Tuesday, October 6, 2009

Gaya Retorik dalam "Hati Yang Terusik"

Anafora
(Pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat.)
Jual kereta, jual rumah, jual apa yang ada. (halaman 252)

“Abang nak Irene hormatkan abang sedangkan abang pun bukanlah suami yang baik. Jauh sekali suami yang soleh. Suami yang baik tak akan tinggalkan isterinya berminggu-minggu. Suami yang baik tak akan memukul isterinya hanya disebabkan kesalahan kecil.”(halaman 42)

Epistrop
(Pengulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa-klausa yang berurutan)
Lagipun hubungan mereka dahulu pun bermula dengan persahabatan. Tak salah kalau diakhiri dengan persahabatan. (halaman 378)

Poliptoton
(Pengulangan kata-kata yang berasal daripada kata akar yang sama.)
Syazana menghela nafas panjang. “Itulah namanya kehidupan. Hidup tak pernah sunyi dari masalah. Kita sebagai manusia ni perlu bijak menanganinya.” (halaman 54)

Disfemisnem
(kata-kata kasar yang digunakan untuk tujuan tertentu)
“ Kau pun aku tak larat nak jaga, nak menambah lagi sorang. Kau ni memang tak ada otak la. Bodoh! Tolol! Kau memang tak reti hormat aku sebagai suami. Kau fikir kau besarlah ye!” (halaman 42)

“Idiot? Kau panggil dia idiot?” Mata Syazana menyoroti wajah Vanessa yang monyok, langsung tidak bermaya.

Ekslamasi
(menggunakan kata seru bagi menegaskan maksudnya)
“Eh… duit aku! Suka hati akulah! Yang kau nak masuk campur, apasal? Oh… sekarang dah pandai nak mengajar aku ya! Nak bagi ceramah. Eh, kau sedar tak, kau tu siapa? Kau tu isteri aku! Jangan nak besar kepalalah.” Hadzim menolak tangan Irene yang melingkari lengannya.

Aposisi
(Penyusunan sebelah menyebelah dua elemen yang berkaitan dengan elemen yang kedua berfungsi sebagai penjelasan atau pengubahsuaian bagi elemen pertama)

Dubai Creek yang membahagikan Dubai kepada dua bahagian, Deira Dubai dan Bur Dubai mula bermandikan cahaya lampu,berkelip-kelip memenuhkan dada langit yang hitam pekat dengan muara sungai sepanjang 14 kilometer itu tidak pernah sunyi dengan aktiviti perdagangan Dubai dengan Iran, Yemen, Somalia dan India. (halaman 344)

Al-Bustan Centre and Residence, kompleks membeli-belah dan kediaman mewah yang merangkumi 640 suites itu tidak pernah sunyi dengan aktiviti malam.(362)

Ironi
(Penggunaan kata-kata dalam suatu cara yang membawa maksud bertentangan daripada maksud literal nada kata tersebut)
Sepanjang tempoh itu, Vanessa langsung tidak berubah laku. Kekal dengan sikap ‘duduk baik-baik’nya, yang cukup membuat Farhan pening. (halaman 266)

Apatah lagi ‘nasihat’ yang pernah dilemparkan secara percuma. (halaman 531)
Simile
(Perbandingan kata secara langsung)
Vanessa bak merpati di dalam sangkar. Hanya mampu dipandang tetapi tidak boleh diusik. (halaman 248)

Riak wajah Vincent Tan keruh. Merah mukanya, bagaikan harimau yang bersedia untuk menelan mangsanya hidup-hidup. (halaman 469)

Umum-khusus
(Pengunaan kata atau frasa yang membawa makna umum pada bahagian awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahasa tengah atau pengakhiran ayat)

Sejak pukul 10.00 malam tadi, Vanessa begitu asyik mengikuti dokumentari yang disiarkan di tv3. Dokumentari yang mengisahkan tentang kehidupan sosial masyarakat di perkampungan tani terbesar di lembah Kathmandu. (halaman 261)

Khusus-umum
(Kebalikan kepada strategi umum-khusus)
Kompleks di jalan Al-Nahda itu turut terkenal di seluruh Emiriyah Arab Bersatu.(halaman 362)

Abstrak-konkrit
(Gandingan di antara kata atau frasa yang pengertiannya berbentuk abstrak atau ghaib pada bahagian awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud konkrit atau bukan ghaib pada bahagian ayat atau frasa yang berikutnya)

Selepas menunaikan solat maghrib, Vanessa terus melangkah ke ruang tamu. (halaman 231)

Konkrit-abstrak
(Gandingan di antara kata atau frasa yang pengertiannya berbentuk konkrit pada awal ayat dengan kata atau frasa yang berbentuk abstrak atau ghaib pada ayat berikutnya.)
Jam di dinding baru sahaja berdenting sepuluh kali. (halaman 477)

Isokolon
(Pengulangan frasa-frasa dalam kepanjangan yang sama dan lazimnya berstruktur sejajar.)
Ada yang tidak kisah. Ada yang menyampah. Ada yang buat tidak tahu. Ada juga yang cemburu. (halaman 162)

Klimaks
(Penyusunan kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa dalam urutan kepentingan yang meningkat)
Sesaat kemudian, bunyi bising yang tidak ketahuan butir bicaranya, keluar dari mulut sekelompok remisier yang lain, yang duduk di bahagian tengah. Melarat sehingga ke barisan hadapan.(halaman 268)

Litotes
(Penggunaan sesuatu ungkapan atau frasa yang positif dalam bentuk negatif untuk menampakkan kehebatan atau merendah diri)
“I tau syarikat I tak segah Mesra Holdings. Tapi syarikat ini lambang cinta papa terhadap mama.” (halaman 367)

Aliterasi
(Pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan)
Raymond sudah melampau! Dengan muka yang sedikit merah menahan marah, Vanessa terus merentap tas tangannya yang terletak di atas meja.(halaman 385)

Berat benar bibirnya untuk terus berbicara.(halaman 424)
Pleonasme
(Menggunakan kata-kata yang lebih banyak daripada yang diperlukan)
Rasa sayu menyebabkan dua tiga titik air gugur dari kelopak matanya.(halaman 434)

Simetri
(Penggunaan kata atau frasa yang sama atau hampir sama maksudnya)
Awal pagi lagi, Raymond sudah lesap, menghilang ke pejabat. (halaman )

Onomatopia
(Penggunaan kata-kata yang bunyinya meniru makna kata tersebut)
Pang!..Sekali lagi tanpa sebarang amaran, tapak tangan Syazana melekap di pipi Farhan.(halaman 491)

Alusi
(Merujuk kepada peristiwa, tokoh atau tempat dalam kehidupan nyata, mitos atau karya sastera yang terkenal.)
Kerosakan teruk yang di alami oleh gereja ini sewaktu zaman revolusi Perancis hanya di baik pulih selepas terbitnya novel “The Hunchback of Notre Dame” pada tahun 1831. (halaman 165)

Polisindeton
(Penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa)
“…Ada lima jalur di kiri batu dan lima jalur di kanan batu… itu simbolnya tangan Ina dan tangan abang, sama-sama menjaga cinta.”(halaman 499)

Personifikasi
(Menerangkan objek manusia kepada bukan manusia)
Deringan telefon menjerit lantang menyentakkan Vanessa dari lamunan.(halaman 475)
Metonimi
(Penggantian sifat-sifat atau perkataan yang tepat untuk menggantikan sesuatu)
Dalam mengemudi bahtera, kita perlukan seorang nakhoda. (halaman 135)

Metafora
(memindahkan)
Dia terbayangkan perkahwinan mereka berdua yang bersulam bunga sengketa. (halaman 392)

Hiperbola
(Penggunaan istilah yang membesarkan dengan tujuan penekanan)
Farhan tersengih, cuba menutup rasa bersalah yang menyelinap ke hatinya. (halaman 543)

No comments:

Post a Comment