Tuesday, October 6, 2009

1.0 PENGENALAN

“Mereka Yang Tertewas” merupakan sebuah novel hasil nukilan penulis Hasanuddin Md. Isa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel terbitan pertama tahun 1991 ini mengandungi 196 halaman. Hasanuddin Md. Isa dilahirkan pada Januari 1961 di Raub, Pahang Darul Makmur. Beliau mendapat pendidikan di tempat kelahirannya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau pernah menerima anugerah budaya negeri Pahang (bahagian rencana budaya) di samping terus bergiat menulis novel serta rencana. Antara novel hasilan beliau ialah Sentuhan dan Halangan dan Rintangan.

Naguib Mahfouz seorang penulis Indonesia yang pernah meraih gelaran sarjana filsafat ini merupakan pengarang bagi sebuah novel “Awal dan Akhir”. Novel terbitan Yayasan Obor Indonesia ini mengandungi 324 halaman. Novel ini telah diterjemahkan oleh Sapardi Djoko Damono. Naguib Mahfouz dilahirkan pada tahun 1911 di al-Gamaliyya, sebuah perkampungan tua di Kairo yang kemudian menjadi tempat kejadian beberapa novelnya. Dia meraih gelaran sarjana filsafat pada tahun 1934, namun kemudian memilih menekuni dunia kepengarangan hingga meraih kejayaan sebagai salah seorang sastrawan terbesar dalam khazanah sastra Arab moden. Karya-karyanya antara lain tiga novel sejarah berlatar belakang Mesir Kuno, The Mockery of Fate (1939), Radobais (1943) dan The Struggle of Thebes (1944) yang merupakan simbol keadaan politik Mesir masa itu. Sebagai seorang pengarang yang produktif, Mahfouz menerbitkan serangkaian novel lainnya termasuk Awlad Harithna (1959, diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul The Children of Gebelawi), sebuah novel alegoris dengan efek metafizik yang mengisahkan pengembaraan manusia dan kehausan atas kepercayaan agama. Pada tahun 1988, Naguib Mahfouz meraih penghargaan hadiah Nobel untuk bidang sastera.


1.1 SINOPSIS NOVEL

Novel “Awal dan Akhir” mengetengahkan suatu masalah yang dihadapi sebuah keluarga menengah Mesir, keluarga seorang pegawai pemerintah di sebuah kementerian, Kamal Effendi Ali yang tiba-tiba mesti berhadapan dengan kemiskinan menyusul kematian seorang ayah iaitu satu-satunya tulang belakang keluarga tersebut. Keluarga itu ialah Samira dan empat orang anaknya iaitu Hassan, Nefisa, Hussein dan Hassanein. Hussein yang merupakan anak yang boleh diharapkan dalam keluarga terpaksa memikul tanggungjawab untuk mencari rezeki kepada keluarga. Konflik timbul apabila Hussein bergolak antara tanggungjawab terhadap keluarganya iaitu membiayai pengajian adiknya Hassanein serta perkahwinan adik perempuannya Nefisa dan perasaan untuk mendirikan rumah tangga. Adiknya Hassanein berjaya memperoleh ijazah dan ingin menyambungkan pelajaran ke Akademi Perang. Masalah timbul lagi apabila Hassanein tidak mampu membayar biaya pengajiannya ke Akademi Perang. Pergolakan hidup dalam kemiskinan memaksa Nefisa menjual maruah diri menjadi pelacur. Hassanein yang mengetahui hal tersebut melalui rakannya memaksa Nefisa menebus dosanya dengan kematian. Akhirnya, Nefisa nekad untuk mati daripada meneruskan hidup dalam kemiskinan dengan terjun dari atas jambatan. Hassanein yang tidak menyangka Nefisa sanggup mati dan dia menyesal atas perbuatannya memaksa Nefisa untuk bunuh diri. Hassanein turut mengikut langkah Nefisa apabila kekesalannya sudah terlambat untuk mengembalikan adik perempuannya kembali. Novel ini adalah karya terbesar dalam kisah sedih penderitaan kemanusiaan yang dihiasi dengan konflik-konflik moral, material dan spiritual keluarga.


“Mereka Yang Tertewas” novel hasil karya Hasanuddin Md Isa ini mengetengahkan sebuah cerita yang lebih berlatar belakangkan penerapan Islam dalam hidup sebuah kelompok masyarakat di Kampung Bukit Setugal. Tapa yang dahulunya hidup sebagai orang miskin di Kampung Padi Setempat beralih arah berhijrah ke tempat lain setelah maruah diri dan keluarganya dicemuh dan dicaci apabila ingin memperisterikan Mimah. Tapa mengembara mencari penghidupan yang baru serta mendalami ilmu agama untuk melupakan masa silamnya. Tapa berhijrah ke Kampung Bukit Setugal dan memperisterikan Jamilah anak murid tok gurunya serta menebarkan syiar Islam. Kesucian hati Tapa atau dikenali sebagai Lebai Pa disalahertikan oleh penduduk kampung tersebut kerana mereka beranggapan Lebai Pa telah menyebarkan ajaran sesat dan ingin berkuasa di dalam kampung tersebut. Lebai Pa berusaha untuk mengembalikan pegangan agama penduduk Kampung Bukit Setugal yang semakin goyah dengan hiburan dunia sehinggakan kebanyakan anak-anak muda kampung tersebut terjebak dengan perkara maksiat. Beberapa buah pondok didirikan untuk dijadikan tempat menuntut ilmu agama. Usaha Lebai Pa tidak sia-sia apabila mendapat sokongan Uda Puat, Mat Yasin dan Pudin. Tomahan demi tomahan dilemparkan kepada Lebai Pa sebagai usaha untuk menggagalkan hasratnya menyebarkan agama tetapi pegangan hidup Lebai Pa yang banyak mencontohi sikap Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan agama menyebabkan Lebai Pa lebih bersemangat dan bersabar. Akhirnya Lebai Pa mampu mengubah pemikiran penduduk kampung untuk menerima Islam dan sedar atas kesalahan yang pernah mereka lakukan ke atas Lebai Pa.


2.0 APA ITU RETORIK?

Rhetorike berasal daripada perkataan Yunani iaitu bermaksud seni berpidato. Dalam bahasa Perancis, retorik disebut sebagai Rhetorique dan bahasa Jerman disebut sebagai Rhetorike seterusnya menjadi Rhetoric dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Arab pula, retorik disebut sebagai Al-Balaghah yang bermakna sampai terang dan jelas dan terbahagi kepada tiga jenis iaitu Al-Bagan, Al-Maani dan Al-Badi. Retorik bahasa Melayu diperincikan oleh sarjana bahasa Melayu. Retorik Melayu Klasik seperti peribahasa, pantun, syair, gurindam dan lain-lain. Disiplin ilmu retorik merangkumi kesusasteraan, komunikasi, linguistik, wartawan, fotografi, filem, kritikan, perbandingan, teater, seni-lukis, sufi dan forensik. Retorik moden pula merupakan seni menggunakan bahasa secara berkesan untuk memujuk khalayak serta seni keindahan dalam berbahasa sama ada dalam pengucapan ataupun penulisan berbentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Retorik moden juga merupakan seni memanipulasi bahasa untuk tujuan propaganda.

T.S Eliot menyatakan retorik “is one of those words which it is the business of criticism to dissect and reassemble” (adalah satu daripada sekian kata yang menjadi urusan kritikan untuk mencerai-cerai dan mencantumkannya semula). Kata ini telah dimanfaatkan untuk tujuan menyanjung para penulis, manakala pada kesempatan lain untuk mengecam mereka pula. Apabila seseorang penceramah berceramah di khalayak ramai dia menjangkakan audiens yang di ceramahnya suatu audiens yang ingin dipengaruhi, dirayu atau barangkali untuk ditegur dan diperintah. Dan ceramah awam tentu saja berbeza daripada perbualan peribadi. Seorang retor akan menggunakan jenis bahasa yang lebih berseni, lebih teratur dan formal jika dibandingkan dengan apa yang dilakukannya dalam perbualan sehari-hari. Setidak-tidaknya dia akan lebih teratur daripada biasa, memilih kata-kata dengan lebih berhati-hati; sekiranya tidak, dia akan mendapati dirinya bukan berkomunikasi dengan suatu audiens melainkan berucap kepada angin lalu. Daripada implikasi-implikasi ini kita dapat membentuk suatu definisi retor yang memadai sebagai seseorang yang mahir berucap yang ucapannya mempunyai impak terhadap pendengarnya.

Retorik dalam pengertian istilah sastera-kritikan ialah merangkumi kesemua dalam teknik yang digunakan oleh seseorang penulis dalam membina perhubungan yang erat dengan para pembacanya dan alat pemikiran dan perasaannya dilahirkan serta memandu tanggapan-tanggapan pembaca kepada karyanya. Retorik juga ialah suatu seni pertuturan yang baik, tentang penggunaan kata dengan cara yang paling menguntungkan.
Rebecca Parkin, dalam Eighteenth- Century Studies, III (1969-70) halaman 139, mengatakan secara lumrahnya, retorik diterima sebagai merujuk khususnya kepada tropus dan majas, liuk-lintuk gaya dan corak kata-kata yang tanpa syak lagi mempamerkan kemahiran pengucapan dan kekayaan sumber daya seseorang pengarang.

Retorik juga merupakan label yang sesuai bagi semua cara yang remeh-temeh dan tidak berguna untuk mencuba mengharukan perasaan atau mempengaruhi suatu audiens. Retorik merujuk suatu gaya perhiasan yang berkilat tetapi tidak berharga, persembahan yang indah pada zahirnya tetapi tanpa isi atau boleh diterapkan kepada gaya yang cuba mempersona dengan mengambil cara mudah dengan penekanan yang berlebihan, cara yang menjurus ke arah percakapan yang hebat bunyinya tetapi tidak berfaedah, kata-kata yang muluk-muluk tetapi tidak berisi. (Peter Dixon,1991).


2.1 APA ITU SKEMA DAN MAJAZ?

Majaz bermakna memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk atau bahasa yang dapat difahami maknanya secara tersirat manakala skema atau ‘Schmes’ merupakan ayat-ayat yang boleh difahami maknanya secara tersurat. Skema terdiri daripada lima skema yang setiap satunya mempunyai cabang yang lebih kecil lagi. Kategori skema terdiri daripada skema seimbang, skema perulangan, skema pengguguran, skema ragaman dan skema hiperbaton. Skema seimbang pula terdiri daripada tiga cabang yang lebih kecil iaitu paralelisme, antitesis dan isokolon. Skema perulangan mengandungi anafora, epistrop, anadiplosis, poliptoton, epanalepsis, klimaks, asonansi dan aliterasi. Skema pengguguran terdiri daripada elipsis, asindenton, dan polisindeton. Skema ragaman melibatkan umum-khusus, khusus-umum, abstrak-konkrit, konkrit-abstrak, dan enumerasi. Skema hiperbaton terdiri daripada aposisi dan parentesis.

Majaz terbahagi kepada dua bentuk iaitu majaz yang difahami dengan akal dan majaz yang difahami dengan lafaz. Majaz pertautan terdiri periprasis, sinekdot, alusi, eufemisme, disfemisme, pleonasme, dan metonimi. Majaz perbandingan pula terdiri daripada metafora, simile, dan personifikasi. Majaz pertentangan mengandungi majaz hiperbola, ironi, oksimoron dan litotes. Majaz ragaman pula terdiri daripada simetri, onomatopia, antimeria dan ekslamasi.


3.0 ANALISIS TEKS

SKEMA SEIMBANG
Skema seimbang merujuk kepada perubahan bentuk atau susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang menghasilkan kesan makna yang berbeza. Terdapat tiga jenis strategi dalam skema ini iaitu paralelisme, antitesis dan isokolon.

Paralelisme
Paralelisme ialah kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa atau klausa yang berhubungan (Corbett & Connors, 1999)
Contoh ayat:
(i) …membiakkan anak-anak baung, temalian, kenerap, patin, jelawat, sengiring, tilan, kelah, tapah, belida dan puluhan jenis ikan-ikan lagi. (Mereka Yang Tertewas, 2)

(ii) …belajar ilmu tajwid, fikah, usul, tauhid, sirah, mantik dan segala ilmu tentang agama Islam… (Mereka Yang Tertewas, 82)

Antitesis
Antitesis ialah suatu tindakan mengatur seiring idea-idea yang bertentangan.
Contoh ayat:
(i) Biar lebih ramai anak muda jantan dan betina, ibu bapa dan sesiapa sahaja… (Mereka Yang Tertewas, 13)

(ii) Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Pengetahuan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman, kebendaan dan harta atau usaha dah kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan pemikiran…(Mereka Yang Tertewas, 118)

Isokolon
Isokolon ialah pengulangan frasa-frasa dalam kepanjangan yang sama dan lazimnya berstruktur sejajar.


Contoh ayat:
(i) …Terlalu baik budinya, terlalu tinggi pengorbanannya,… (Mereka Yang Tertewas, 70)
(ii) ...Alangkah bodohnya Marwan, alangkah dungunya Bedah, alangkah tololnya Tapa. (Mereka Yang Tertewas, 32)

SKEMA PERULANGAN
Skema perulangan merupakan pengulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada, dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai.

1. Anafora
Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa.
Contoh ayat:
(i) ...Sebelum ruam menjadi kudis. Sebelum kudis menjadi pekung,... (Mereka Yang Tertewas, 74)

(ii) Semakin berkembang dakwah Islam itu, semakin besar pula tanggungjawab jihad dan semakin besar pula pahala yang disediakan oleh Allah... (Mereka Yang Tertewas, 123)

2. Epistrop
Epistrop ialah pengulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada permulaan akhir klausa-klausa yang berurutan.
Contoh ayat:
(i) ...mimpi menghapuskan masa lalunya, untuk memiliki rumah baru, nisan baru, kerabat baru, kemakmuran dan kejayaan. (Awal dan Akhir,162)

(ii) Uda Puat akan bela Imam. Mat Yasin akan bela Imam. Pudin akan bela Imam dan seluruh penduduk Bukit Setugal yang cintakan agama Allah akan tetap membela Imam. (Mereka Yang Tertewas, 75)

3. Anadiplosis
Anadiplosis ialah pengulangan kata akhir dalam sesuatu klausa pada permulaan klausa yang berikutnya.
Contoh ayat:
(i) Aku tidak dendam tetapi sedih; sedih untuk diriku sendiri dan untuk berjuta-juta orang lainnya seperti diriku. (Awal dan Akhir, 14)

(ii) Pada hakikatnya kita yang hidup di atas dunia ini menumpag, menumpang di bumi Allah. (Mereka Yang Tertewas, 75)

4. Poliptoton
Poliptoton ialah pengulangan kata-kata yang berasal daripada kata akar yang sama.
Contoh ayat:
(i) Kenyataannya, dia berharap banyak kebaikan, baik untuk dirinya sendiri ataupun keluarganya... (Awal dan Akhir, 259)

(ii) ...Tapa mengucapkan satu ucapan yang meleburkan hasrat... (Mereka Yang Tertewas, 46)

5.Epanalepsis
Epanalepsis ialah pengulangan kata-kata pada akhir sesuatu klausa yang telah terdapat pada awal klausa.
Contoh ayat:
(i) Keputusan ayah dan ibunya adalah keputusan!... (Mereka Yang Tertewas, 21)

6. Klimaks
Klimaks ialah penyusunan kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa dalam urutan kepentingan yang meningkat.



Contoh ayat:
(i) ...dalam harapan yakni suatu hari dia akan menjadi kopral dan kemudian sersan mayor. Kemudian, dengan satu pukulan, dia mampu membayar lunas semuanya!. (Awal dan Akhir, 115)

(ii) Moga-moga hari esok, lusa, tulat, tubin dan hari-hari yang seterusnya,... (Mereka Yang Tertewas, 135)

Asonansi
Asonansi ialah pengulangan bunyi vokal yang sama dalam sukukata-sukukata yang diberi penekanan pada kata-kata yang bersebelahan.
Contoh ayat:
(i) ...dahi penuh peluh... (Awal dan Akhir, 199)
(ii) ...bengkok berkerekot.. (mereka yang tertewas, 177)

Aliterasi
Aliterasi ialah pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan.
Contoh ayat:
(i) ”...matanya yang rakus terus tertancap tajam pada wajah gadis itu...” (Awal dan Akhir, 74)

(ii) Lebai Pa bagaikan bertabiat budak beringus,... (Mereka Yang Tertewas, 133)

SKEMA PENGGUGURAN
Skema pengguguran merupakan pengguguran kata hubung atau tanda mekanis. Penggunaan kata hubung yang melebihi kebiasaan bertujuan untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa.



Elipsis
Elipsis ialah pengguguran secara sengaja kata atau beberapa kata yang dibayangkan oleh konteks.
Contoh ayat:
(i) Di tengah-tengah senyuman anak-anak pokok madrasah Bukit Keledang, di hadapan dua orang saksi jurunikah, di hadapan Imam Mat yang berperanan sebagai wali hakim kepada bakal isterinya, Tapa mengucapkan satu ucapan yang meleburkan hasrat para iblis dan syaitan yang ingin membenamkan manusia ke lembah penzinaan. (Mereka Yang Tertewas, 46)

Asindeton
Asindeton ialah penggunaan kata hubung antara siri-siri klausa yang berhubungan.
Contoh ayat:
(i) ...menerima manusia-manusia yang mulia, yang berdosa, yang zalim, yang derhaka, yang takbur, yang riak, yang fasik, yang munafik, yang muslim dan yang kafir membuang sisa-sisa badan mereka... (Mereka Yang Tertewas, 2)

Polisindeton
Polisindeton ialah penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan dalam rumus tatabahasa.
Contoh ayat:
(i) ...Akademi biasanya dipenuhi keluarga dan kerabat, dan kadet kembali sesudah itu ke kamar mereka... (Awal dan Akhir, 116)

(ii) Dia asyik dengan pikiran-pikiran tentang masa depannya sendiri dan keluarganya, dan pertemuannya dengan Hassan merupakan perhatian utamanya. (Awal dan Akhir,167)


SKEMA RAGAMAN
Skema ragaman merupakan manipulasi kata atau frasa yang pelbagai dari segi teknik, penyusunan serta kesannya.
Umum-khusus
Umum-khusus ialah penggunaan kata atau frasa yang membawa makna umum pada bahagian awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahasa tengah atau pengakhiran ayat.
Contoh ayat:
(i) Pada Jumaat petang, dia berdiri di Taman Ratu Farida, menunggu bus nomor sepuluh untuk membawanya ke akademi. (Awal Dan Akhir, 131)

(ii) Dia begitu keletihan setelah menempuh perjalanan pulang ke Bukit Setugal yang agak jauh jaraknya daripada Kampung Paya Tubi. (Mereka Yang Tertewas, 65)

Khusus-umum
Khusus-umum ialah kebalikan kepada strategi umum-khusus.
Contoh ayat:
(i) Saya hanya belajar di madrasah An-Najjah bertempat di Bukit Keledang. (Mereka Yang Tertewas, 120)

(ii) Begitu dia melahap sarapannya, perhatiannya khususnya tertuju pada salad kacang polong sangrai, kesukaannya yang tidak ada di Kairo. (Awal Dan Akhir, 24)

Abstrak-konkrit
Abstrak-konkrit ialah gandingan di antara kata atau frasa yang pengertiannya berbentuk abstrak atau ghaib pada bahagian awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud konkrit atau bukan ghaib pada bahagian ayat atau frasa berikutnya.
Contoh ayat:
(i) ...dia mampu memberikan jalan keluar pada kemarahan seperti itu hanya dalam mempertanyakan cara Tuhan memperlakukan manusia, merasa heran... (Awal dan Akhir, 117 )

(ii) ”Saya sudah hampir 30 tahun tidak menjenguk muka ke Kampung Padi Setempat.” (Mereka Yang Tertewas, 126)

Konkrit-abstrak
Konkrit-abstrak ialah gandingan di antara kata atau frasa yang pengertiannya berbentuk konkrit pada awal ayat dengan kata atau frasa yang berbentuk abstrak atau ghaib pada ayat berikutnya.
Contoh ayat:
(i) Biar nanti masyarakat Bukit Setugal akan tunduk kepada hukum Allah. (Mereka Yang Tertewas, 115)

(ii) Dia menatap apa pun di sekitarnya dengan kegelisahan dan permusuhan. (Awal Dan Akhir, 70)

Enumerasi
Enumerasi ialah menyatakan diksi atau frasa penting terlebih dahulu sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut maksudnya secara ringkas pada frasa berikutnya.
Contoh ayat:
(i) Islam adalah agama yang menyeluruh, mencakup semua bidang kehidupan. (Mereka Yang Tertewas, 118)

(ii) Seorang muslim itu merupakan binaan kepada yang lain, seumpama batu bata yang akan meneguhkan dan mengukuhkan antara satu sama lain. (Mereka Yang Tertewas, 196)

SKEMA HIPERBATON
Skema hiperbaton merupakan penyusunan perkataan yang menyimpang daripada aturan yang lazim.

1.Aposisi
Aposisi ialah penyusunan sebelah menyebelah dua elemen yang berkaitan dengan elemen yang kedua berfungsi sebagai penjelasan atau pengubahsuaian bagi elemen yang pertama.

Contoh ayat:
(i) ”...Masjid itu rumah Allah, tempat manusia meletakkan dahinya sujud untuk menyatakan ketundukan mereka kepada Allah. (Mereka Yang Tertewas, 99)

(ii) Maka dia memuaskan diri dengan pemandangan-pemandangan Akademi itu, aula yang luas, dengan bangunannya yang luar biasa dan besar, dan dua patung senjata berdiri di pintu gerbang... (Awal dan Akhir, 111)

2. Parentesis
Parentesis ialah penyisipan beberapa unit verbal dalam posisi yang mencelah urutan ayat biasa.
Contoh ayat:
(i) ”Aku akan tetap tinggal di flat itu sampai akhir bulan ini, karena – seperti ibu ketahui – aku sudah membayar sewanya.” (Awal Dan Akhir, 60)

(ii) ”Tidak ada yang layak diungkapkan – kecuali ibuku marah karena aku memintamu untuk menghormati adat dari keluargamu yang terhormat!” (Awal Dan Akhir, 139)


MAJAZ PERTAUTAN
Majaz pertautan merupakan hubungan pertautan makna sama ada yang brsifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan.

Periprasis
Periprasis ialah penggantian kata atau frasa deskriptif untuk nama khas atau bagi kualiti yang berkaitan dengan nama tersebut.
Contoh ayat:
(i) ...Islam datang bukan bertujuan menjadi pak turut kepada hawa nafsu yang mengatur pandangan hidup manusia,.. (mereka yang tertewas, 78)



Sinekdot
(i) Keseluruhan mewakili sebahagian
...menggolongkan masyarakat Bukit Setugal ke satu pihak yang terlalu fanatik...(Mereka Yang Tertewas, 52)
(ii) Sebahagian mewakili keseluruhan
Pertemuan itu bagaikan pertemuan di antara dua orang tokoh agama yang akan menentukan jatuh bangunnya agama Islam di Bukit Setugal itu. (Meraka Yang Tertewas, 66)

Alusi
Alusi merujuk kepada peristiwa, tokoh atau tempat dalam kehidupan nyata, mitos atau karya sastera yang terkenal.
Contoh ayat:
(i) 10 Muharam telah berlalu tanpa kenduri doa selamat dilangsungkan di surau. (Mereka Yang Tertewas, halaman 87)

(ii) ”... tujuan dalam kehidupan seperti misalnya memperbaiki Konstitusi tahun 1923, misalnya, akan lebih baik bagimu untuk menunda perkahwinanmu!...” (Awal Dan Akhir, 43)
Eufemisme
Eufenisme ialah menghaluskan kata-kata.
Contoh ayat:
(i) ...kemudian mereka akan beristirahat menuju tempat duduknya di ranjang dan... (Awal dan Akhir, 200)

(ii) Tanpa Pudin, Lebai Pa merasakan dia sudah lama meninggalkan dunia ini... (Mereka Yang Tertewas, 196)



Disfemisme
Disfemisme ialah kata-kata yang kasar diucapkan untuk tujuan tertentu.
Contoh ayat:
(i) ...Kau pelacur kotor!... (Awal dan Akhir, 302)

(ii) ”Sayalah yang bersalah, saya jahil, dungu, bodoh...” (Mereka Yang Tertewas, 182)

Pleonasme
Pleonasme ialah menggunakan kata-kata yang lebih banyak daripada yang diperlukan atau unsur lewah.
Contoh ayat:
(i) Air jernih di kolam mata yang sudah layu itu terjun lalu mengalir mengikut lekukan-lekukan di raut wajahnya. (Mereka Yang Tertewas, 11)

(ii) ...dia merasakan air ludahnya mendidih menghanguskan mulutnya. (Awal dan Akhir,74)

Metonimi
Metonimi ialah penggantian sifat-sifat atau perkataan yang tepat untuk menggantikan sesuatu maksud.
Contoh ayat:
(i) ”...Seperti aku katakan,dia hanyalah anak sekolah yang kurang pengalaman, tidak tahu apa-apa mengenai cara-caranya hidup di dunia ini.” (Awal dan Akhir, 244)

(ii) ”Ketika aku menanyakan rumahmu, aku mengetahui mereka memanggilmu ’Si Kepala’... ” (Awal dan Akhir, 86)

MAJAZ PERBANDINGAN
Majaz perbandingan merupakan penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan atau yang dengan sengaja dianggap sama.
Metafora
Metafora bermaksud memindahkan
Contoh ayat:
(i) Mengingat kembali betapa mereka pernah menganggap dia sebagai kambing hitam keluarga, dan betapa memandang dia sebagai penolongnya pada saat sengsara...(Awal Dan Akhir, 89)

Simile
Simile ialah perbandingan secara langsung.
Contoh ayat:
(i) Akademi itu bagaikan tongkat sihir, mampu mengubah dia dari nonwujud lemah dan kabur... (Awal Dan Akhir, 106)

(ii) Petang tadi, bagaikan singa yang kehilangan anak,... (Mereka Yang Tertewas, 144)

Personifikasi
Personifikasi ialah perkara yang menerangkan objek manusia kepada bukan manusia.
Contoh ayat:
(i) Semak mawar dan bunga camomile tampak sedang tidur dalam cahaya condong matahari. (Awal Dan Akhir, 268)

(ii) Cahaya matahari pagi yang menujah ke bumi menampar keseluruhan anggota Lebai Pa. (Mereka Yang Tertewas, 49)

MAJAZ PERTENTANGAN
Majaz pertentangan merupakan penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna.

Hiperbola
Hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesarkan dengan tujuan penekanan.

Contoh ayat:
(i) Hujan malam semalam yang lebat membasahi bumi... (Mereka Yang Tertewas, 67)

(ii) ...raut pucat putih wajahnya bercampur dengan kebiruan yang menandakan kematian.(Awal Dan Akhir, 274)

Ironi
Ironi ialah penggunaan kata-kata dalam suatu cara yang membawa maksud bertentangan daripada maksud literal nada kata tersebut.
Contoh ayat:
(i) ”Kau, dengan sosok tubuh seperti tiang lampu, dan ’putrimu’ hanya beberapa inci tingginya...” (Awal dan Akhir, 131)

Oksimoron
Oksimoron ialah pergandingan dua kata atau istilah yang secara lazimnya bersifat bertentangan.
Contoh ayat:
(i) ...tetapi ketegasan nyata ini tidak dapat menghapuskan kelembutan yang mendalam pada dirinya, (Awal dan Akhir, 12)

Litotes
Litotes ialah penggunaan sesuatu ungkapan atau frasa yang positif dalam bentuk negatif untuk menampakkan kehebatan atau merendah diri.
Contoh ayat:
(i) ...aku yang membalas surat Hussein, dan tulisan tanganku lebih buruk daripada wajahku. (Awal Dan Akhir, 120)

(ii) Lebai Pa mengibaratkan dirinya hanya setitis tinta di tengah lautan yang teramat luas, terlalu amat kecil dan daif. (Mereka Yang Tertewas, 8)


MAJAZ RAGAMAN
Majaz ragaman merupakan kepelbagaian struktur ayat yang membawa pelbagai makna.

Simetri
Simetri ialah penggunaan kata atau frasa yang sama atau hampir sama maksudnya.
Contoh ayat:
(i) Bagi Lebai Pa, seorang pemimpin seperti juga seorang bapa. (Mereka Yang Tertewas, 104)
Onomatopia
Onomatopia ialah penggunaan kata-kata yang bunyinya meniru makna kata tersebut.
Contoh ayat:
(i) Pap!Pap! Pap! Pap! Bunyi gegendang kulit kerbau dipukul dengan tangan. (Mereka Yang Tertewas, 171)

(ii) Meskipun menyinga muka tuk ketua... (Meraka Yang Tertewas, 95)

Antimeria
Antimeria bermaksud penggantian golongan kata dengan golongan kata yang lain.
Contoh ayat:
(i) ...Imam Min tidak dapat menangkap maksud yang tersirat daripada kata-kata Lebai Pa itu. (Mereka Yang Tertewas, 71)

(ii) Gegendang telinga Tapa masih sempat menangkap suara jeritan Mimah. (Mereka Yang Tertewas, 32)

Ekslamasi
Ekslamasi ialah menggunakan kata seru bagi menegaskan maksudnya.
Contoh ayat:
(i) ”Ah! Gadis-gadis di negeri ini lebih dari cukup daripada udara dan lebih dari murah daripada debu.” (Mereka Yang Tewas, 265)

(ii) Ah, tak mungkin Syeikh Abd. Qahar hendak membohonginya! (Mereka Yang Tertewas, 167)


4.0 FALSAFAH DAN NILAI-NILAI MURNI

Dalam novel ”Mereka Yang Tertewas”, pengarang lebih menerapkan nilai-nilai yang berunsurkan Islam dalam karyanya iaitu nilai kepatuhan kepada suruhan Allah taala dan sifat-sifat Rasulullah yang dijadikan contoh oleh Lebai Pa. Pengarang juga memaparkan sikap manusia yang lalai dalam menuntut dan mematuhi ajaran Islam dalan kehidupan. Hal ini dapat dilihat melalui sikap seluruh penduduk Kampung Bukit Setugal yang leka mengejar hiburan dunia dan melupakan ajaran agama yang sebenar.

Nilai kesetiaan dan kepercayaan kepada ajaran Islam telah menjadikan manusia itu mampu memimpin sekelompok manusia yang jahil dan lalai. Lebai Pa walaupun dianggap oleh orang kampung sebagai orang dagang, dia akhirnya mampu mengubah persepsi panduduk Kampung Bukit Setugal bahawa Islam yang dibawanya ialah Islam yang benar dan tidak menyesatkan. Lebai Pa masih setia dan berpegang kepada ajaran agama yang sebenar serta tidak terikut berpengaruh dengan kehidupan asal penduduk kampung tersebut.

Pengarang juga turut mencungkil nilai kesungguhan dalam menyebarkan syiar Islam yang tiada batasnya sama ada keatas orang yang sudah bergelar penggiat agama atau golongan yang biasa. Islam itu dipaparkan oleh pengarang sebagai agama yang menyeluruh mencakupi berbagai-bagai hal yang menyentuh soal agama. Lebai Pa bersungguh-sungguh ingin memimpin penduduk kampung supaya menjauhi perkara yang mungkar dan mendekatkan diri kepada Allah.

Nilai menghormati hak orang lain turut dipaparkan oleh pengarang dalam karyanya. Hak kemanusiaan hanya boleh dicerobohi apabila sesuatu itu menyimpang daripada kehidupan yang sebenar. Pengarang bijak mengungkap nilai sebegini melalui tindakan Lebai Pa yang menghormati Imam Min dengan bertanyakan persetujuan Imam Min untuk membuka kelas agama dan mengajak penduduk Kampung Bukit Setugal ke jalan yang benar. Lebai Pa menghormati peranan Imam Min sebagai Imam di kampung tersebut dan tidak bertindak mengikut kehendak hatinya sendiri.

Dalam penulisan novel ini, pengarang dilihat sangat mementingkan nilai keindahan bahasa itu sendiri dengan berpegang kepada keindahan bahasa berasaskan konsep ilmu yang benar iaitu menghasilkan karya dengan makna yang baik-baik dan bermanfaat, bukan untuk mencari sensasi yang bersifat hawa nafsu. Konsep ihsan juga menjadi falsafah kepada penulisan pengarang kerana jika konsep ini dijadikan paksi dalam mencorak keindahan bahasa, maka hasil karya yang akan terhasil nanti ialah hasil seni yang membuatkan manusia berasa aman membacanya, tidak gelisah atau marah-marah. Pengarang juga tidak akan terpesong dengan tujuan penulisannya yang sebenar.

Naguib Mahfouz pula melihat kemiskinan dan kesengsaraan hidup akibat hilang tempat bergantung mampu digarap menjadi sebuah cerita yang penuh dengan kesedihan dan malapetaka yang sering kali berlaku silih berganti. Novel ini juga menyisipkan berbagai-bagai jenis ketimpangan sosial yang terjadi dalam masyarakat. Pengarang lebih berfokus untuk bercerita berlatarbelakangkan tempat asal pengarang sendiri iaitu Kairo. Pengarang juga melihat sebuah kehidupan itu mampu menghadapi konflik yang tidak kira sama ada diuji keatas orang miskin atau orang kaya sekalipun. Kemiskinan ini menyingkap perbezaan antara yang kaya dan yang miskin, antara penguasa yang dikuasai, antara yang kuat dan yang tidak terdaya. Simbol kemiskinan menjadikan manusia lebih berusaha untuk merubah nasib mereka supaya menjadi lebih baik semula malah disebabkan kemiskinan itu juga, manusia tidak dapat menerima kenyataan hidup yang lebih teruk.

Novel ”Awal dan Akhir” pula banyak menerapkan nilai kemanusiaan yang bergelombang dengan dugaan dan cabaran dalam hidup. Sikap kebergantungan kepada orang lain lebih dipaparkan oleh pengarang dalam novel ini. Manusia ini dilihat oleh pengarang sebagai makhluk yang mudah lupa diri atas pertolongan orang lain dan terlalu mengejar kehidupan yang selesa di dunia sahaja sehinggakan hilang pertimbangan untuk mencari rezeki yang halal dan sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk mendapatkan wang. Nefisa sanggup menggadaikan maruah semata-mata tidak sanggup untuk hidup miskin manakala Hassanein pula terlalu mengejar pangkat untuk menjadi orang yang dihormati.

Selain itu, nilai ketaatan kepada agama juga tidak ketinggalan diselitkan oleh pengarang dalam novel ini. Walaupun banyak masalah dan musibah silih berganti yang berlaku dalam keluarga tersebut, ibu Hussein masih berdoa meminta kesejahteraan kesemua anak-anaknya. Nilai tanggungjawab kepada keluarga diungkapkan oleh pengarang melalui peranan watak Hussein yang ditonjolkan sangat bertanggungjawab memastikan keluarganya hidup dalam keadaan yang selesa dan cuba memenuhi segala keperluan serta kehendak keluarganya tanpa jemu. Hussein terpaksa menangguhkan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga kerana berfikir tanggungjawab berat yang harus dipikulnya setelah kematian bapanya. Hussein tidak mahu lagi menjadikan kemiskinan sebagai suatu penghidupan yang berterusan.

Di samping itu, nilai kekeluargaan yang erat walaupun ditimpa musibah masih ditekankan oleh pengarang dalam novel ini. Masalah yang dihadapi oleh keluarga Hussein turut dibantu oleh abangnya yang sering dianggap sebagai kambing hitam dalam keluarga. Walaupun sudah berlainan cara penghidupan mereka, Hassan masih membantu Hassanein melanjutkan pelajarannya ke Akademi Perang dengan memberikan wang perbelanjaan hasil kerja haramnya. Apabila Hassan ditimpa musibah dengan kecederaan yang teruk akibat bergaduh, Hassanein datang membantu walaupun baginya dia tidak menyetujui cara hidup saudara lelakinya itu.


5.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, kedua-dua novel yang telah saya baca ini merupakan novel yang cukup berlainan dan kedua-duanya menyampaikan mesej atau nilai yang juga berlainan. Novel ”Mereka Yang Tertewas” dipilih kerana novel ini dilihat mampu mengungkapkan beberapa kalimah yang biasanya sudah jarang kita dengar dalam penulisan kreatif pada zaman sekarang. Cara penulisan pengarang lebih kepada keislaman atau agama itu sendiri yang perlu ditekankan dalam kehidupan manusia. Novel ini banyak menambahkan pembendaharaan kata pembaca tentang agama Islam. Sebagai contohnya, kata fasik, munafik, mursyid dan sebagainya.

Penulisan yang paling menarik dalam novel ini ialah pembaca banyak menggunakan perkataan yang memuji-muji kebesaran Allah taala dan para sahabat Rasulullah, kebesaran Allah serta sifat-sifat Rasulullah yang wajar dicontohi apabila berdakwah. Pada awal penulisan lagi, pengarang telah memulakan keindahan bahasa itu dengan laungan azan. Pada akhir penulisan novel ini, pengarang tidak lupa untuk menyelitkan kata-kata yang menyanjung kebesaran Allah seperti Maha Suci Allah, Puji-puji bagi Allah, Allah Maha Besar. Penulisan sebegini akan membuatkan kita menilai dengan senang, tepat, jitu dan objektif sebarang karya; dan kita dapat menentukan mutu serta kedudukannya kerana manusia dapat membuat pilihan melalui iktibar yang dilakukan oleh akal yang terdidik dalam konsep ilmu yang benar tadi.

Walaupun karya penulisan ini hanya disempitkan kepada nilai-nilai Islam, tetapi penulisannya lebih universal sifatnya kerana mampu mengungkapkan keindahan bahasa itu dengan pelbagai gaya dan masih berlandaskan nilai-nilai Islam itu sendiri. Novel ini sangat bagus untuk dibaca dan dikaji kerana bagi pendapat saya, kelainan penulisan yang ingin disampaikan oleh pengarang bertemakan unsur Islam ini dapat dilihat bentuk penulisannya tidak hanya kelansungan hawa nafsu semata-mata tetapi pengarang menjadikan karyanya lebih teratur dan tidak terpengaruh kepada bentuk karya barat yang lebih menekankan dan memakai konsep ilmu yang salah dan menyesatkan iaitu menggunakan bahasa erotik untuk merangsang nafsu berahi para pembaca. Tarikan kepada karyanya adalah bermatlamat untuk mengenal tanda-tanda kebesaran Allah di dunia dan dari pengenalan itu dapatlah dibaca makna tanda-tanda itu dalam kehidupan manusia. Dalam karya ini juga, saya melihat pengarang menggunakan bahasa seperti matlamat sebenar bahasa itu diajarkan kepada manusia oleh Allah Ta’ala. Jika pengarang tersasar sekalipun, atau lalai, dia akan kembali kepada hakikat taklif tadi.

Dalam novel ’Awal dan Akhir’, saya berpendapat novel ini sangat istimewa kerana pandangan hidup yang tidak dapat dibayangkan begitu tragis menimpa sebuah keluarga silih berganti menyebabkan novel ini memiliki kekuatan luar biasa. Walaupun latarnya adalah Kairo, pandangan yang ada di dalamnya benar-benar universal. Nilai-nilai universal sebuah novel hanya boleh dicapai oleh karya sastra yang secara tulus mampu mengungkapkan masalah yang benar-benar berakar dalam masyarakat. Peristiwa demi peristiwa yang dijalin dengan rapi, dalam bahagian-bahagian ringkas yang padat, masing-masing mengungkapkan kepada kita bahawa pengarang meletakkan dirinya sebagai pelaku dalam cerita tersebut.

Perkara yang menarik apabila saya membaca novel ini ialah, saya dapat merasakan apa yang ingin disampaikan oleh pengarang kerana pengarang begitu teliti menulis setiap inci peristiwa yang berlaku supaya peristiwa itu nampak sebagai kejadian yang benar-benar berlaku dan bukan dibuat-buat. Novel ini juga banyak menambahkan perbendaharaan kata dalam bahasa Arab seperti kunafa, piaster, gallabaya dan tarbush.

Walau bagaimanapun, ada segelintir penulisannya lebih kepada unsur-unsur bahasa yang bersifat erotik dan kadang-kala merangsang nafsu berahi para pembaca. Sebagai contohnya,
Ini pasti akan menjadi lambang kekuasaan dan kejayaan dengan memiliki gadis dari keturunan baik itu, berbaring di pelukanku telanjang dan menyerahkan diri, kelopak matanya tertutup, bagaikan seluruh anggota badan dari tubuhnya yang berghairah tengah melenguh. (Halaman 94 )
Bahasa sebegini pada pendapat saya bukanlah bahasa yang indah dan bukan bahasa yang berseni walaupun dikiaskan atau disusun dengan cukup baik. Bahasa sebegini hanya ingin melariskan penjualan novel dan bukan bersifat penyampaian ilmu yang benar. Bahasa yang digunakan juga ada yang kurang difahami kerana diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Jadi, tidak hairanlah bagi saya jika novel ini mengikut cara penulisan barat yang hanya mengelirukan pembaca dengan menyifatkan itu sebagai keindahan bahasa.

Oleh itu, secara keseluruhannya, kedua-dua novel ini sangat menarik dan kelemahan yang terdapat dalam novel merupakan sebahagian daripada lumrah penulisan kerana setiap makhluk Allah di dunia ini tidak terlepas daripada kesalahan. Gaya penulisan yang berlainan daripada pengarang atau penulis yang berlainan mengambarkan setiap pengarang sesebuah karya mempunyai identiti mereka sendiri dalam menyampaikan gaya penulisan mereka. Kelainan itulah yang disebut sebagai keindahan bahasa yang hanya boleh di tafsir dan diungkap melalui perspektif yang berbeza juga.

BIBLIOGRAFI

Hasanuddin Md. Isa (1991). Mereka Yang Tertewas. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Naguib Mahfouz (2000). Awal dan Akhir. Jakarta : Yayasan Obor Indonesia.
Peter Dixon (1991). Retorik : Siri Konsep Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka









4 comments:

  1. pengulasan yang bagus. saya sememangnya meminati novel2 lama bergenre seperti ni kerana gaya bahasanya

    ReplyDelete
  2. maksud saya pengulasan tentang novel Mereka yang tertewas. ni nak carik sambungan yg ke dua tak jumpa lagi.payah betul nak cari novel yg "rare" sekarang ni

    ReplyDelete
  3. Maaf..sedikit pertanyaan..buku mereka yg tertewas dgunakan d negeri mne ye..sbb sy cri buku tu d area melaka tp xjmpe...diorg ckp mungkin d gne kn d negeri lain...mohon pencerahan...tq

    ReplyDelete