Tuesday, October 6, 2009

MEMARTABATKAN BAHASA KEBANGSAAN SEBAGAI BAHASA ILMIAH DI UNIVERSITI

1.0 Pendahuluan

Sebenarnya kita sudahpun memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Kita juga sudah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara dan bahasa pengantar di sekolah-sekolah.Hanya satu persoalan timbul iaitu sudahkah kita memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu di universiti?. Merujuk kepada perkara 152 perlembagaan Malaysia, bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu yang ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh parlimen. Bahasa Ilmiah pula merupakan bahasa ilmu pengetahuan moden yang sebahagian besarnya bahasa sains dan teknologi. Bahasa Ilmiah juga dapat didefinisikan sebagai bahasa Melayu yang digunakan dalam bilik darjah dan bilik kuliah serta bahasa yang menjadi saluran ilmu pengetahuan yang lengkap dengan ungkapan dan istilah yang tepat dan canggih. (Nik Safiah Karim,2000). Dalam konteks penggunaan bahasa Ilmiah dalam pembelajaran dan pengajaran di universiti, pelbagai keraguan timbul sama ada penggunaan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Ilmiah bertepatan dengan perubahan masa yang mementingkan aspek sains dan teknologi. Pada tahun 1970, Universiti Kebangsaan Malaysia merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang tunggal di Malaysia. (Nik Safiah Karim:1992(84)). Hal ini membuktikan bahasa Melayu sudah di gunakan tetapi pelaksanaannya tidak menyeluruh di universiti-universiti lain. Negarawan Abd Razak dan Abd Rahman Talib merupakan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab meletakkan batu asas menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di negara ini melalui Penyata Razak pada thun 1956 dan Penyata Rahman Talib pada tahun 1960.(Awang Sariyan:1995(51)) Peranan negarawan ini sebenarnya merupakan langkah awal mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu yang lebih menyeluruh. Hal ini terbukti bahawa sekarang ini bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dengan pengertian yang sebenarnya dapat disampaikan dan disebarkan melalui bahasa tersebut.

2.0 Penilaian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmiah di Universiti
2.1 Sejarah kegemilangan bahasa Melayu

Penilaian terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa akademik di universiti dapat kita lakukan dengan mengambil kira sejarah kegemilangan bahasa Melayu. Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu sudah berperanan sebagai media penyebaran persuratan ilmu falsafah yang tinggi di Nusantara sejak zaman silam lagi. Menurut Asmah Haji Omar (2002):
Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi empayar Sriwijaya adalah bukti bagi keupayaan dan keteguhan bahasa Melayu dari segi faktor dalamannya (iaitu sistem dan strukturnya) yang selaras dengan perluasan bidang penggunaannya.

Terdapat beberapa tokoh intelek yang menulis, menterjemah dan menghasilkan buku mengenai perubatan, matematik dan sejarah. Sirat al-Mustaqim merupakan kitab awal yang ditulis dalam bahasa Melayu dan ditulis oleh Nuruddin al-Raniri pada tahun 1045(1644 M). Selain itu, tradisi persuratan Melayu pada zaman itu turut memperlihatkan perkembangan ilmu tentang ketatanegaraan dan undang-undang dalam bahasa Melayu. Kita turut mengenali tentang hukum yang terkenal seperti Hukum Kanun Melaka,Undang-undang Johor,Undang-undang Perak dan Undang-undang Kedah. Contoh karya dan dokumen di atas adalah merupakan mercu tanda awal dalam kegemilangan yang diungkapkan dalam tulisan ilmiah Alam Melayu. Oleh itu, kaya-karya agung pada zaman silam yang begitu banyak tentunya mencerminkan ketinggian ilmu dan kegemilangan bahasa Melayu dalam pelbagai bidang pada zaman itu. Jadi, tidak mustahil bahasa Melayu dapat dimartabakan sebagai bahasa ilmiah di universiti.

2.2 Peristilahan

Kemampuan bahasa Melayu iaitu bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmiah di universiti turut dilihat dari segi peristilahan.Aspek bahasa ini perlu diperkaya untuk memungkinkan bahasa Kebangsaan menjadi bahasa ilmiah dan dapat diperluaskan penggunaannya.Istilah merupakan kata atau frasa yang mengungkapkan konsep yang khusus yang terdapat dalam sesuatu bidang ilmu atau profesional.Sebagai bahasa akademik untuk pelbagai bidang ilmu di universiti-universiti,bahasa Melayu tentunya perlu mmpunyai istilah yang secukupnya untuk mengungkapkan ilmu. Sudahkah kita mempunyai jumlah istilah yang mencukupi untuk memperkatakan hal-hal yang abstrak dalam pelbagai bidang ilmu?Menurut Awang Sariyan 1995:

Istilah mencerminkan makna, konsep, proses,keadaan atau sifat khusus sesuatu dalam bidang tertentu.Tanpa istilah yang mendukung sesuatu makna, konsep,dan proses,kita tidak dapat mengungkapkan, mengajarkan atau mempelajari ilmu dalam bahasa kita.

Demi menegakkan Dasar Pendidikan Negara dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar ilmu di sekolah dan juga di universiti, langkah-langkah konkrit telah diambil oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang ditubuhkan pada tahun 1956 untuk menciptakan istilah-istilah yang diperlukan dalam bidang akademik.Beberapa jawatankuasa istilah telah ditubuhkan pada tahun 1957 bagi memudahkan proses penentuan istilah.Antara jawatankuasa yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Istilah Pendidikan yang dianggotai oleh pensyarah-pensyarah universiti dan pakar-pakar dalam pelbagai bidang.Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka tidak henti-henti berusaha memperkayakan gedung peristilahan dalam pelbagai bidang ilmu. Tindakan ini berhasrat untuk membolehkan bahasa Melayu benar-benar berfungsi sebagai bahasa ilmu dengan lebih sempurna di universiti.

2.3 Penghasilan buku dan jurnal
Selain daripada penilaian dari aspek peristilahan, kemampuan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Ilmiah di universiti juga dapat dilihat melalui penghasilan buku dan jurnal yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pusaka. Sebelum tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka, penerbitan buku-buku pelajaran, buku-buku teks, jurnal dan bahan-bahan bacaan hanya dilakukan oleh Pejabat Karang-Mengarang di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim, Perak. Buku-buku teks, jurnal dan bahan-bahan pelajaran untuk pendidikan tinggi hampir tidak ada dan kesemuanya ada dalam bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, Dewan bahasa dan Pustaka selaku agensi kerajaan yang diamanahkan untuk memajukan dan memperkayakan bahasa Kebangsaan terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyediakan buku-buku dan bahan-bahan pelajaran untuk sekolah-sekolah dalam bahasa Melayu. Hal ini bagi memenuhi hasrat negara dan sistem pendidikan kebangsaan bagi menggantikan bahasa pengantar bahasa Inggeris dengan bahasa Kebangsaan. Usaha gigih Dewan Bahasa dan Pustaka serta bantuan pensyarah-pensyarah universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain serta pakar-pakar pelbagai bidang ilmu, penerbitan buku-buku teks untuk pengajian tinggi, buku bahasa dan sastera, buku-buku umum peringkat dewasa dan kanak-kanak, buku-buku peringkat menengah dan rendah dan bulu-buku dalam pelbagai bidang ilmu yang lain berjaya dihasilkan di semua institusi pendidikan.

2.4 Tatabahasa yang sempurna
Aspek penilaian lain yang dapat kita lakukan bagi memartabatkan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Ilmiah di universiti adalah dari segi tatabahasa yang sempurna. Bahasa yang berfungsi sebagai bahasa akademik perlulah sempurna iaitu sempurna dari segi tatabahasa dan sempurna dari segi keintelektualan bahasa. Menurut Zulkifley Hamid (1996):

Tatabahasa merujuk kepada peraturan-peraturan atau cara menyusun pelbagai unsur dalam sesuatu bahasa agar bersesuaian dengan kaedah penyusunan secara sintagmatik.

Hingga kini bahasa Melayu sudah pun mempunyai buku-buku tatabahasa yang sempurna dan sesuai dijadikan rujukan dan buku panduan termasuklah buku Pelita Bahasa oleh Za’ba yang telah berabad-abad menjadi buku pegangan dan panduan guru-guru dan pelajar-pelajar. Terdapat juga buku-buku panduan ejaan sebutan baku dan bahasa yang salah dan yang betul yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bahasa Melayu yang hendak berfungsi sebagai bahasa akademik juga mempunyai sifat “kepelbagaian” dan “keindahan”. “Kepelbagaian’ disini bermaksud bahasa Melayu perlu mempunyai berbagai-bagai gaya, cara atau stail dalam menyampaikan sesuatu maksud atau idea demi melahirkan kesan yang berlainan. “Keindahan bahasa” pula merujuk kepada bahasa itu harus indah, menarik dan bertenaga. Darwis Harahap (1991) pula menyatakan bahawa:

Apa yang perlu dibincangkan ialah sama ada sesuatu ayat itu betul dari segi tatabahasanya, benar dari segi maknanya, baik dari segi isinya, bagus dari segi pemilihan katanya dan beradab dari segi budayanya.

Oleh itu, tatabahasa yang sempurna penting dalam penyusunan ayat dalam sesuatu bahan ilmiah supaya setiap perkataan serta bahasa yang digunakan dapat difahami dengan mudah.

2.5 Keintelektualan bahasa
Bahasa Kebangsaan juga dapat dimartabatkan sebagai bahasa Ilmiah di universiti melalui penilaian terhadap kemampuan keintelektualan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa yang berfungsi sebagai bahasa akademik harus mempunyai keupayaan menyampaikan buah fikiran dan hujah yang tepat dan berkesan iaitu mampu mengungkapkan kesinambungan dan kerumitan fikiran. Penjelasan yang lebih lanjut dibuat oleh Nik Safiah Karim (1992) iaitu:
Keintelektualan bahasa merupakan proses menyesuaikan bahasa untuk membolehkannya membuat kenyataan yang tegas dan cekap dan jika perlu yang abstrak juga, iaitu keupayaan menyatakan buah fikiran yang kompleks dengan licin dan teratur.

Kemuncak taraf keintelektualan bahasa dicapai melalui perbendaharaan kata dan sebahagiannya melalui sistem bahasa. Pengembangan kata berlaku bagi memudahkan bahasa ilmiah diterima umum di universiti dan menjadi istilah baru dalam sesuatu bidang bahasa. Pengembangan kata merupakan kaedah untuk menambah istilah baru. Melalui penukaran bentuk dan corak perbendaharaan kata,kita dapat menjelaskan pengertian khusus kepada perkataan-perkataan tertentu bagi satu bidang tertentu yang berbeza daripada penggunaan biasa. Sebagai contohnya, pengembangan kata dalam istilah untuk bahasa sains dan teknologi. Istilah baru dikaji supaya poses pengembangan kata adalah menyeluruh kepada semua bidang ilmu di universiti.

3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, bahasa Kebangsaan mampu dimartabatkan sebagai bahasa Ilmiah di universiti jika beberapa penilaian dibuat terhadap kemampuan bahasa itu sendiri. Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu di pusat pengajian tinggi sejak tahun 1983 dengan sendirinya menjadi bukti yang nyata kepada sesiapa yang meragui keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. (Awang Sariyan:1995). Jika masih ada orang yang mengatakan bahawa ada bidang ilmu yang tidak boleh disampaikan melalui bahasa Melayu maka sebenarnya hal itu tidak ada hubungan dengan kemampuan bahasa Melayu tetapi kesungguhan orang itu sendiri dalam menguasai bahasa Melayu. Penilaian yang di buat terhadap kemampuan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Ilmiah dari segi sejarah kegemilangan bahasa Melayu, peristilahan, buku dan jurnal, tatabahasa yang sempurna dan keintelektualan bahasa adalah wajar dan perlu diteruskan supaya usaha ini dapat membuahkan hasil yang baik iaitu dapat memartabatkan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa Ilmiah di seluruh universiti di Malaysia.

BIBLIOGRAFI
Asmah Haji Omar (2002).Setia dan santu bahasa.Tanjung Malim:Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Awang Sariyan (1995). Cerita bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Darwis Harahap (1991). Persoalan bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim (1992). Beberapa persoalan sosiolinguistik bahasa Melayu. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkifley Hamid (1996). Bahasa, konsep, fungsi dan penguasaannya oleh penutur. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

No comments:

Post a Comment