Tuesday, October 6, 2009

1.0 PENGENALAN
1.1 Lambang Negeri Pahang

Bentuk Perisai yang membentuk lambang negeri menunjukkan ketahanan dandan keamanan negeri Pahang. Tombak yang bermata besar di tengah-tengah melambangkan kebesaran dan kemakmuran kerana mata perisai ini juga berbentuk daun kopi. Sementara gading gajah bersilang membawa makna kebesaran dan kekuasaan raja.

Bendera negeri Pahang mengandungi dua warna iaitu putih di atas dan hitam di bawah. Kedua-duanya sama lebar. Hitam adalah warna kebesaran Bendahara melambangkan bahawa pada suatu ketika dahulu pemerintahan di negeri Pahang adalah seorang yang bertaraf Bendahara.
Putih adalah melambangkan Raja. Tambahan warna putih di atas hitam ini membawa makna bahawa negeri Pahang adalah negeri yang mempunyai kedaulatan sendiri dan pemerintahan Beraja. Ini juga membawa erti bahawa negeri ini ada mempunyai keistimewaan-keistimewaan, undang-undang, adat istiadat, adat resam, tata susila serta kuasa-kuasa yang tertentu ada pada Raja sebagai sebuah negeri yang beraja dan berdaulat.


2.0 PENGERTIAN BAHASA STANDARD / BAHASA BAKU

Istilah bahasa baku dan bahasa standard merujuk kepada perkara yang sama. Di dalam Kamus Dewan 1989, perkataan ‘baku’ ini membawa pengertian “yang (sudah) diterima umum sebagai betul dan sah….dan dapat dijadikan asas perbandingan” .

Pembakuan merujuk kepada proses pengekodan bahasa. Biasanya pengekodan bahasa ini membabitkan aspek tatabahasa, sebutan ejaan, pengkamusan dan peristilahan. Para sarjana telah memberikan definisi kepada konsep bahasa baku. Antaranya Garvin dan Mathiot mendefinisikan bahasa baku sebagai “a codified form of language, accepted by and serving as a model to a larger speech community”. Definisi oleh Garvin dan Mathiot ini menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu adalah bahasa baku jika bahasa berkenaan dikodifikasi dan diterima oleh masyarakat secara umum serta menjadi model kepada masyarakat bahasa tersebut.

Secara tidak langsung kita boleh katakan bahawa satu persetujuan telah dicapai oleh sesuatu masyarakat untuk memillih satu variasi daripada beberapa variasi yang ada dalam masyarakat tersebut untuk dijadikan model yang terbaik sebagai bahasa baku.

Menurut Profesor Nik Safiah Karim : “Bahasa Melayu standard ialah variasi yang digunakan apabila orang-orang daripada berbagai-bagai dialek di negara ini berkumpul dan berbincang dengan tujuan untuk difahami, tiap-tiap pihak berusaha menggugurkan ciri-ciri kedaerahan masing-masing dan menggunakan sedikit sebanyak variasi yang berasaskan Bahasa Melayu dialek Johor-Riau, tetapi kini pertuturan Bahasa Melayu umum telah mempunyai sifat-sifat tersendiri”.

3.0 PENGERTIAN DIALEK

Perkataan Yunani dialektos merupakan perkataan yang asal kepada istilah dialek yang digunakan dalam bahasa Melayu sekarang. Dan perkataan ini mula digunakan dalam hubungannya dengan keadaan bahasanya (ayat rohaedi, 1979:1). Mengikut Mario A. Pei, dialek adalah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa.Dialek mempunyai bentuk tertentu yang dituturkan dalam kawasan tertentu dan berlainan daripada bentuk standard baik dari segi sebutan, tatabahasa atau penggunaan kata-kata tertentu, tetapi kelainan tersebut tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain (Mario A. Pei,1960:56)

Faktor-faktor yang menyebabkan dialek wujud ialah faktor yang terdiri daripada faktor alam, politik, penjajahan dan masa. Selain itu, faktor ekonomi, cara hidup dan sebagainya juga menjadi faktor kepada wujudnya sesuatu dialek.(Guiraud, 1970 dan Ayatrohaedi, 1976 : 6). Keadaan semula jadi permukaan bentuk muka bumi iaitu bukit-bukau, hutan rimba dan sungai yang merupakan rintangan-rintangan kepada perhubungan di antara penduduk-penduduk menyebabkan faktor-faktor politik telah membahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil, menghasilkan negeri-negeri Melayu Semenanjung iaitu Dialek Perlis, Dialek Kedah, Dialek Perak, Dialek Pulau Pinang, Dialek Selangor, Dialek Melaka, Dialek Pahang, Dialek Kelantan, Dialek Terengganu, Dialek Negeri Sembilan, Dialek Johor.Dialek-dialek yang berdasarkan tempat seperti itu dipanggil dialek setempat (Leonard Bloomfield 1967:50). Dialek-dialek setempat di Semenanjung Malaysia sebenarnya adalah variasi daripada bahasa Malaysia (A. Teeuw 1961:43). Bahasa Melayu sekarang ini menjadi bahasa Kebangsaan negara ini dan sejak 13 Mei 1969 bahasa tersebut dikenal sebagai Bahasa Malaysia (Asmah Haji Omar 1976:1). Bahasa Malaysia sekarang merupakan bahasa yang dianggap sebagai bahasa standard.

Dalam satu-satu dialek setempat di Malaysia, terdapat pula idiolek-idiolek, iaitu kelainan-kelainan pengucapan yang disebabkan oleh individu yang berlainan, dan kelainan stilistik yang terjadi akibat daripada konteks yang berlainan (Mario A. Pei 1966:119). Semua kelainan ini disebut dialek. Sungguhpun terdapat kelainan-kelainan tetapi perkara tersebut tidak harus terkeluar daripada had saling kesefahaman yang menentukan bahawa kelainan-kelainan itu masih tergolong di dalam satu bahasa. Misalnya Dialek Perlis, Dialek Kedah, Dialek Pulau Pinang, Dialek Perak, Dialek Selangor, Dialek Negeri Sembilan, Dialek Melaka, Dialek Johor, Dialek Pahang, Dialek Terengganu dan Dialek Kelantan merupakan kelainan-kelainan bahasa daripada bahasa Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai idiolek dan kelainan-kelainan stilistik di dalam dialek-dialek tersebut, tetapi penutur-penuturnya masih saling memahami di antara satu sama lain.

4.0 LATAR BELAKANG DIALEK PAHANG

Negeri Pahang Darul Makmur merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia. Negeri Pahang terdiri daripada 11 daerah iaitu;
-Jerantut
-Cameron Highlands
-Lipis
-Raub
-Bentong
-Temerloh

- Bera
- Maran
- Rompin
- Pekan
- Kuantan

Terletak di lembangan sungai Pahang yang luas, ia bersempadan dengan negeri Kelantan di utara, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan di barat, Johor di selatan, Terengganu dan Laut Cina Selatan di timur. “Darul Makmur” merupakan nama gelaran Arab yang bermaksud “tempat perlindungan yang tenang”. Keluasan Negeri Pahang dianggarkan berkeluasan 35 964 km² dan dianggarkan populasi penduduk pada tahun 2005 ialah 1 372 500 orang.

Di negeri Pahang, setiap daerah mempunyai dialek atau loghat yang tersendiri dan berbeza antara setiap daerah.Kita tidak dapat menafikan bahawa di kawasan-kawasan sempadan terdapat subdialek-subdialek yang lain. Sebagai contohnya subdialek di Janda Baik sudah memperlihatkan pengaruh dari Negeri Sembilan dan Selangor, sedangkan di Rompin terdapat campur aduk dialek Pahang dengan dialek Johor.

Kenapa dialek-dialek bahasa di negeri Pahang begitu dipengaruhi oleh laju perlahan air mengalir?


Pendek atau panjang gaya pertuturan, banyak atau sedikit jumlah suku kata yang menjadi perkataan yang kerap digunakan di dalam sesuatu bahasa, semuanya bergantung kepada faktor survival di sesuatu tempat, kawasan, negara atau persekitaran di mana kelompok sesuatu masyarakat itu berada atau tinggal.

Di negeri Pahang, sebelum era modernisasi, atau di zaman pra-penjajahan British dulu, sebahagian besar daripada kehidupan penduduk amat bergantung kepada sungai. Sungailah yang menjadi sumber air bagi pengairan tanaman, sungailah yang menjadi antara tempat utama mencari mencari sumber protein, dan sungai jugalah yang menjadi satu-satunya jalan yang menghubungkan bandar atau penempatan-penempatan penting. Jalan air merupakan jalan yang paling 'pantas' dan selamat untuk berkunjung ke tempat-tempat lain. Sebab itu bandar-bandar penting tumbuh dan berkembang pesat di pinggir-pinggir sungai.

Berbeza dengan penggunaan perahu atau tongkang di laut, orang-orang yang berakit atau bersampan di sungai Pahang, sama ada dengan tujuan untuk menangkap ikan, menyeberang ke seberang atau bergerak dari satu ke satu tempat, terpaksa menggunakan tulang empat kerat sebagai tenaga untuk menggerakkan sampan atau rakit (di laut atau di sungai-sungai yang lebarnya bagai sebuah lautan - contohnya Sungai Amazon yang lebarnya lebih kurang 11 kilometer pada musim kering dan mencapai 45 kilometer pada musim hujan - layar boleh digunakan untuk menggerakkan perahu atau kapal).

Oleh kerana air di hulu lebih laju, orang-orang yang berada di dalam perahu atau rakit perlu bekerja keras dan bercakap pantas ketika berkayuh kerana jika bercakap lambat, koordinasi pergerakan pengayuh di tangan setiap pengayuh menjadi lebih lemah dan ini boleh menyebabkan sampan hanyut. Begitu juga ketika mereka berada di dalam air sama ada untuk tujuan mandi manda, menjala atau memukat ikan. Air yang laju memerlukan mereka bercakap pantas untuk mengkoordinasikan pergerakan mereka, jika lambat dan tersalah langkah, peralatan atau pukat mereka malah diri mereka mungkin bakal dihanyutkan air.

Di Temerloh pula, oleh kerana airnya tidak selaju di Jerantut, pendayung masih boleh berhubung dengan pace yang lebih perlahan walaupun tidak seperlahan di Pekan, di mana perjalanan para pengguna sampan atau rakit adalah amat mudah di mana mereka menghulu ketika air pasang, menghilir ketika air surut dan menyeberang ketika air mati. Oleh itu, berbanding dengan penduduk di hulu atau di tengah, penduduk di hilir tidak perlu bekerja keras dan tidak perlu berkomunikasi pantas ketika berada di dalam sampan atau rakit, atau berada di dalam air untuk tujuan-tujuan lain.

Ini menyebabkan mereka tidak perlu bercakap pantas dan tidak perlu mengejar masa, dengan itu perkataan dan gaya pertuturan mereka menjadi lebih panjang dibanding dengan orang di hulu atau di tengah. Oleh kerana sungai memainkan peranan yang amat penting yang mempengaruhi survival penduduk pada zaman dahulu, gaya pertuturan di sungai mempengaruhi gaya pertuturan setiap penduduk. Sebab itu penduduk di kawasan yang air sungainya bergerak perlahan, mereka juga bercakap dengan pace yang perlahan dan penduduk di kawasan yang air sungainya bergerak laju, mereka juga bercakap dengan pace yang laju selaju arus sungai di kawasan mereka.
Dialek Pahang - Pahang kaya dengan pelbagai jenis dialek daerah yang dituturkan di daerah-daerah di mana Sungai Pahang mengalir:-
Ø Hulu Sungai Pahang : Dialek Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub (dituturkan dengan cepat dari segi kelajuan percakapan).
Ø Pertengahan Sungai Pahang : Dialek Temerloh (dituturkan secara sederhana dari segi kelajuan percakapan).
Ø Hilir Sungai Pahang : Dialek Chenor dan Pekan (dituturkan dengan perlahan dari segi kelajuan percakapan).

5.0 VOKAL DAN KONSONAN DALAM DIALEK
5.1 Vokal
Dalam subdialek negeri Pahang terdapat tujuh sistem vokal iaitu i, e, ə, ε, a, u, o.Terdapat beberapa perbezaan antara bahasa Melayu standard dan subdialek ini iaitu:
Bunyi dalam ejaan bahasa Melayu Standard dilambangkan dengan vokal “a” pada akhir kata diwujudkan sebagai e pepet dalam dialek pahang.Misalnya:

Dialek
Bahasa Melayu Standard
Adə
ada
sapә
siapa

Vokal a sebelum h dalam suku kata akhir tertutup dalam bahasa standard mempunyai kesejajaran dengan o dalam dialek pahang. Misalnya:

Dialek
Bahasa Melayu standard
Sudoh
sudah
Ano?
anak


Contoh vokal :
1. / i / seperti dalam / ikε / / ikan /
2. / e / seperti dalam / hile / / hilir /
3. / ε / seperti dalam / εlə / / ela /
4. / ә / seperti dalam / bәlә/ / baiki /
5. / a / seperti dalam / ao? / / awak /
6. / u / seperti dalam /ulo / / hulur /
7. / o / seperti dalam / opoh / / opah /

5.2 Konsonan
Konsonan yang terdapat dalam dialek Pahang ialah:
1. / p / seperti dalam / pajoh / payah
2. / b / seperti dalam / bolo / bola
3. / t / seperti dalam / tibә / tiba
4. / d / seperti dalam / dәγεh / cepat
5. / k / seperti dalam / kәhә? / letih
6. / g / seperti dalam / gamõ? / agak
7. / ? / seperti dalam / čo? / cangkul
8. / m / seperti dalam / məγәbaŋ / rambut tidak terurus
9. / n / seperti dalam / nolo? / tolak
10. / ɲ / seperti dalam / ɲusoh / susah
11. / ŋ / seperti dalam /ŋãčoh / acah
12. / s / seperti dalam / səsəmə? / kebas
13. / γ / seperti dalam / γεbεh / koyak
14. / h / seperti dalam / hantoi / lenbap
15. / z / seperti dalam / zε? / zip
16. / c / seperti dalam / čәkәlε? / lemas
17. / l / seperti dalam / lәnčun / basah kuyup
18. / w / seperti dalam / wa? / wap

6.0 DIFTONG DALAM DIALEK PAHANG
Dalam dialek pahang, terdapat juga diftong yang digunakan seperti dalam bahasa Melayu Standard dan terdapat juga beberapa perbezaan.Sebagai contohnya:
Diftong ai yang digunakan dalan perkataan /mamai/ yang membawa maksud tidak betul
Diftong ei yang digunakan dalam perkataan /juwεi / yang membawa maksud jual.
Diftong oi yang digunakan dalam perkataan /hantoi/ yang membawa maksud lembap atau pergerakan yang perlahan.

#Sama-sama belajar bahasa pahang. Bahasa ini unik dan sangat kurang diketahui oleh orang ramai...

No comments:

Post a Comment