di dalam alQuran, tetapi banyak sangat peristiwa-peristiwa di zaman Rasulullah S.A.W mengenai haiwan, yang menjadi panduan kepada kita. Bukankah baginda itu sebaik-baik role model?
Menyayangi haiwan, adalah sunnah Rasulullah. Islam sangat-sangat mengajar umatnya untuk mengasihani haiwan, terutamanya yang jinak seperti kucing. Namun, janganlah terlalu menyayangi haiwan sehingga mengatasi kasih sayang sesama manusia pula!

Kalau kita tengok, negara-negara maju seperti di kawasan Eropah mahupun di sebelah timur (Korea dan Jepun), keprihatinan terhadap haiwan amat dititikberatkan. Pusat-pusat pemeliharaan (adoption center), persatuan-persatuan membela nasib haiwan dan sebagainya ditubuhkan, dalam usaha memanifestasikan kasih sayang terhadap haiwan.
Barat mendakwa, seorang individu bernama Richard Martin adalah orang pertama di dunia yang membela haiwan, ketika dia menubuhkan Persatuan Anti-Kezaliman Haiwan pada tahun 1824. Tetapi mereka tidak tahu, jauh lebih lama dari itu, hampir 1500 tahun dahulu, Rasulullah telah terlebih dahulu mensyariatkan umat Islam untuk berlaku baik terhadap haiwan! Nak tahu kisahnya?

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, sesungguhnya Rasulullah pernah besabda:
"Seorang pelacur dari Bani Israel diampun dosanya oleh Allah dan dimasuknya ke syurga kerana ia bersimpati dengan seekor anjing yang kehausan air, lalu ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya untuk diberi minum kepada anjing itu."

Subhanallah! Alangkah mulianya berbakti kepada haiwan, sehinggakan dosa yang begitu berat pun boleh diampunkan! Banyak aspek kita boleh lihat pada hadis ini. Pertamanya, wanita tersebut adalah pelaku dosa besar, iaitu berzina (pelacuran). Namun, bukan itu yang diambilkira, sebaliknya keikhlasan wanita tersebut. Wanita tersebut bersimpati dengan seekor anjing! Walaupun anjing merupakan binatang najis mughallazah, tetapi ia tidak bermaksud kita perlu memandang jijik terhadap binatang tersebut. Wanita tersebut tetap sudi membantu anjing tersebut! Itu keikhlasan yang pertama. Yang keduanya, “ia turun ke dalam telaga dan mengangkut air dengan kasutnya”! Ini menunjukkan, betapa nekad wanita tersebut untuk membantu si anjing yang kehausan. Jelaslah keikhlasan dan ikhtiar yang dilakukan wanita ini, yang datang dari hati yang suci, itulah yang menjadi sebab kepada pengampunan dosa beliau.

Dalam sebuah hadis yang lain pula, diriwayatkan oleh Ibnu Umar, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Seorang wanita masuk Neraka kerana seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan dan tidak membiarkannya makan serangga bumi.”

Satu lagi kisah mengenai haiwan, iaitu kucing. Seorang wanita yang menzalimi kucing. Dia mengikat kucing tersebut, malah tidak memberi makan, dan tak bagi pula kucing tersebut cari makanan. Ini menunjukkan betapa keji dan kerasnya hati wanita ini. Dan neraka jualah tempat akhirnya.

Sampingan: Kalau kita tengok kedua-dua hadis ini, kedua-duanya menunjukkan subjek yang sama, iaitu perempuan. Ini menunjukkan yang wanita mempunyai emosi terhadap haiwan, sama ada menyayangi, mahupun membenci. Kerana sayang dan benci itu berasal dari emosi. Kalau lelaki, mungkin hati kering sedikit. Tapi dengan wanita, emosi boleh menjadi kunci untuk ke syurga, mahupun ke neraka! Justeru, jadilah wanita yang pandai mengawal emosi!
Maka kita boleh lihat sendiri, betapa besarnya kelebihan menyayangi haiwan! Rasulullah tidak menyuruh kita bela haiwan tersebut smpai gemuk beranak pinak dan sebagainya, tetapi cukuplah sekadar mengasihani dan tidak menzalimi mereka.

CARA BERHIAS

Allah berfirman yang bermaksud:
"Hai anak adam! Sesungguhnya Kami telah turunkan untuk kamu pakaian yang boleh menutup aurat-aurat kamu dan untuk perhiasan"
(Surah Al-A'raf: 26)

Allah berfirman yang bermaksud:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandanganya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasanya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau putera-putera mereka atau purera-putera suami mereka atau saudara-saudara laki-laki mereka atau putera-putera saudara laki-laki mereka atau putera-purera saudara-saudara perempuan mereka atau wanita-wanita Islam atau budak-budak yang mereka miliki atau pelayan-pelayan laki-laki mereka yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang tidak mengerti aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar di ketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang beriman, supaya kamu beruntung."
(Surah An-Nur: 31)

Sabda Nabi s.a.w
Apakah engkau mempunyai harta? Jawab orang itu: Ya, Tanya Nabi s.a.w. lagi: Harta yang macam mana? Jawab orang itu: Dari macam-macam harta yang diberikan Allah kepadaku. Kata Nabi lagi: Jika DIA telah memberikanmu harta, bukankah bagus sekali ditunjukkan kesan nikmat Allah kepadamu serta kedermawanNYA kepadamu?!"
(Riwayat Nasa'i)

Di atas adalah antara Dalil-Dalil yang membolehkan umat Islam terutamanya wanita muslimah dalam soal berpakaian dan perhiasan. Untuk keterangan yang lebih lanjut sila rujuk Buku Halal dan Haram dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, terjemahan Syed Ahmad Semait. Diterbitkan oleh Pustaka Islamiyah Pte. Ltd. Singapura. (m/s 127 Soal Pakaian dan Perhiasan).
dan Tafsir Wanita, (m/s 697)"Tentang Menundukkan Pandangan dan tidak Menampakan Perhiasan" oleh Syaikh Imad Zaki Al-Barudi. Di terbitkan oleh Pustaka Al-Kautsar, Indonesia.

Wednesday, August 19, 2009

RAMA-RAMA

Lihatlah rama-rama, ia cantik. Apabila pandangan kita dihiasi rama-rama, kita menjadi suka dan ceria. Hampir semua orang akan tersenyum melihat rama-rama. Ia mengindahkan alam dan menyempurnakan sekuntum bunga. Seindah mana pun bunga tanpa rama-rama mahu hinggap di situ, tentu ada sesuatu yang tidak kena.
Cubalah tangkap dan pegang rama-rama itu dengan sayapnya. Lihat apa yang melekat di jari anda,warna dan corak rama-rama itu telah berpindah ke jari-jari anda. Kemudian lepaskan kembali, ia terbang tapi lebih terbuai oleh angin. Siapa pun yang akan menangkapnya kembali tidak tertarik padanya lagi. Harganya telah tiada untuk dikagumi, disimpan mahukan diawetkan.
Rama-rama ibarat wanita. Ia indah untuk dipegang tetapi nilainya cepat turun setiap kali ada tangan- tangan yang tidak wajar hinggap pada tubuhnya. Memang fizikalnya tiada apa-apa yang kurang, tapi harga diri dan maruah telah mula tercemar. Begitulah wanita. Ia bagaikan rama-rama yang terbang membawa corak-corak indah, apabila corak-corak itu telah pudar ia tidak dipedulikan lagi. Harga rama-rama terletak pada warna dan coraknya; harga wanita terletak pada apakah tubuhnya masih tulen tatkala dia didampingi oleh suaminya.
Rama-rama terpaksa berjuang untuk memulakan hidupnya. Dia terpaksa membebaskan diri daripada kepompong. Bukan mudah untuk keluar daripada kepompong yang mengikat itu. Sedangkan sepanjang berada di dalam kepompong tiada siapa pedulikannya, malah tatkala bergelar ulat ia lebih dibenci.Sulitnya untuk akhirnya bergelar rama-rama. Terpaksa melalui kitaran dan evolusi bentuk. Daripada sesuatu yang menjijikan akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang amat menyenangkan. Rama-rama adalah contoh terbaik wanita untuk sedar betapa bernilainya kehidupan mereka.
Sewaktu anda dipuja, usah terlalu mabuk sebaliknya kenang-kenang kehidupan serba susah sebelum itu. Sewaktu anda digoda, dihambat dan dirayu usah terlalu mudah menyerah sebab ingatlah mereka yang bersusah payah memastikan anda dapat bangkit sebagai manusia sempurna hari ini. Anda tidak muncul sendiri, sebaliknya anda adalah lambang pengorbanan ibu bapa. Usah jadi rama-rama yang di dalam bingkai gambar, indah dipandang tetapi diri sendiri menanggung beban. Hiduplah dengan bebas dan terjemahkan kebebasan itu kepada nilai-nilai murni yang perlu dipertahankan. Hak anda ialah memelihara kehormatan.
Selama mana anda memelihara kehormatan dan maruah diri anda berada pada terbaik, sebaik sahaja anda tidak peduli kepada siapa maruah itu hendak diberikan, anda sudah kehilangan masa depan. postman-butterfly Kalaulah rama-rama tahu dia cantik dan sentiasa memukau penglihatan manusia, dia tentu tidak mudah-mudah terbang ke sana sini. Sebab setiap kali ia mengibarkan sayapnya, ia sentiasa terdedah pada bahaya. Namun rama-rama tidak pernah tahu dia itu indah dan sentiasa menjadi sasaran manusia. Jika anda tidak pernah tahu kewanitaan anda itu adalah sasaran terpenting sang penceroboh, anda ibarat rama-rama yang tidak sedar diintai bahaya. Mahalkan harga diri anda. Semakin sukar anda dimiliki semakin mahal nilai anda di sisi lelaki.
Lelaki perosak hanya inginkan kuasa memiliki tetapi tidak mahu setia apalagi memelihara dan melindungi anda. Usah terperangkap ke dalam tangan yang hanya akan meleraikan warna-warna anda. Setelah warna- warna itu hilang anda dibiarkan. Jadilah wanita angun yang punya nilai dan maruah diri, anda akan lebih dihormati. Nilai anda bukan terletak pada berapa ramai lelaki yang ingin memiliki anda tetapi berapa ramai yang benar-benar sanggup menyintai anda. Cinta itu terjemahan pada kasih sayang dan belaian sayang penuh ikhlas. Selama mana anda belum menemuinya anggaplah diri anda masih berhak terbang bebas bagaikan sang rama-rama. Jadilah rama-rama yang mengindahkan alam, jadilah wanita yang membanggakan semua orang.

Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya??...

"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.

Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya."Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah."Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni tanpa segan silu."Sudi," jawab Nusaibah ringkas."Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Syazni.

"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu."Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak," jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu."Baiklah," jawab Syazni tersenyum.

Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif dalam dakwah sebelum ini.

"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************

Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ... kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…

Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!

Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…

Kehadiran dirimu adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan islam bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu. Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga diri \mu dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan islam!

Jika dirimu bakal seorang suami…

Terimalah bahawa anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu! Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya, kerana suami yang pertama baginya ialah perjuangan islam dan memartabatkannya.

Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai islam dan memperjuangkan islam. Jika dirimu tidak sedemikian, sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu…

Bantulah isterimu atau suamimu dan kuatkanlah dia untuk meneruskan perjuangan islam ke serata dunia!!Takbir ! Allahuakbar!





Buat wanita bakal bergelar isteri...

Rebutlah Pangkat Isteri Solehah

Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.

Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.

Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh 'wildan-wildan'nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.

Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.

Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.

Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya. Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.

Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!

Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.

Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, "Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan". Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.

Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.

Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga.

Renung-renungkanlah...

SEINDAH-INDAH HIASAN IALAH WANITA SOLEHAH

Hawa,
Sedarlah engkau sebelum datangnya sinar islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan, walau secebis oleh kaum Adam, tiada nilaian di mata Adam, kita hanyalah sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu semata. Tapi kini bila rahmat islam menyelubungi alam, bila sinar islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita terpelihara, kita dihargai dan dipandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan dunia melainkan wanita solehah.

Wahai Hawa,
Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan islam itu? kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya? kenapa masih segan mengamalkan isi kandunganNya? kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya? dan kenapa masih tak mahu menutup aurat, wahai Hawa?…
Wahai Hawa,
Tangan yang menggoncang buaian bisa menggoncang dunia, sedarkah hawa kau bisa menggoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni anak yang soleh solehah, kau bisa menggegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia. Tapi Hawa, jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa…Jangan!!! Jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum Adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali menggoda lelaki yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah tetapi pada masa yang sama memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang dieksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.

Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau menjadi ibu, didiklah anakmu sehingga ia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah. Hawa, Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah Hawa akan janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan mengandaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubumu hanya untuk menarik perhatian atau bertujuan memikat seorang lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tetapi merangsang nafsunya. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, maka lahirnya senyuman…maka tercetusnya salam dan sekaligus disusuli dengan pertemuan… dan dari pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya menggoncang iman mereka. Tetapi akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana ia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta kerana ia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan antara lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.
Oleh itu Hawa, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa,
Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan perolehi cinta dari insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan peroleh keredhaan Allah. Cintailah keluargamu keran kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga.
Hawa,

Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang menggoncang buaian ini bisa menggoncang dunia dalam mencapai keredhaan Allah. Janganlah sesekali tangan yang menggoncang dunia ini juga yang menggoncang iman lelaki, kerana aku sukar menerimanya dan benci setiap kali mendengarnya.

Hawa,
AKAL wanita setipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu yang bermanfaat… HATInya serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan pancaran Nur Iman… PERASAANnya selembut sutera, suburkanlah ia dengan ketegasan demi maruahnya… PERIBADInya lemah bak lalang ditiup angin, hiasilah ia dengan akhlak terpuji…
Dari Hawa,buatmu Hawa….

Inikah peribadi guru hari ini??????

Monday, August 17, 2009

SEBELUM DIBIUS CINTA

“Bodoh punya batu, kenapa kau langgar kekasih aku?” marah seorang lelaki kepada seketul batu yang ‘melanggar’ buah hatinya.


“Oh abang, biar pun baju abang masam, masam itulah masam-masam manis jiwaku!” kata seorang ‘gelifriend’ kepada ‘buayafriend’ beliau.


Dialog di atas adalah ayat-ayat cinta yang biasa. Biar pun bunyinya sangat luar biasa kepada manusia biasa, ia amat biasa dan perlu bagi dua belangkas yang sedang mabuk cinta. Sama ada cinta di antara dua pasangan yang belum bernikah, atau yang pengantin baru yang sedang menikmati bulan-bulan madu mereka.


BIUS CINTA


Memang cinta itu luar biasa. Cinta bukan sahaja buta, malah boleh membutakan lagi melumpuhkan mereka yang terkena panahannya.


“Aku dibius cinta!” kata Melly Goeslow.


Kemabukan cinta ini menyulitkan kita untuk merasionalkan perbincangan. Perbahasan-perbahasan tentang do’s and don’ts yang dikemukakan untuk keelokkan jangka panjang cintanya, ditepis sambil pandangan melirik sebelah mata sahaja.


Namun, saya ingin mengajak pasangan yang sedang mabuk cinta, belangkas yang sedang bertelinga tuli dari nasihat-nasihat di sekitar mereka, supaya duduk sejenak dan berusaha untuk menjawab soalan-soalan realiti yang saya senaraikan di bawah nanti, sesuai untuk meneroka kembara mawaddah dalam sebuah rumahtangga yang kekal hingga ke hujung nyawa.
Firman Allah SWT:

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [al-Rum 30: 21]


Sesungguhnya mawaddah itu adalah cinta yang tumbuh, terbina dan bertambah dari semasa ke semasa di sepanjang bahtera perkahwinan dilayari. Cinta yang terbit dari satu demi satu kejayaan suami dan isteri menempuh kesukaran, kesulitan dan cabaran hubungan perkahwinan mereka.


Agar bulan madu itu bulannya menjadi tahun yang berpanjangan, dan madu tidak menjadi racun, saya mengajak setiap pasangan yang masih ’sedar’ sebelum dibius cinta, agar menjawab soalan-soalan berikut dengan jujur dan telus. Jangan tergesa-gesa menjawabnya, fikirkan satu persatu, sehari demi sehari, sebelum menabur janji menyulam kata, sebelum janji dimeterai, sebelum ikatan disahkan agama:


SOALAN PEREMPUAN KEPADA PASANGANNYA:


Syukur Alhamdulillah, aku disahkan mengandung. Tetapi alahanku menyebabkan aku tidak mampu mencium baumu sayang. Mendekatimu sahaja sudah cukup mengundang loya. Entahlah berapa lama, mungkin sebulan dua, mungkin empat bulan atau lima. Ada kemungkinan bukan sahaja untuk kandungan kali pertama, malah yang depan-depan juga. Sabarkah engkau dengan kerenahku? Masihkah aku ini cintamu di kala itu?


Semasa mengandung, aku tidak lalu makan, mulutku asyik mengeluh sakit sini dan sakit sana. Tidur sering tidak lena, aku yang ceria berubah menjadi pemarah dan sering berduka. Bukan aku sengaja tetapi segala yang kurasa di setiap inci tubuhku, menimbulkan resah dan tidak selesa. Sabarkah engkau dengan kelemahanku ini?


Semasa mengandung, upayaku untuk melayan keperluan batinmu tidak seperti biasa. Aku lemah, sering juga hambar tiada penariknya. Sehebat-hebat mujahadahku, diri ini amat terbatas dalam upaya berperanan sebagai isterimu. Masihkah aku buah hatimu?


Semasa kita mula berumahtangga, pasti hidup kita indah bagai di Syurga. Tambah pula dengan kurniaan cahaya mata pertama. Namun ketika cahaya mata bertambah bilang, kerjaya kita semakin berkembang. Pendapatan bertambah, tanggungan dan beban juga bertambah. Dalam suasana yang banyak tekanan di rumahtangga kita, apakah engkau masih mampu ceria? Sabar dengan kerenah anak-anak dan ibu mereka, terus tersenyum menawarkan bahagia?


Selepas beberapa tahun berumahtangga, aku belum merahimkan cahaya mata impian kita, saudara mara dan teman memperlimu dan menuduh engkau bukan seorang jantan. Sedangkan aku punca sepimu tanpa zuriat. Di kala engkau diasak keluarga dan teman, masihkah aku ada tempat di lubuk cintamu?


Andai selepas beberapa tahun berumahtangga, aku diputuskan pemeriksaan perubatan bahawa diri ini mandul dan tidak mampu merahimkan cahaya mata impian kita, apakah aku masih kekasih hatimu?


Jika aku ditakdirkan Allah diuji dengan barah payu dara, terpaksa mengorbankan salah satu atau keduanya, kimoterapi meluruhkan rambutku yang pernah menjadi pujianmu, tubuh lemahku menumpang kasih dalam pelukanmu, berak kencingku di dalam kain batik yang pernah kauhadiahkan kepadaku, masihkah engkau mencintaiku?


SOALAN LELAKI KEPADA PASANGANNYA:


Keceriaanku mungkin pudar oleh tekanan kerja dan kehidupan. Aku cenderung untuk diam dan senyumanku mungkin kurang manis dan indahnya. Diri ini yang pada masa ini suka bergurau senda, ketika itu pulang dengan kerut dahi, kurang sense of humor, dan hanya bercakap benda-benda besar yang serius. Sabarkah engkau dengan perubahanku itu nanti? Kuatkah cintamu kepadaku?


Tekanan hidup mungkin menyebabkan perananku sebagai suami kepadamu terjejas. Upayaku untuk memberi nafkah batin kepadamu terganggu dan untuk menyuarakannya kepadamu aku terasa malu. Masalah mati pucuk yang sering menimpa lelaki yang tertekan dengan pekerjaan dan kehidupan menggugat kepuasan dirimu sebagai isteriku. Sabarkah engkau dengan keadaan itu, dan apa rancanganmu untuk kita menempuh saat-saat itu? Terjejaskah cinta kita di hatimu?
Andai kerjayaku dirempuh badai dan surut seketika, kewanganku dan keluarga kita jauh dari mencapai sempurna keperluan. Keluarga dan teman mencemuhmu kerana ‘menanggung’ aku sebagai seorang suami yang dilabel dayus. Aku akan berusaha agar ia hanya seketika, namun sabarkah engkau menempuhnya? Masihkah aku kekasih hatimu?


Aku menjadi seorang lelaki yang menjemukan. Aku mengharapkan dirimu sebagai insan yang akan membantu menceriakan aku, namun sabarkah engkau dengan diriku dan mampukah cinta kita di hatimu terus membenih bahagia?


Jika kerjayaku berkembang di luar jangkaan kita, engkau terpaksa berkongsi diriku dengan massa, dan aku terpaksa selalu ke sini sana untuk bekerja. sabarkah engkau dengan suasana itu, dan aku masih cinta hatimu?


Jika aku disahkan doktor tidak mampu memberikan kita zuriat, rumahtangga kita sunyi tanpa cahaya mata, apakah engkau masih sudi menemaniku dalam bahtera rumahtangga kita?
Sekiranya rumahtangga kita teruji apabila aku ditimpa kemalangan atau stroke yang melumpuhkan pergerakan fizikal serta upayaku sebagai suami, kencing berakku yang bertubuh berat ini di dalam kain pelekat yang pernah kauhadiahkan kepadaku, apakah ia menggugat cinta kita dan mampukah engkau terus hidup di sisiku yang hanya suamimu dengan status suami tanpa mampu melaksanakan banyak tanggungjawabku sebagai suami?


Seorang suami dan seorang isteri, akan berusaha dan berdoa agar tidak teruji dengan situasi sedemikan rupa. Memohon kepada Allah agar tidak dibebankan dengan ujian yang di luar upaya diri.

“…Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya” [al-Baqarah 2: 286]


Namun, menyedari bahawa kehidupan berumahtangga itu adalah lanjutan peringkat kehidupan, bukan melangkah ke mimpi yang jauh dari realiti alam nyata, pastikan langkah kaki tidak bermula, sebelum telah jelas gambaran akhir di minda.


Sesungguhnya saya senaraikan 14 soalan, separuh untuk bakal suami dan separuh untuk bakal isteri, bukanlah soalan yang direka-reka tanpa asas. Mengendalikan sesi perkongsian di antara teman-teman dan peserta program, bertukar-tukar pandangan serta nasihat dari golongan yang lebih berusia, mengumpulkan hal-hal ini untuk direnung oleh kita semua.


Ketika dibius cinta, kita menafikan segalanya. Bahawa cinta dan rumahtangga kita indah semuanya. Tidak akan diuji sedemikian rupa. Sebagaimana semasa melihat kematian, kita sering melihat kematian itu kematian orang lain, tanpa pernah meletakkan diri di ketentuan itu. Biar pun mati itu pasti, kita yakin ia bukan giliran kita. Masih punya masa, masih punya ketika.
Tidak membuat persediaan, itulah kematian sebelum mati.


Membiarkan diri dibius cinta, itulah racun pemusnah cinta, apabila cinta realiti, diterbangkan ke langit impian, hingga kaki tak jejak bumi, tangan gagal menggapai awan.
Sebelum anda dibius cinta… soallah diri sejauh mana anda bersedia?