Tuesday, October 6, 2009

Permalahan dalam KOMSAS...

1.0 PENGENALAN

Dasar pendidikan negara berhasrat melahirkan individu yang berperibadi mulia yang kemudiannya menjadi rakyat yang berkualiti. Falsafah Pendidikan Negara juga menjelaskan bahawa pendidikan negara ini bersifat berterusan kerana adanya unsur-unsur kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat ke peringkat yang seterusnya. Selanjutnya, Falsafah Pendidikan Negara juga menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia berfungsi untuk memperkembang bakat dan kemampuan murid waima dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu.

Pengajaran KOMSAS dalam subjek Bahasa Melayu Melayu amat menepati hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamat mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Hal ini amat bersesuaian dengan kesusasteraan Melayu yang mencerminkan masyarakat dan kebudayaan serta merupakan manifestasi kesenian melalui media yang lebih berkesan. Di samping itu, komponen kesusasteraan Melayu juga membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni seterusnya membantu matlamat ke arah berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan komponan kesusasteraan Melayu atau KOMSAS dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pada 22 Jun 1999. Pelaksanaannya dilakukan secara berperingkat bermula Mac 2000 bagi tingkatan satu dan empat. Pendekatan yang digunakan adalah bersifat makro iaitu menyeluruh dan tidak mendalam. Oleh itu, pengajaranya bukan sahaja dapat meningkatkan dan mengukuhkan kemahiran berbahasa malah membolehkan mereka memperoleh nilai estetik daripada pembacaan dan penghargaan terhadap karya kesusasteraan Melayu.

Di samping itu, pengajaran dan pembelajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk memenuhi keperluan pengetahuan murid tentang variasi bahasa, kefahaman terhadap gaya bahasa, mengenal serta mendekati unsur-unsur kemanusiaan dan kemasyarakatan serta pelbagai dimensi budaya lain melalui pembacaan dan penikmatan teks kesusasteraan Melayu yang disenaraikan dalam subjek bahasa Melayu. Hal ini kerana, teks kesusasteraan Melayu yang ditetapkan oleh kementerian ialah karya bahasa yang terkandung sifat-sifat unik dan istimewa dalam penghasilannya.

Kini, kurikulum bahasa Melayu yang telah melalui semakan dan mula dilaksanakan pada tahun 2003, telah mengalami beberapa pengubahsuaian dan unsur terbaru dalam pendidikan diintegrasikan dalam kandungan kurikulum itu. Pengubahsuaian itu sesuai dengan tujuan pendedahan komsas dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu iaitu membolehkan pelajar mengapresiasi karya kesusasteraan Melayu, mengetahui ilmu kesusasteraan Melayu secara ringkas, mengenal pasti penulis dan sejarah perkembangan tanah air berasaskan teks kesusasteraan yang dibaca oleh pelajar serta mengukuhkan kemahiran berbahasa. Malah, melalui pembacaan karya-karya mengikut zon yang ditetapkan, secara tidak langsung dapat membangkit, memupuk serta membina tabiat minat membaca dalam kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

Peranan Komsas

Kesusasteraan Melayu khususnya KOMSAS boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan emosi kerana kesusasteraan Melayu yang merupakan wadah fikiran dan perasaan yang dijalin oleh bahasa yang indah membenarkan pelajar sedar akan perasaan sendiri semasa mereka memikirkan perasaan orang lain. Seperti karya-kaya yang lain bukan sahaja mampu memukau deria rasa dan intelek peminatnya bahkan memaparkan kehidupan, menenangkan keadaan huru-hara, menerangkan yang gelap dan mencadangkan alternatif untuk mengatasi masalah. Secara tuntasnya, kesusasteraan Melayu berupaya membentuk diri agar menghormati orang lain, membina sahsiah yang elok dan bersikap toleransi.

Selain itu, nilai-nilai estetik yang diajar dalam pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu dapat mendidik pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang. Proses pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu akan mewujudkan jati diri serta berilmu pengetahuan dalam kalangan pelajar dan guru itu sendiri. Di samping itu, bahan pengajarannya akan dapat memotivasikan para pelajarnya untuk membaca bahan yang lebih baik. Bahan yang dibaca akan menyalurkan pemikiran positif, kreatif dan kritis dalam proses pendidikan seumur hidup. Keadaan ini akan memupuk perkembangan daya cipta atau imaginasi pelajar dalam proses pembelajaran secara beterusan.

Pelajar yang didedahkan dengan pengajaran komponen sastera juga mampu meningkatkan kecintaan terhadap tanah air. Melaluinya juga, pelajar akan diperkenalkan dengan unsur-unsur patriotik, perpaduan, cinta akan tanah air serta kebudayaan kebangsaan. Oleh itu, semangat cinta akan tanah air akan tersemat dalam dada setiap pelajar sekiranya pelajar dengan bantuan guru dapat menilai dan mengaplikasikan pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu dalam masa pembelajaran mata pelajaran bahasa Melayu.

Guru-guru perlu mempunyai beberapa perspektif dalam pengajaran sastera iaitu guru perlu faham dan menilai kepentingan pelajar terhadap bentuk karya sastera, guru sentiasa meminta pelajar faham kriteria spesifik dan teknik-teknik untuk menganalisis sastera, guru mengutamakan penghayatan estetika karya sastera, guru perlu mengutamakan penglibatan pelajar dalam aktiviti penulisan kreatif, guru membantu pelajar membentuk kemahiran pembelajaran kolaboratif dan guru memilih bahan bacaan sastera yang diminati oleh pelajar. Dalam hal ini, dari sudut pandangan guru, pelajar perlu menguasai kemahiran menganalisis, kemahiran penghayatan, kemahiran pembelajaran kolaboratif dan kemahiran membaca genre sastera.

Permasalahan Dalam KOMSAS

Sebenarnya, masalah dalam penguasaan pelajar terhadap komponen sastera yang disisipkan dalam bahagian pemahaman bagi subjek bahasa Melayu harus dipandang serius memandangkan peranan KOMSAS kepada pelajar dan masyarakat sekelilingnya adalah sangat besar. Jika dilihat hasil kajian yang dibuat oleh Zaitul Azma Zainon Hamzah (2007) dalam makalahnya menjelaskan bahawa hasil daripada kajian beliau mendapati pelajar menghadapi kesukaran untuk dalam mempelajari bahan teks tradisional. Berikut ialah maklum balas daripada respoden yang telah dikaji oleh beliau:


Dalam bahagian pemahaman, kajian mendapati bilangan pelajar yang menghadapi kesukaran dalam memahami prosa tradisional (25.0%), novel (16.4%), petikan umum (14.7), puisi tradisional (14.3%), drama (12.0%), sajak (11.3%) dan cerpen (6.3). kesukaran ini berkaitan dengan tahap penguasaan makna perkataan klasik. Oleh itu,masalah pelajar dalam menguasai komponen sastera harus dikenal pasti dan masalah ini di atasi agar objektif mata pelajaran ini dapat dicapai.

Masalah pelajar dalam menguasai KOMSAS harus dikenal pasti dan diselesaikan. Kekangan masa bukanlah suatu penghalang bagi seseorang guru untuk menilai sejauh mana masalah ini dapat di atasi. Melalui pendekatan Psikologi Pendidikan yang diperkenalkan kepada bakal guru, sedikit sebanyak dapat membantu guru menyelesaikan masalah pelajar yang kurang menguasai komponen sastera. Guru boleh berperanan sebagai pendidik dan juga penyelesai masalah dalam bilik darjah.

Di sini dapat kita perhatikan bahawa terdapat beberapa persoalan yang wujud apabila pelajar lemah menguasai Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) di sekolah iaitu sejauh manakah pemahaman pelajar-pelajar dalam pembacaan teks KOMSAS?, Bagaimanakah sikap pelajar terhadap perlaksanaan KOMSAS?, Adakah pelajar menunjukkan respon yang positif terhadap pembelajaran KOMSAS?, Sejauh manakah pencapaian pelajar setelah mengikuti pembelajaran KOMSAS?.

Persoalan-persoalan seperti inilah yang perlu dijawab oleh guru-guru yang berperanan dalam mengajar Komponen Kesusateraan Melayu (KOMSAS) dengan melakukan penilaian dan kajian masalah yang wujud dalam kalangan pelajar serta mencari kaedah atau langkah yang berkesan bagi membantu pelajar yang lemah untuk menguasai komponen sastera wajib ini. Masalah yang wujud sama ada melalui faktor dalaman atau luaran ini boleh berlanjutan jika tiada tindakan atau inisiatif susulan yang dilakukan oleh semua pihak bagi mengatasi masalah pelajar dalam menguasai KOMSAS.

Perkara ini akan dikaji dengan lebih mendalam melalui peringkat-peringkat pembahagian subtopik dalam KOMSAS iaitu bagaimana setiap masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar untuk menguasai Komponen Kesusasteraan Melayu diselidik atau dikenal pasti dan penyelesaian masalah yang sesuai akan dijalankan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebagai panduan yang boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru dan bakal guru.


2.0 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI KOMPONEN SASTERA (KOMSAS)

2.1 Masalah Pelajar Dalam Menguasai Puisi Melayu Tradisional

Kebiasaanya dalam pembelajaran mata pelajaran kesusasteraan melayu, salah satu aspek kelemahan yang dikenalpasti gagal dikuasai oleh pelajar ialah dalam bahagian puisi Melayu tradisional. Biasanya pembelajaran puisi dibahagikan kepada dua bahagian iaitu puisi Melayu tradisional dan puisi Melayu moden. Puisi Melayu tradisional dikenali juga sebagai puisi lisan iaitu karangan berangkap yang berbentuk syair, pantun, gurindam, seloka, mantera, teromba dan selainnya atau suatu bentuk pengucapan yang memiliki susunan perkataan yang bermakna, istimewa, baik, indah, manis, imaginatif, kreatif dan manis daripada yang selalu dituturkan (Nik Hassan Basri, 2007:345).

Kelemahan ketara pelajar adalah untuk memahami maksud atau kata-kata klasik yang terdapat dalam setiap puisi yang dipelajari oleh mereka. Gaya bahasa dalam puisi Melayu tradisional sangat ketara penggunaan bahasanya dengan puisi Melayu moden kerana banyak menggunakan kata-kata kiasan dan pelajar jarang mendengar perkataan-perkataan klasik dituturkan apatah lagi menggunakan perkataan-perkataan klasik tersebut dalam pertuturan seharian mereka. Ini adalah kerana pelajar-pelajar tersebut menggunakan bahasa ibunda mereka atau bahasa Melayu baku dalam kehidupan seharian. Pemahaman yang kurang dalam kosa kata Melayu klasik menyebabkan pelajar kurang menguasai puisi Melayu tradisional.
Hal ini boleh dilihat dalam contoh petikan Syair Dandan Setia Intan Terpilih dalam Antologi Anak Laut iaitu:

Dedaun Berahi nama desanya,
Mendam Perasat raja perkasa,
Rakyatnya banyak berketi laksa,
Bersuka-suka setiap masa.
Makna ungkapan “Berketi laksa” ialah bahasa klasik yang membawa maksud menunjukkan keadaan orang yang ramai. Hal ini banyak menjadi kekeliruan dalam kalangan pelajar dan ada sesetengahnya tidak mengetahui langsung makna tersirat yang diungkapkan dalam pantun kiasan tersebut. Hal ini akan menyukarkan lagi pemahaman makna bagi pelajar Cina dan India yang pertuturan seharian mereka banyak menggunakan bahasa Cina dan Tamil dan bukannya bahasa Melayu Klasik.

Dalam Pantun Mengenang Nasib pula, beberapa kosa kata Melayu klasik yang menjadi bahasa kiasan tidak difahami oleh pelajar. Sebagai contohnya berdasarkan petikan pantun mengenang nasib di bawah:

Kusangka nanas di tengah padang,
Kiranya pandan yang berduri;
Kusangka panas sampai ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari.

Kebiasaanya, pelajar akan mentafsirkan kata-kata seperti panas dan hujan sesuatu keadaan cuaca yang tidak disangka-sangka akan berlaku dan mengikut logik bahasanya, tanggapan pelajar tersebut sememangnya betul. Walau bagaimanapun, mengikut tafsiran kata klasik dan dalam konteks ayat dalam petikan yang sebenarnya, kata seperti panas dikiaskan sebagai kesenangan, manakala hujan dikiaskan sebagai kesusahan atau penderitaan. Disini dapat kita lihat bahawa pelajar kurang menguasai kosa kata Melayu klasik dan kebanyakan mereka mentafsirkan kata-kata klasik adalah sama sahaja maknanya dengan bahasa Melayu baku yang digunakan oleh mereka dalam pertuturan seharian. Kekeliruan yang berlaku ini juga akan melemahkan penguasaan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS).

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada kegagalan pelajar untuk memahami makna serta kosa kata Melayu klasik dalam puisi Melayu tradisional iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.

2.1.1 Faktor Luaran
Faktor luaran yang boleh dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan pelajar untuk memahami kosa kata klasik dan maksud dalam puisi tradisional ialah faktor guru itu sendiri. Guru mempunyai kemahiran yang kurang dalam menjelaskan makna sesuatu kata klasik dan ada segelintir guru yang memberikan jawapan seperti “Cikgu juga kurang pasti makna kata tersebut” kepada pelajar mereka di dalam kelas yang menunjukkan kurangnya pengetahuan guru dalam menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran. Zahirah Aziz dan Kamaruzaman Abdullah dalam satu seminar “Pengajaran KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Melayu” (2001) telah mengenal pasti beberapa masalah yang dihadapi oleh para guru, iaitu guru tidak mahir dengan istilah sastera sehingga mengganggu kelancaran pengajaran dan pembelajaran. Guru menjadi serba salah dalam menilai sudut sastera untuk Komponen Kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan bimbang ia menjadi subjek Kesusasteraan Melayu (Elektif) pula. Menurut Salbiah Ani (2001) ada guru yang tidak mempunyai latar belakang Kesusasteraan Melayu sekalipun mereka terlatih dalam pengajaran Bahasa Melayu ketika menuntut di pusat pengajian tinggi atau di maktab-maktab perguruan. Kedapatan juga guru yang langsung tidak mempunyai latar belakang pendidikan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu dipertanggungjawabkan mengajarkan mata pelajaran Bahasa Melayu dengan alasan mereka orang Melayu.

Bahan pengajaran dan pembelajaran yang tidak menarik dan membosankan juga menyebabkan pelajar kurang memberi tumpuan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Media pengajaran buku teks sebagai bahan sumber utama dan buku-buku rujukan serta buku kerja dalam kajian berhubung penggunaan soalan berkaitan kosa kata juga didapati masih tertumpu pada aras rendah dan soalan pada aras tinggi tidak diberi perhatian (Rawadieh, 1998; Noor Rohana, 1996;). Bahan pengajaran dan pembelajaran yang terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata, tidak lengkap dan kekaburan persembahan bahan pengajaran atau kurang nampak seperti tulisan yang kecil di papan hitam menjadi penyumbang kepada kegagalan pelajar untuk memahami proses pembelajaran. Tambahan pula, rujukan bagi teks komponen sastera di sekolah adalah sangan terhad. Kebanyakan perpustakaan di sekolah tidak menyediakan kemudahan pinjaman buku KOMSAS yang banyak kerana beranggapan bahawa pelajar hanya belajar bergantung seratus peratus kepada teks yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Sebenarnya, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam menilai apakah teks-teks yang disediakan kepada pelajar mencukupi untuk pelajar membuat analisis komponen sastera. Pelajar mempunyai kesulitan kerana teks-teks yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia adakala menjangkaui tahap pemikiran pelajar. Hal ini juga boleh menyumbang kepada masalah pelajar tidak dapat menguasai puisi tradisional dengan baik.
2.1.2 Faktor Dalaman

Faktor dalaman turut dikenalpasti sebagai penyumbang kepada kegagalan pelajar untuk memahami kosa kata atau perkataan dan makna-makna klasik dalam puisi Melayu tradisional. Sikap pelajar yang malas untuk mencari bahan tambahan bagi mengukuhkan lagi pemahaman menyebabkan mereka gagal untuk mencari makna kosa kata yang sesuai dalam puisi Melayu tradisional. Mereka terlalu bergantung kepada nota atau latihan guru semata-mata. Kadang kala mereka hanya meneka makna kata secara logik tanpa membuat rujukan tambahan. Kajian juga mendapati pelajar bersikap pasif dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Pelajar tidak menunjukkan minat dalam mempelajari sastera dan tidak suka membaca karya sastera. Tambahan pula, walaupun pusat sumber tidak terdapat banyak buku sastera, tetapi jarang dikunjungi oleh pelajar. Pelajar hanya mendekatinya apabila membuat rujukan untuk kerja kursus. Jarang terdapatnya pelajar mengambil inisiatif untuk membaca genre sastera, kecuali prosa, cerpen dan novel sebelum pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Selain itu, faktor rakan sebaya juga mendorong kepada kelemahan pelajar menguasai kosa kata Melayu klasik. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam mempengaruhi remaja yang kita kategorikan sebagai pelajar. Akibat daripada kebosanan atau ketidakfahaman di dalam kelas, pelajar akan mengajak rakannya yang lain untuk bermain dibelakang atau melakukan kerja lain yang dianggapnya lebih menyeronokkan. Ini akan menganggu pelajar untuk menguasai puisi tradisional memandangkan tanpa tumpuan yang cukup di dalam kelas mustahil seseorang itu dapat menguasai sesuatu pelajaran. Di samping itu, majoriti pelajar yang kurang memahami kosa kata Melayu klasik ini biasanya terdiri daripada kaum Cina dan India. Pergaulan yang berlaku sesama kaum mereka sahaja menyebabkan kosa kata Melayu klasik itu tidak meluas. Sebagai contohnya pelajar Cina akan bergaul dengan pelajar Cina dan perbualan harian mereka banyak menggunakan bahasa Cina atau bahasa ibunda mereka. Pemahaman mengenai kosa kata Melayu klasik hanya boleh difahami apabila mereka mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sahaja.

2.1.3 Penyelesaian Masalah

Bagi menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar untuk memahami kosa kata atau perkataan klasik dan makna dalam puisi Melayu tradisional, guru perlu mengambil inisiatif yang bijak untuk menyelesaikan masalah tersebut melalui beberapa peringkat dalam proses pengajaran dan pembelajaran iaitu sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

2.1.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu sebelum kelas bermula bagi proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) yang dijalankan pada kelas yang akan datang, guru perlu memberitahu pelajar untuk membaca petikan sajak, puisi atau seloka yang terkandung dalam pengajaran puisi Melayu tradisional yang akan diajar untuk menimbulkan pengetahuan sedia ada kepada pelajar. Oleh itu, pengetahuan pelajar tidak akan berada pada tahap kosong apabila proses pengajaran dan pembelajaran bermula nanti. Guru juga perlu menyediakan bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran atau alat bantu mengajar (ABM) yang menarik dan mencukupi seperti persembahan powerpoint. Penggunakan teknologi banyak membantu memudahkan pengajaran dan pembelajaran guru serta pelajar. Roger Azevedo menyatakan bahawa :
“Computer environment is a metacognitive learning tools as one that is designed for instructional purpose and uses technology to support the learner in achieving the goals of instruction. This may include any type of technology-based tool, such as an intelligent tutoring system, an interactive learning environment, hypermedia, multimedia, a simulation, microworld, collaborative learning environment and so on.”

Soalan ringkas juga perlu disediakan oleh guru kepada pelajarnya. Penggunaan soalan-soalan yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu juga diperlukan untuk merangsang pemikiran pelajar ke arah berfikiran kritikal dalam menangani kehendak pelbagai aspek kemahiran berbahasa terutamanya berkenaan kosa kata Melayu klasik yang jarang ditemui dan difahami oleh pelajar. Melalui soalan, Marohaini Yusoff (1989) menjelaskan pelajar dapat menentukan kefahamannya tentang isi, idea, persoalan, maksud sesuatu perkataan, konsep dan rangkai kata terhadap bahan yang dibacanya. Ungkapan pertanyaan dan soalan yang digunakan sewajarnya mengandungi pelbagai aras dalam usaha membentuk pelajar agar dapat menguasai soalan-soalan dari aras rendah kepada yang lebih mencabar pemikiran iaitu pada aras tinggi. Oleh sebab inilah klasifikasi aras kognitif soalan perlu diberi perhatian dan penekanan serius oleh pendidik dalam mengimplimentasikan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Guru seharusnya menggunakan soalan yang pelbagai aras kognitif bagi menggerakkan pelajar ke arah menguasai kemahiran berfikir pada kepelbagaian aras tersebut. Tegasnya, soalan yang dibina dan dikemukakan wajar didasarkan kepada klasifikasi hierarki aras kognitif soalan bagi menjamin penggunaan kepelbagaian aras penyoalan ke arah menerapkan kemahiran berfikir dan memantapkan pemikiran pelajar. Bentuk latihan juga perlu diberi di dalam kelas. Guru juga perlu membuat rujukan tambahan bagi memastikan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh pelajar.

2.1.3.2 Semasa Sesi Pengajaran Dan Pembelajaran

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran pula, guru perlu menunjukkan cara membaca puisi tradisional atau pantun dengan betul sebelum mengarah pelajar melakukan perkara yang sama. Kemudian guru boleh meminta pelajar untuk membaca atau menyampaikan puisi tradisional atau pantun seperti Pantun Kiasan, Syair Pembunuhan Angreni dan Syair Dandan Setia dan Intan Terpilih dengan intonasi yang betul secara rawak di dalam kelas berpandukan bantuan guru. Guru meminta pelajar untuk memberikan pendapat terhadap pemahaman pelajar melalui pembacaan tadi dan secara tidak langsung guru dapat mengenal pasti kelemahan pelajar serta pelajar yang faham dengan pelajar yang kurang faham. Proses pertanyaan guru dengan mengemukakan soalan kepada pelajar perlu dilakukan sebagai satu prasyarat untuk mewujudkan interaksi yang berkesan dalam bilik darjah. Pada peringkat ini, guru akan mendapatkan respon pelajar di dalam kelas. Jika respon pelajar kurang menggalakkan, guru perlu membantu pelajar dengan menjelaskan apakah yang dimaksudkan oleh petikan puisi Melayu tradisional tadi. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran juga, guru boleh bertanyakan beberapa soalan ringkas mengenai makna kosa kata klasik dalam puisi tradisional dan jika jawapan yang diberikan oleh pelajar salah, guru boleh beralih kepada soalan lain pula. Hal ini boleh menarik pelajar untuk cuba berfikir menjawab soalan secara spontan atau apa yang difahami oleh mereka daripada terus tidak memahami kehendak soalan.

Selain itu, guru juga boleh menjalankan aktiviti kuiz berkenaan kosa kata Melayu klasik dalam bentuk soalan objektif. Kuiz ini dapat membantu pelajar untuk mencari jawapan dengan membuat beberapa rujukan buku tambahan seperti buku glosari kata-kata Melayu klasik yang secara tidak langsung akan mendorong mereka menambahkan pengetahuan kosa kata Melayu klasik.

2.1.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Proses pengajaran dan pembelajaran tidak boleh berhenti pada tahap sebelum dan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sahaja. Selepas pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menambah pengetahuan pelajar atau mengulangi hasil pembelajaran dengan lebih berkesan. Hal ini demikian kerana, pelajar mudah mengalami lupaan dengan mudah kerana pelajar kurang meneliti dan memberi tumpuan pada penerimaan informasi yang diproses melalui deria daftar dan memori jangka pendek. Bagi mengelak lupaan ini berlaku secara tidak sengaja, guru perlu menanganinya dengan memberi satu tugasan kumpulan dan individu kepada pelajar atau boleh dikenali sebagai kerja rumah kepada pelajar tadi. Menurut Engle dan Oransky (1999) yang dipetik daripada buku “Psikologi” oleh Suppiah Nachiappan (2008), lupaan juga berlaku disebabkan kandungan memori jangka pendek yang membolehkannya memegang butiran-butiran dalam bentuk informasi adalah terhad kepada suatu jangka masa yang ditentukan. Langkah pertama, guru perlu memberi tugasan kumpulan dan individu kepada pelajar yang merangkumi puisi tradisional dan mencampurkan kumpulan pelajar yang faham sedikit mengenai kosa kata klasik dengan kumpulan pelajar yang kurang faham serta melantik seorang ketua atau wakil yang mahir untuk mengetuai kumpulan tadi. Tugasan kumpulan merangkumi agenda guru yang mengarahkan kumpulan yang sudah terbentuk tadi untuk membuat persembahan puisi dan membuat analisis kosa kata dan makna puisi yang telah dipersembahkan oleh mereka.

Bagi tugasan individu pula, pelajar dikehendaki menyenaraikan atau mencari seberapa banyak kosa kata Melayu klasik yang tidak difahami dan mencari maknanya sekali menggunakan bahan rujukan tambahan yang boleh dicari di internet atau buku-buku yang berkaitan dengan bahasa. Guru akan membuat pemantauan tugasan yang diberikan dengan menyemak setiap lembaran kerja pelajar. Guru juga akan bertindak membimbing pelajar dengan memberikan latihan atau latih tubi soalan-soalan peperiksaan lepas yang berkaitan dengan kosa kata Melayu klasik. Kedua-dua pengajaran dan pembelajaran seperti yang dinyatakan di atas tadi merupakan teknik scaffolding dalam pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran scaffolding dapat membantu pelajar yang lemah. Pihak guru atau rakan sebaya akan memberi bantuan kepada pelajar yang memerlukan bantuan sahaja dan pihak yang memberi bantuan tidak akan membuat segala-galanya tetapi lebih membuat aktiviti memantau tugasan yang dibuat oleh pelajar supaya pelajar yang lemah dapat menguasai kemahiran dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru dengan baik. Pendekatan scaffolding sebenarnya banyak memberi sumbangan kepada pelajar iaitu ia menjadikan pelajar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam tugasan dengan lebih efektif dan pelajar juga dapat mengembangkan prestasi dan zon perkembangan proksimal pelajar seperti yang disarankan oleh Vygotsky.

Hasil daripada respon pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran, guru juga boleh menggunakan teknik menyoal kembali pelajar selepas waktu pengajaran dan pembelajaran dijalankan untuk mengelak lupaan sekali lagi berlaku. Penilaian guru selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi memperbaiki kelemahan yang berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) sebelum ini. Jika pelajar didapati masih lagi lemah dan tidak seronok dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, guru harus menggunakan teknik pengajaran dan pembelajaran yang pelbagai. Sebagai contohnya menjalankan aktiviti kuiz yang disertakan dengan hadiah. Secara tidak langsung guru akan memotivasikan pelajar di dalam bilik darjah untuk lebih berusaha menyelesaikan soalan kosa kata Melayu klasik dan makna melalui teknik peneguhan positif iaitu menggunakan kata-kata pujian atau memberi hadiah.Peneguhan positif adalah memberikan sesuatu sesuatu ganjaran yang memuaskan pelajar setelah perlakuan itu ditunjukkan yang menyebabkan perlakuan itu diulang atau diperkuatkan lagi (Roediger, 1996)

2.2 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI PUISI MELAYU MODEN.

Puisi Melayu moden merupakan salah satu daripada subtopik yang diajar dalam komponen sastera. Pelajaran ini bertujuan untuk mendekatkan para pelajar kepada karya-karya puisi Melayu moden, khususnya sajak. Sajak merupakan satu hasil kesusasteraan Melayu yang kurang diminati ramai. Kebanyakan pelajar mendapati, pembelajaran puisi Melayu moden menjemukan dan mereka meninggalkan bangku sekolah dengan membawa satu tanggapan yang negatif tentang sajak. Keadaan ini akan terbawa-bawa ke peringkat yang lebih dewasa, sehingga amat ketara peminat sajak adalah amat sedikit bilangannya di negara kini (Azman Wan Chik,1981: 53). Satu daripada sebab hal ini berlaku ialah berhubung dengan cara mengajar yang digunakan oleh guru dalam bilik darjah. Namun begitu, terdapat beberapa faktor dalaman dan faktor luaran yang membawa kepada masalah pelajar untuk menguasai puisi moden.

2.2.1 Faktor Dalaman

Faktor dalaman memainkan peranan penting dalam menentukan kefahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Faktor dalaman terdiri daripada minat pelajar, sikap pelajar dan baka. Tanpa minat yang mendalam, sikap yang rajin mentelaah serta disebabkan faktor baka, sesuatu pelajaran akan menjadi sukar untuk dikuasai oleh pelajar. Minat memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat memberi tumpuan yang mendalam dalam sesuatu subjek. Dalam kajian yang dibuat oleh guru-guru di negara ini didapati bahawa pelajar yang kurang berminat dalam mempelajari subjek yang diajar oleh guru akan menyebabkan pelajar mengalami masalah untuk menguasai subjek tersebut.

“Mengapa pelajar tidak minat belajar sastera?” Kelemahan dalam minat dan perasaan fobia terhadap sastera telah menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan skor markah dan prestasi KOMSAS yang merupakan sisipan dalam bahagian pemahaman bagi subjek Bahasa Malaysia. Keadaan ini menimbulkan pelbagai masalah susulan seperti pelajar kurang memberi perhatian semasa pengajaran dan pembelajaran, pelajar menjadi pasif, tidak membuat kerja rumah dan tiada insentif untuk meningkatkan prestasi diri. Dalam masalah menguasai puisi Melayu moden, pelajar kurang berminat dengan subjek yang diajar oleh guru kerana bahasa yang digunakan sukar difahami. Pelajar sukar untuk memahami sajak kerana ayat yang digunakan sukar untuk diterjemahkan kembali dalam bentuk bahasa yang mudah difahami. Masalah ini akan menjadi semakin meruncing sekiranya guru tidak memainkan peranan penting dalam membawa pelajar untuk menghayati dan memahami sajak tersebut. Kesan daripada kebosanan pelajar dalam memahami sajak akan membuatkan pelajar kurang berminat untuk menguasai sajak seterusnya membawa kepada masalah pelajar dalam menguasai puisi moden.

Safiah (1979) menegaskan minat membaca di kalangan pelajar berkait rapat dengan faktor pencapaian. Membaca teks sastera memerlukan cabaran-cabaran intelektual yang berbeza. Membaca teks sastera bukan sahaja sekadar menikmati maksud yang tersurat, tetapi juga maksud yang tersirat di mana ia melibatkan penaakulan dan gerak hati. Unsur sastera dalam pendidikan berfungsi untuk memperluaskan pemikiran individu kerana genre sastera yang bermutu tinggi mempunyai makna yang tersirat yang perlu diperhalusi oleh pembaca. Bahan bacaan sastera boleh menanam sikap suka membaca di kalangan pelajar dan membudayakan tabiat membaca dalam masyarakat. Terdapatnya faktor-faktor yang mempengaruhi pelajar kurang meminati sastera. Pertama, kurangnya minat membaca di kalangan pelajar menjadi penyumbang utama ke arah fenomena ini. Pelajar hari ini didedahkan kepada sumber-sumber hiburan lain yang lebih menarik berbanding dengan bahan bacaan yang berunsur lebih ringan, padat dan berbentuk hiburan. Kedua, tidak ada galakan daripada ibu bapa kerana mereka beranggapan dengan membaca bahan sastera seperti novel dan cerpen akan mengganggu pencapaian akademik. Ketiga, kurangnya pendedahan tentang sastera dan peluang pekerjaan yang berkaitan. Keempat, harga buku sastera yang tinggi.

Dapatan kajian Kathy (1994) membuktikan bahawa kekurangan buku-buku sastera berbentuk rekreasi di pasaran merupakan faktor kekurangan minat pelajar terhadap sastera. Beliau mencadangkan kelab membaca ditubuhkan agar pelajar boleh digalakkan membaca dengan adanya sedikit cenderahati dan menyeru pihak penerbit atau pengarang menghasilkan buku-buku sastera dalam bentuk rekreasi yang sesuai untuk dibaca oleh pelajar. Kajian Kathy (1994) juga menggunakan teknik baca kuat untuk menggalakkan pelajar membaca dan buku percuma diberikan kepada pelajar yang terlibat. Buku-buku bentuk rekreasi perlu ditambahkan untuk menggalakkan minat membaca di kalangan pelajar.

2.2.2 Faktor Luaran

Faktor luaran yang membawa pelajar kepada masalah tidak dapat menguasai puisi moden adalah tenaga pengajar dan pendekatan pengajaran yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Seringkali berlaku keadaan di mana tenaga pengajar kurang berkeupayaan menimba minat pelajar supaya menghayati puisi moden. Walaupun pengajar boleh mengajar puisi moden tetapi apa yang sering berlaku ialah guru sering mencampuradukkan gaya dan pendekatan pengajaran komponen sastera. Hal ini sangat ketara terutamanya dalam kalangan guru yang kurang didedahkan dengan pendekatan, kaedah, teknik pengajaran puisi moden. Apabila berlakunya keadaan di mana guru mencampuradukkan pendekatan, teknik dan kaedah teknik pengajaran KOMSAS maka keadaan ini menjadikan puisi moden berorientasikan ke arah yang lain. Penyimpangannya adalah terlalu luas dan sukar dikawal.

Pengajaran puisi moden dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan penggunaan bahan bahan kajian teks puisi moden dalam mata pelajaran kesusasteraan Melayu mempunyai gaya dan pendekatan yang berlainan. Gaya dan pendekatan pengajaran Bahasa Malaysia adalah berorientasikan matlamat pengajaran Bahasa Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini puisi moden digunakan sebagai bahan pengajaran sedangkan gaya dan pendekatan pengajaran sastera berdiri atas dasar pengajarannya yang tersendiri dan hanya menggunakan bahasa sebagai media penghubung cerita. Apabila berlaku beberapa kesilapan dan kesalahan pegangan seperti ini menyebabkan guru yang mengajar mata pelajaran KOMSAS itu kurang berkeupayaan menimbulkan ransangan, kecenderungan dan minat pelajar serta kurang bertenaga. Apabila sampai pada peringkat ini guru lebih menumpukan perkembangan kognitif berbanding perkembangan afektif pelajar. Pelajar lebih banyak melakukan aktiviti hafalan berbanding aktiviti menghayati dan menghargai.
2.2.3 Penyelesaian Masalah

Penyelesaian masalah perlu di capai oleh guru dan pelajar bagi memastikan masalah dalam menguasai puisi moden dapat diselesaikan. Seperti biasa, penyelesaian boleh dibuat pada peringkat sebelum, semasa dan selepas proses pengajaran dan pembelajaran (p&p) sama seperti dalam menyelesaikan masalah pelajar dalam menguasai puisi Melayu tradisional.

2.2.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, guru perlu sedar dan melengkapi diri dengan segala pengetahuan yang ada tentang puisi moden iaitu sajak. Guru juga perlu sentiasa mengingati bahawa objektif pelajar belajar sajak adalah untuk :
(i) Pelajar dapat menyatakan aspek-aspek keindahan puisi moden.
(ii) Pelajar dapat menilai bentuk dan gaya bahasa puisi moden.
(iii) Pelajar dapat memberitahu nilai-nilai dan unsur-unsur kemanusiaan dalam sajak.
(iv) Pelajar dapat menyatakan nilai-nilai rasa yang terdapat dalam sajak.
(v) Pelajar dapat mencipta sajak mengikut kemampuan mereka.
(vi) Pelajar dapat menyatakan isi dan persoalan-persoalan dalam sajak.

Di samping sentiasa berpegang dengan objektif pembelajaran, guru juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan tentang kaedah yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sebelum memulakan kelas.

Dalam memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar, seharusnya ada galakkan berbentuk motivasi intrinsik atau motivasi ekstrinsik daripada pihak ibu bapa atau guru. Ina Sue (1994) menjalankan kajian ke atas 39 orang murid Gred 3 dengan tujuan memupuk keseronokkan membaca dalam kalangan pelajar dan pelajar memilih untuk membaca apabila terdapatnya galakan, pilihan bahan bacaan dan masa untuk membaca. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelajar membaca dengan penuh minat setelah mendapat galakan daripada ibu bapa dan guru. Murid juga menunjukkan respon yang positif dalam penulisan jurnal. Mohd Nasir Hassan (2002) menjalankan kajian kes selama empat minggu semasa praktikum dengan menggunakan teknik melagukan puisi. Beliau menggunakan kecerdasan muzikal yang ada pada pelajar dengan melagukan sajak diiringi petikan gitar dan tiupan harmonika serta disesuaikan dengan latar belakang yang membantu proses mengapresiasi sajak. Dapatan kajian ini menunjukkan pelajar Cina yang tidak meminati sastera dan tidak faham sastera mula meminati sastera dan boleh menghafal sajak yang dipelajari apabila dipuisilagukan. Beliau mendapati bahawa pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar adalah perlu untuk memupuk minat pelajar dalam mempelajari sastera. Terdapat keserasian antara hasil dapatan beliau dengan pandangan Ronald & Michael (1991) iaitu:

“A student-centred literature class is one which allow more exploration of the literary text by the learners and invites learners to develop their own responses and sensitivities.”

Seterusnya, sikap pelajar menentukan kejayaan pelajar dalam menguasai sesuatu pengajaran. Sekiranya pelajar mempunyai sikap bersungguh-sungguh dalam mendapatkan sesuatu maka apa yang ingin dicapainya akan dapat diperoleh dengan mudah. Namun begitu, pada masa kini kita dapat lihat segelintir pelajar yang menghadapi masalah dalam menguasai puisi Moden ialah pelajar yang malas mengulangkaji dan tidak memberi tumpuan dalam kelas. Apa yang penting ialah guru perlu mengkaji apakah masalah pelajar sehingga membawa kepada sikap hilang tumpuan dalam kelas kepada mereka. Di samping itu, sebelum memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran, guru harus membekalkan diri dengan beberapa pengetahuan tentang pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, pendekatan Teori Tingkah Laku dalam pengajaran dan pembelajaran, pendekatan Teori Kognitif dalam pengajaran dan pembelajaran, dan sebagainya. Hal ini dapat diterangkan seperti berikut:


1) Pendekatan Teori Tingkah Laku Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Pendekatan teori tingkah laku ialah teori yang perlu diterapi oleh setiap guru sebelum memulakan kelas agar guru dapat mengawal tingkah laku pelajar semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran. Menurut Abdul Hamid Awang (2006), perbicaraan tentang teori tingkah laku memang banyak diperkatakan oleh para cerdik pandai. Secara definisinya, teori ini adalah lebih melihat kepada perlakuan tingkah laku setiap individu. Hal ini bermaksud dalam konteks pendidikan, teori ini menekankan bahawa perubahan akan terjelma pada setiap individu setelah mengalami proses pengajaran dan pembelajaran serta perkaitan persekitaran sebagai pemangkin kepada perubahan tingkah laku.

Menurut Abdul Hamid Awang lagi, dua tokoh utama yang telah mengetengahkan teori pembelajaran berasaskan tingkah laku ialah Ivan Petrivich Paavlov dan B.F. Skinner. Kedua-dua tokoh ini telah membicarakan tentang beberapa prinsip yang berkaitan dengan tingkah laku. Pavlov telah membuktikan bahawa sesuatu rangsangan itu akan mewujudkan gerak balas. Jika gerak balas ini dikukuhkan maka ia akan menghasilkan suatu bentuk peneguhan. Konsep ini amat penting di dalam pelaksanaan guru merancang bahan pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Berasaskan konsep yang telah diutarakan oleh Pavlov dalam konteks pengajaran dan pembelajaran beberapa penggunaan teori ini dirasakan dapat diaplikasikan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Konsep yang dimaksudkan ialah konsep rangsangan dan konsep gerak balas yang dapat diperkukuhkan melalui latihan. Motivasi juga adalah satu set penting. Dalam konteks ini guru harus menggunakan motivasi sebagai alat rangsangan untuk merangsang murid di dalam bilik darjah. Pembelajaran juga boleh berlaku melalui pengalaman.

Selain Parlov, Edwars Thorndike juga turut membicarakan tentang “Teori Tingkah laku”. Thorndike membuktikan bahawa pembelajaran yang dilakukan dengan ada kesediaan di dalam diri pelajar sudah pasti akan menghasilkan pembelajaran yang positif. Begitu juga bahawa latihan memainkan peranan penting dalam menguasai pembelajaran. Thorndike juga turut menjelaskan bahawa pembelajaran yang menyeronokkan akan mewujudkan rangsangan yang positif dalam diri pelajar. Pelajar akan rasa seronok dan ingin terus berada di dalam suasana pembelajaran. Teori Thorndike melibatkan tiga konsep utama iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Kesan; dan Hukum Latihan bagi membantu guru mengenal pasti corak pembelajaran yang lebih sesuai yang boleh mengukuhkan pengajarannya. Dalam pengajaran dan pembelajaran teori yang dikemukakan oleh Thorndike ini adalah sangat berguna. Hal ini juga melibatkan bentuk pengajaran yang lebih sistematik. Oleh itu, guru harus mempunyai pengetahuan tentang teori tingkah laku agar guru lebih bersedia untuk memulakan pengajaran dalam kelas.

2) Pendekatan Teori Kognitif Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Selain daripada pengetahuan asas tentang teori tingkah laku, guru juga perlu mempunyai pengetahuan asas tentang teori kognitif. Menurut Abdul Hamid Awang (2006), ahli psikologi yang tergolong dalam dasar ini menolak hujah yang diperkenalkan oleh ahli-ahli Teori Tingkah Laku. Golongan ini berpendapat bahawa pembelajaran itu mudah dan tidak memerlukan proses cuba jaya. Menurut golongan ini lagi bahawa dalam proses pembelajaran seseorang murid itu membentuk struktur kognitif sendiri dalam kotak ingatannya. Golongan teori ini beranggapan bahawa setiap individu mempunyai keupayaan mental mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula segala pengalaman untuk membolehkan mereka membuat pertalian antara pengalaman yang tersimpan dengan masalah yang ada. Keupayaan individu seperti ini adalah dikenali sebagai celik akal. Antara tokoh yang tergolong sebagai ahli Teori Kognitif ialah S. Burner, David Ausubel dan Robert Gagne.

Menurut pengarang lagi, Teori Burner yang menarik perhatian pendidik adalah berkaitan dengan perkembangan kognitif. Ia menekankan cara-cara manusia berinteraksi dalam alam sekitar dan menggambarkan pengalaman secara mendalam. Burner juga menyarankan bahawa terdapat tiga peringkat dalam perkembangan kognitif iaitu peringkat enaktif, peringkat ikonik; dan peringkat simbolik. Terbuktilah bahawa dalam proses pengajaran dan pembelajaran Burner ini akan dapat membantu guru dalam mengenal pasti pemeringkatan pembelajaran berdasarkan umur dan juga beberapa aspek lain yang harus diberi pehatian dalam pengajaran. Aplikasi Teori Burner dalam pengajaran adalah mengutamakan pembelajaran konsep dan hubungannya dengan konsep yang lain, sumber untuk membantu pengajaran, pemeringkatan isi pelajaran dari mudah kepada kompleks, dan pembentukan kemahiran menyusun, menganalisis, membuat sintesis, aplikasi dan penilaian.

Ausubel pula menyarankan bahawa pembelajaran boleh berlaku dengan dua cara iaitu secara resepsi dan penemuan. Ini bermakna beliau menyarankan pembelajaran secara deduktif iaitu belajar sesuatu konsep atau prinsip dan kemudiannya belajar contoh-contoh khusus yang berkait awal (advance organizer) yang dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan guru mengetahui tahap pengetahuan sedia ada setiap pelajar. Hubungan konsep penemuan yang disarankan oleh Ausubel adalah cukup sesuai dan memberikan impak kepada guru untuk menyusun atur pengajaran dan pemilihan sumber yang berkesan. Manakala Gagne amat terkenal dengan teori pembelajaran yang memerlukan pemeringkatan daripada mudah kepada yang susah. Gagne juga telah menyenaraikan lapan jenis pembelajaran iaitu; pembelajaran isyarat, pembelajaran rangsangan, pembelajaran melalui rangkaian, pembelajaran melalui pertalian berbahasa, pembelajaran diskriminasi, pembelajaran konsep, pembelajaran hukum dan pembelajaran penyelesaian masalah. Pembelajaran penyelesaian masalah adalah pembelajaran yang paling tinggi sekali. Teori gagne juga diteliti sudah pasti memberi gambaran kepada guru bahawa pembelajaran itu amat luas metodologinya. Apa yang penting ialah guru harus menyaring, menganalisis dan memastikan sumber mana dan teori manakan yang sesuai untuk diaplikasikan dalam pengajaran.

2.2.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah semasa mengajar puisi moden di dalam bilik darjah. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru boleh meminta pelajar untuk mencipta sajak. Sajak ini digubah dengan cara menyusun perkataan-perkataan sehingga kelihatan seperti sebuah gambar. Bunyi sebenar sajak itu tidak dipentingkan. Apa yang diperlukan ialah kesan pandangan (visual) yang lahir daripadanya. Latihan-latihan seperti ini boleh menjadi cara yang terbaik untuk menyakinkan para pelajar yang mereka boleh bermain dengan perkataan-perkataan sepertimana yang dapat dilakukan oleh penyajak.

Seterusnya, guru boleh meminta para pelajar menulis nama mereka atau rakan-rakan mereka atau sesiapa sahaja dan kemudian lahirkan sebuah puisi daripada nama tersebut. Pelajar mungkin boleh menciptakan puisi dengan menggunakan nama itu pada setiap baris atau boleh juga menuliskan baris puisi itu dengan menggunakan nama tersebut. Misalnya, nama seorang gadis seperti HAYATI:


H Hasratku
A Adalah daun-daun berguguran
Y Yang kering, hancur
A Atau hanya satu lamunan
T Tiada siapa yang mengerti atau tahu
I Itu yang kunanti

Guru juga boleh meminta para pelajar mencipta sajak berformat.Bagi memudahkan para pelajar, guru bolehlah menyediakan struktur format tersebut. Guru boleh meminta pelajar menulis puisi mereka mengikut strukturnya. Contohnya:

Contoh 1

Baris 1 – nama kamu
Baris 2 – dua perkataan tentang kamu
Baris 3 – tiga perkataan menyatakan hasrat kamu
Baris 4 – dua perkataan menyatakan warna kegemaran kamu
Baris 5 – nama samaran kamu

Contoh 2

Baris 1 – satu tempat
Baris 2 – dua bunyi di situ
Baris 3 – tiga perkara yang kamu lihat
Baris 4 – dua bau di situ
Baris 5 – dua perkataan menyatakan kamu sedih

Setelah pelajar dapat menulis puisi-puisi tersebut, bandingkan hasil kerja mereka. Bincangkan perkataan-perkataan yang digunakan oleh penyajak. Bincangkan idea yang dikemukakan. Adakah ia sesuai? Mengapa? Mengapa tidak?. Disamping itu, guru boleh meminta para pelajar melukis gambaran-gambaran (images) yang mereka dapat gambarkan hasil daripada pembacaan puisi Melayu moden (sajak). Sebelum itu, guru terlebih dahulu memberikan arahan kepada mereka supaya mereka mendapat gambaran tugasan tersebut. Guru dan para pelajar kemudiannya membincangkan ketepatan gambaran-gambaran yang diberikan. Cara ini amat baik untuk melibatkan pelajar dalam perbincangan. Mereka terpaksa melihat dengan cermat perkataan-perkataan yang diucapkan oleh penyajak. Latihan ini juga merupakan satu cara yang dapat memberi para pelajar sesuatu bahan untuk ditulis.

Selain itu, guru boleh meminta para pelajar melengkapkan baris-baris yang dihilangkan daripada beberapa untaian puisi. Setelah para pelajar menyempurnakan kerja-kerja mereka itu, bincangkan ayat-ayat atau idea yang diberikan oleh mereka sendiri. Adakah idea-idea itu sesuai? Idea yang manakah paling tepat?. Di akhir pelajaran guru bolehlah membacakan baris-baris yang sebenar. Dalam pelajaran berikutnya, guru boleh menyediakan senarai istilah-istilah asas puisi yang terdiri daripada pelbagai unsur-unsur ( unsur-unsur bunyi dan unsur-unsur bahasa seperti aliterasi, asonansi, imejan, simbol, hiperbola dan sebagainya). Galakkan para pelajar menggunakan unsur-unsur ini dalam puisi yang mereka cipta. Mereka juga boleh menggunakan istilah-istilah ini semasa mengkaji atau menilai sesebuah karya itu. Seterusnya, guru boleh mnyediakan satu senarai jenis-jenis puisi Melayu moden yang hendak dikenali pelajar. Minta para pelajar itu menambah dalam senarai itu jenis-jenis puisi yang dibaca dalam kelas. Dengan melakukannya para pelajar boleh memiliki satu koleksi tajuk-tajuk puisi Melayu moden di dalam buku mereka. Ini boleh dijadikan rujukan tambahan kemudian.

Di samping itu, guru juga boleh menggunakan kaedah lain semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh:

1) Pembelajaran Puisi Moden Melalui Perbincangan

Perbincangan ialah satu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang sesuatu idea. Tujuannya adalah untuk melatih pelajar mengeluarkan fikiran dan pendapat dengan bernas. Aktiviti ini boleh dijadikan sebagai satu proses belajar yang terancang dengan langkah-langkah persediaan awal oleh pelajar dan guru serta dikendalikan dalam jangka waktu yang telah ditetapkan. Perbincangan boleh dijalankan secara di dalam kelas atau di dalam kumpulan kecil. Corak perbincangan secara kelas adalah lebih menyeluruh manakala perbincangan dalam kumpulan kecil dijalankan mengikut pecahan tajuk. Melalui aktiviti perbincangan, pelajar dapat meningkatkan kemahiran memberi pendapat dan hujah yang bernas dan tersusun dalam pelbagai situasi, bertutur dengan intonasi dan gaya yang betul. Selain itu, pelajar dapat mendengar dan memahami sesuatu perbincangan dengan teliti dan berkesan, membina budaya belajar yang sihat seperti kerjasama antara ahli kumpulan dan memperkembangkan kemahiran belajar untuk terus belajar.

Dari sudut pengajaran dan pembelajaran, perbincangan boleh dijalankan dalam tiga peringkat iaitu peringkat permulaan pengajaran dan pembelajaran, peringkat perkembangan pelajaran dan peringkat akhir pelajaran. Pada peringkat permulaan pengajaran dan pembelajaran, perbincangan boleh dijalankan sebagai aktiviti untuk meransang minat pelajar kepada pelajarannya. Manakala pada peringkat perkembangan pelajaran, pembelajaran boleh dikembangkan melalui aktiviti perbincangan iaitu pelajar menjadikan perbincangan sebagai saluran untuk mengeluarkan pendapat dan fikiran mereka. Pada peringkat akhir pelajaran pula, aktiviti pembelajaran boleh dikukuhkan dengan mengadakan atau memberi peluang kepada pelajar untuk berbincang dan membuat sesuatu rumusan tentang sesuatu tajuk perbincangan. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan pengetahuan pelajar.

Sebelum guru memulakan aktiviti perbincangan, guru perlu bijak memilih tajuk yang berkaitan dengan sajak tetapi tajuk itu menarik dan sesuai. Hal ini kerana tajuk yang menarik akan membantu guru untuk memastikan sesi perbincangan berjaya mengalakkan penglibatan pelajar. Oleh itu, tajuk perlulah dipilih berdasarkan ciri-ciri yang berikut:
i. menarik dan meransang minat pelajar;
ii. isinya sesuai dengan alam dan tahap perkembangan pelajar;
iii. dapat mencabar dan mencerna daya intelek pelajar;
iv. mengandungi nilai-nilai murni; dan
v. mempunyai lebih daripada satu kemungkinan dalam penyelesaian masalah atau jawapan.


2) Kaedah Menghayati dan Mengalami

Menurut Kamarudin Hj Husin (1988 ), kaedah ini berdasarkan pendapat Goodman (1962) yang telah mengesyorkan supaya sesuatu pengalaman dikaji mengikut apa yang ditanggapi oleh pembaca sendiri. Kaedah mengalami dan menghayati menekankan ‘kenikmatan’. Ini bermaksud sesuatu aspek komponen sastera (KOMSAS) yang dipelajari itu dapat dirasakan sepenuhnya. Penghayatan itu berdasarkan kepada himpunan pengalaman pelajar dan ini digunakan untuk mendapatkan sesuatu pengalaman baru. Dalam teori Skemata, iaitu rangkaian ilmu pengetahuan lampau yang mempengaruhi kefasihan dalam pembelajaran. Ia cuba untuk menerangkan bahawa storan informasi dalam memori jangka panjang adalah berbentuk rangkaian fakta dan konsep-konsep kerangka untuk memberi informasi baru. Dalam pengajaran dan pembelajaran, para pelajar didedahkan kepada beberapa persoalan di dalam sesuatu aspek kesusasteraan yang dikaji. Langkah ini disusuli pula dengan aktiviti menginterpretasi persoalan-persoalan itu sehingga ia benar-benar dapat dirasakan.

Pengajaran tidak mementingkan sesuatu objektif tertentu tetapi lebih menumpukan kepada analisis pengalaman. Soalan-soalan yang dikemukakan harus bersifat mencungkil pengalaman para pelajar. Guru harus sentiasa menarik perhatian dan minat para pelajar ke arah cerita yang dipelajari. Alat-alat bantu mengajar adalah penting , terutama usaha menyuburkan imaginasi para pelajar. Mereka dilatih berfikir secara kritis dan oleh kerana itu, pandangan pendapat,pertimbangan yang wajar, penilaian, kritikan dan sebagainya perlu diberi perhatian oleh guru ketika mengadakan perbincangan tentang cerita yang dipelajari itu. Dalam hal membina empati dalam kalangan pelajar, mereka digalakkan membuat simulasi sendiri dengan menggunakan episod-episod yng sesuai yang dapat memberikan kefahaman yang mendalam terhadap sajak yang dikaji.

Kaedah ini amat sesuai digunakan untuk kajian cerpen atau komponen sastera yang lain kerana ia membabitkan kerohanian, ilmu jiwa dan sifat-sifat intrinsik manusia. Penerokaan terhadap hati nurani manusia, nilai-nilai kemanusiaan dan kemasyarakatan, soal-soal moral dan kebudayaan, penonjolan sifat-sifat keperwiraan, perasaan seni dan halus akan menyusuk jika ia benar-benar dapat dialami dan dihayati oleh pelajar. Hal ini demikian kerana kebanyakan isi, tema dan persoalan yang dibawa dalam sesuatu cerpen tertumpu kepada hal-hal sedemikian, maka kaedah mengalami dan menghayati akan dapat memberi kepuasan dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan pelajar. Kaedah ini beranggapan bahawa pengalaman amat penting dalam pengajaran dan pembelajaran KOMSAS. Oleh kerana pengalaman itu ditempuh dan bukan dipelajari, maka setiap orang tentulah mempunyai idea dan pandangan hidup yang tersendiri.

2.2.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Selepas sesi pengajaran dan pembelajaran juga adalah penting bagi memastikan pelajar memperolehi apa yang telah diajar oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menggunakan kaedah sentuhan jiwa. Sentuhan jiwa bermaksud guru berupaya untuk mengajak pelajar agar dapat terus mengikuti kelas dengan baik. Melalui kaedah sentuhan jiwa, guru boleh berinteraksi dengan pelajar selepas tamat waktu kelas. Guru perlu mengesan mana-mana pelajar yang lebih cenderung mengalami masalah dalam menguasai puisi moden dan mengkaji punca yang mendorong pelajar itu gagal menguasai pembelajaran mereka. Seterusnya guru boleh menggunakan masa yang sesuai untuk berkomunikasi secara sentuhan jiwa agar pelajar terbabit menjadi lebih tertarik dan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran berikutnya. Sebenarnya kaedah sentuhan jiwa adalah kaedah yang terbaik dalam menangani masalah yang meruncing dalam usaha guru menarik minat pelajar untuk lebih meminati pembelajaran dalam kelas.

Menurut Suppiah Nachiappan at el. (2008), guru perlu mempunyai pengamatan tentang peranan emosi dalam memimpin guru kepada perspektif baru atas perkembangan kecerdasan yang dimiliki oleh pelajar. Ilmu pengetahuan tentang asas-asas emosi akan membantu menyelesaikan banyak masalah yang dialami oleh pelajar. Asas emosi pelajar adalah penting untuk diselami oleh para guru. Guru boleh mengadakan motivasi selepas kelas atau mendekatkan diri dengan pelajar melalui bicara jiwa. Guru perlu selalu bercakap dengan pelajar, iaitu tidak menggunakan kekasaran dan tahu bagaimana mempengaruhi pelajar. Sekiranya guru menggunakan kesemua ini dalam pengajaran dan pembelajaran maka masalah penguasaan pelajar dalam menguasai puisi moden sudah pasti dapat di atasi.


2.3 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI CERPEN

2.3.1 Faktor Dalaman

Faktor dalaman memainkan peranan penting dalam mempengaruhi para pelajar. Antara faktor dalaman yang mempengaruhi pelajar ialah sikap dan minat. Minat membaca pelajar terhadap cerpen semakin berkurangan. Hal ini mungkin terjadi kerana mereka beranggapam bahawa cerpen kurang menarik dan kadang-kadang imaginasi yang tidak masuk akal. Kesukaran yang timbul kerana kebanyakan cerpen menggunakan gaya bahasa yang pelbagai. Selain itu, pelajar juga kurang minat untuk membaca cerpen yang telalu panjang. Apatah lagi, dalam komponen sastera yang diajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima pelajar terpaksa mengkaji terlalu banyak cerpen. Hal ini menyebabkan pelajar menghadapi masalah untuk mentelaah seterusnya menguasai cerpen.

2.3.2 Faktor Luaran

Faktor luaran yang mempengaruhi pelajar ialah kurangnya pendedahan awal dalam kalangan pelajar. Pengajaran cerpen kurang diberi perhatian di sekolah. Malah tidak pun diajar atau didedahkan secara formal kepada pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas. Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) hanya diadakan satu waktu khas bagi memperkenalkan mata pelajaran komponen sastera kepada pelajar. Peruntukkan satu waktu itu pun tidak mencukupi tetapi boleh memberi ruang kepada guru memperkenalkan secara asas hal-hal yang berhubung dengan cerpen. Pada peringkat menengah rendah dan menengah atas, pengenalan asas kompenen sastera diselitkan di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Keadaan ini sedikit berbeza jika hendak dibandingkan dengan sukatan yang terdapat dalam Kurikulum Lama Sekolah Menengah, di mana pengenalan asas kepada komponen sastera kurang jelas. Pelajar hanya dicadangkan membaca buku-buku sastera sebagai bahan bacaan tambahan. Walaupun begitu masih terdapat beberapa kelemahan kerana buku-buku cerpen yang dicadangkan tidak sepenuhnya dapat dikaji oleh pelajar.

Selain itu, kurang pendedahan awal dalam kalangan pelajar turut menyumbang kepada masalah pelajar tidak dapat menguasai cerpen dengan baik. Pengajaran cerpen kurang diberi perhatian di sekolah. Malah tidak pun diajar atau didedahkan secara formal kepada pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas. Dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) hanya diadakn satu waktu khas bagi memperkenalkan mata pelajaran KOMSAS kepada pelajar. Peruntukkan satu waktu itu pun tidak mencukupi tetapi boleh memberi ruang kepada guru memperkenalkan secara asas hal-hal yang berhubung dengan cerpen. Pada peringkat menengah rendah dan menengah atas, pengenalan asas KOMSAS diselitkan dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Keadaan ini sedikit berbeza jika hendak dibandingkan dengan sukatan yang terdapat dalam Kurikulum Lama Sekolah Menengah, di mana pengenalan asas kepada KOMSAS kurang jelas. Pelajar hanya dicadangkan membaca buku-buku sastera sebagai bahan bacaan tambahan. Walaupun begitu masih terdapat beberapa kelemahan kerana buku-buku cerpen yang dicadangkan tidak sepenuhnya dapat dikaji oleh pelajar.


2.3.3 Penyelesaian Masalah

Menurut Kamarudin Hj. Husin (1988:187), mengajar cerita pendek di dalam kelas adalah lebih menyeronokkan berbanding dengan genre-genre kesusasteraan yang lain. Para pelajar didapati lebih tertarik dengan cerpen kerana cara terpantas bagi mereka untuk menikmati kesan dan menghayati hasil sesebuah kesusasteraan. Cerita pendek boleh dibaca dalam jangka masa yang singkat. Ia tidak mengandungi misteri seperti yang biasanya terdapat dalam puisi. Namun begitu, pelajar menghadapi masalah dalam menguasai cerpen kerana faktor-faktor tertentu. Oleh itu, guru perlu sedar bahawa cerita pendek (cerpen) bukanlah untuk dijadikan sesuatu untuk dibaca dan diajar sahaja tetapi hendaklah berupaya memberi sumbangan sesuatu yang berguna kepada pelajar.

Ada beberapa faktor yang perlu diberi pertimbangan oleh guru-guru ketika menyampaikan pengajaran mereka kepada para pelajar. Dalam konteks pengajaran cerpen, guru perlulah mengetahui kaedah pengajaran yang sesuai digunakan untuk memudahkan pelajar menguasai cerpen. Guru perlu sentiasa membuat persediaan tentang proses yang bakal berlaku dalam pengajaran dan pembelajaran. Apa yang paling penting, guru harus tahu apa yang perlu dilakukannya sebelum, semasa dan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran.

2.3.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

1.Pendekatan Psikologi

Sebelum bermulanya proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, guru perlu memantapkan pengetahuan mengenai komponen cerpen terlebih dahulu bagi menarik minat pelajar dalam mempelajari seterusnya menguasai cerpen. Guru boleh menggunakan pendekatan psikologi. Hal ini demikian kerana pendekatan psikologi memusatkan perhatian kepada manusia yang mencipta di samping watak-watak yang dikemukakan dalam karya sebagai manifestasi daripada tingkah laku manusia juga. Pendekatan ini menggunakan pelbagai teori jiwa untuk mengkaji tingkah laku manusia, baik pengarangnya mahupun konflik-konflik perwatakan yang ditimbulkan dalam ciptaan cerpen atau KOMSAS. Guru perlulah membaca dan mengkaji karya seseorang pengarang terlebih dahulu supaya guru dapat mengetahui bagaimanakah sikap pengarang terhadap sesuatu persoalan yang ditimbulkan. Apakah motif-motif yang sering ditemui dalam karya-karyanya dan anasir-anasir lain yang sering diulang-ulang oleh pengarang.

Pendekatan psikologi banyak dilihat berdasarkan kepada pandangan psikologi daripada ahli-ahli psikologi terkenal seperti Sigmund Freud, Adler dan Jung. Karya- karya Freud seperti Three Contributions to the Theory of Sex (1970) dan The Interspersion of Dreams (1912) telah mempengaruhi banyak pengkritik dan juga penulis tentang peranan seks dan mimpi dalam kehidupan manusia. Teori Freud ini amat sesuai dengan pandangan aliran naturalisme, terutama sekali di Perancis yang memberikan gambaran bahawa ‘manusia adalah mangsa alam sekitar dan biologi’. Freud berkata manusia terikat kepada perasaan seks (libido) akibat daripada tekanan masyarakat terhadapnya. Penilaian Freud bahawa manusia ini adalah sakit dan bukan jahat. Hal ini bersesuaianlah dengan naturalist yang tidak mahu menganggap manusia itu tidak bertanggungjawab tetapi menganggap manusia sebagai mangsa daripada tekanan-tekanan alam dan preterhuman forces.

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, pendekatan ini memberi penekanan kepada soal-soal kejiwaan dan karya, terutama kejiwaan pengarang. Karya cerpen dianggap sebagai hasil cetusan hati nurani manusia (pengarang) yang diwarnai oleh elemen-elemen abstrak, emosi, pengalaman diri, keluarga, masyarakat dan negara. Pendekatan psikologi ini akan membolehkan guru menyedari perlunya kefahaman jiwa itu dalam menghayati dan memahami tujuan sebenar mengajar cerpen agar guru dapat memberi komitmen sepenuhnya di dalam bilik darjah. Jika pelajar turut dibawa bersama dalam pendekatan psikologi ini maka pelajar akan lebih mudah menghayati karya tersebut dengan lebih mendalam terutamanya dari aspek penciptaan, watak dan perwatakan, dan kesannya kepada penikmat (audiens dan masyarakat) serta sebab-munasabab mengapa sesuatu cerpen (cerita pendek) diolah sedemikian.


Bahan Dipilih, Disusun, Dikawal dan Diperingkatkan

Sebelum memulakan pengajaran, guru perlulah menyediakan alat bantuan mengajar KOMSAS. Bahan-bahan yang hendak disampaikan kepada para pelajar mestilah dipilih, disusun, dikawal dan diperingkatkan terlebih dahulu. Hal ini penting kerana penelitian terhadap bahan-bahan pengajaran tidak akan menimbulkan sebarang masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran kelak. Pemilihan bahan-bahan pengajaran adalah proses mencari bahan pengajaran KOMSAS yang sesuai dan menarik untuk pelajaran. Pemilihan bahan biasanya berdasarkan tujuan dan tingkat pencapaian pelajar yang akan mempelajarinya. Walau bagaimanapun, ia tidak boleh terpesong daripada sukatan mata pelajaran cerpen.

Bahan-bahan yang dipilih bermaksud bahan-bahan yang menarik dan sesuai. Bahan-bahan ini hendaklah berkaitan dengan pengalaman dan pengetahuan para pelajar serta tidak terkeluar daripada persekitaran kehidupan para pelajar itu. Hal ini demikian kerana dalam Teori Kognitif, apa yang ditekankan ialah kesedaran tentang hubungan antara ransangan atau penggunaan rangkaian ilmu lampau yang sesuai terhadap pengajaran dan pembelajaran (Suppiah Nachiappan at el : 2008,88). Pengalaman lampau pelajar sangat membantu dalam proses-proses mengingat dan pemahaman. Manakala, bahan-bahan disusun ialah bahan-bahan yang diatur mengikut prosedur supaya perkembangan pelajar maju secara beransur-ansur dan tertib dari awal hingga akhir pengajaran. Susunan bahan-bahan pengajaran yang teliti dapat menggelakkan pengajaran berlaku secara tidak sistematik. Guru-guru harus tahu mana-mana bahan yang perlu digunakan terlebih dahulu dan yang mana akan digunakan kemudiannya. Selain itu, guru juga perlu membahagikan bahan mana yang patut disampaikan pada peringkat permulaan, pada peringkat pertengahan dan pada peringkat akhir. Guru juga perlu tahu jenis-jenis aktiviti yang akan digunakan dalam bilik darjah nanti.

Di samping itu, bahan yang dikawal pula ialah bahan-bahan yang ditentukan supaya bahan itu dapat disampaikan secara seimbang. Guru harus dapat mengawal masa dan bahan-bahan yang hendak disampaikan supaya sesuai dengan salah satu daripada waktu mengajar yang telah ditetapkan. Apa yang dirancang hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Guru hendaklah memastikan bahawa bahan-bahan yang digunakan itu tidak terkeluar daripada bahan-bahan yang telah dipilih dan disusun iaitu ia tidak disampaikan secara suka hati. Guru juga perlu memastikan bahan-bahan tersebut tidak diajar berulang kali. Bahan-bahan yang tidak sempat disampaikan dalam pengajaran pertama hendaklah disambung dan disempurnakan dalam pengajaran berikutnya.

Bahan-bahan yang diperingkat pula bermaksud bahan-bahan yang ditentukan mengikut tahap-tahap tertentu. Pada masa ini umur dan naluri kanak-kanak tidaklah menjadi masalah yang besar lagi kerana umur pelajar yang sedang mengikuti kelas KOMSAS adalah terkawal iaitu umur pelajar sekolah menengah. Tetapi latar belakang keluarga, pengalaman, kecenderungan dan kebolehan mereka tetap berbeza. Oleh itu, bahan yang hendak diajar perlulah dirancang terlebih dahulu. Pemilihan, susunan , kawalan yang dilakukan, dan bahan-bahan pengajaran perlu diperingkat-peringkatkan mengikut kesesuaian. Pemeringkatan biasanya daripada mudah kepada yang lebih susah, daripada dekat kepada jauh, daripada dalam pengalaman hingga luar pengalaman dan sebagainya.


Kesedaran Guru Dalam Peranannya Sebagai Guru Bahasa Melayu Yang Mengajar Cerpen

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kejayaan mengajar cerpen bukan sahaja terletak kepada alat bantuan mengajar dan murid sahaja malah melibatkan faktor guru itu sendiri. Kejayaan dan kegagalan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran itu bergantung juga kepada guru yang menyampaikan pelajaran itu. Guru bukan sahaja perlu memiliki pengetahuan yang cukup malah guru juga harus memiliki pengetahuan psikologi, sosiologi dan pedagogi. Di samping itu, guru haruslah sedar akan tujuan dan objektif mengajar dan kepada siapa mereka mengajar. Guru perlu tahu peranannya ialah:

i. Guru hendaklah bertindak sebagai penggerak atau pembimbing perbincangan dalam kelas. Perbincangan secara terbuka perlu digalakkan supaya pelajar lebih memahami, menikmati dan menghayati bahan-bahan seperti cerpen yang diajar dalam bilik darjah.
ii. Guru hendaklah sentiasa kreatif dan imaginatif. Guru hanya boleh membentuk soalan-soalan yang dinamis, membuat tafsiran yang tepat, mengeluarkan dan mengalirkan idea-idea secara spontan, cekap melayan pertanyaan pelajar dan sebagainya. Unsur-unsur kreatif dan imaginatif ini mampu melahirkan guru yang bijaksana dan unggul. Selain itu, pengajaran guru juga akan menjadi lebih menarik dan berkesan.
iii. Guru hendaklah boleh membina latar yang sesuai dan menarik untuk pelajar nikmati bahan-bahan cerpen dengan lebih berkesan. Dalam hal ini, alat bantuan mengajar sangat perlu digunakan oleh guru.
iv. Guru janganlah menggunakan paksaan ke atas pelajar-pelajarnya untuk menerima pendapatnya sahaja. Dalam pelbagai perkara, para pelajar mestilah diberi peluang mengemukakan pendapat sendiri. Sesuai dengan tujuan penikmatan dan penghayatan, para pelajar itu harus bebas mencurahkan perasaan mereka.
v. Guru hendaklah mementingkan nilai-nilai keindahan yang terdapat dalam sesebuah karya sastera. Pengajaran guru harus tertumpu kepada tujuan menghayati dan menikmati keindahan itu. Para pelajar harus sedar dan dapat menghargai sesuatu karya itu.
vi. Guru hendaklah menggalakkan pelajar mencari jawapan sendiri dalam setiap persoalan yang dikemukan. Kebebasan memberi pendapat akan melatih para pelajar menjadi lebih kritikal dan dinamik.
vii. Guru hendaklah ada kesungguhan. Minat guru terhadap bahan-bahan kesusateraan mestilah sudah tersemai. Minat merupakan motivasi utama untuk guru rajin menyediakan sebarang alat bantuan mengajar dan merancang pengajaran yang berkesan.
viii. Guru hendaklah menyediakan soalan-soalan yang lengkap untuk dikemukakan kepada para pelajar. Soalan-soalan hendaklah berbentuk meninjau kefahaman dan penghayatan. Soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajar biasanya melatih mereka berfikir dengan lebih matang dan teliti.
ix. Guru hendaklah menggunakan teori-teori pembelajaran yang baik, pendekatan kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai. Semua perkara ini perlu diselaraskan.

Tuntasnya, sekiranya guru sedar akan peranannya dalam memastikan pelajar faham tentang cerpen yang hendak disampaikan kepada pelajar maka objektif pelajaran itu sudah pasti dapat dicapai dengan jayanya. Kesedaran ini perlu berlaku sebelum guru memulakan proses pengajaran dan pembelajaran.



2.3.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

1.Ketelitian dan Ketrampilan Bacaan.

Ketelitian dan keterampilan membaca karya cerpen harus dikuasai oleh guru dan perlu didedahkan kepada para pelajar. Apabila pelajar dapat menguasai aras bacaan, ketelitian, kesungguhan dan keterampilan membaca karya fiksyen amnya dan cerpen khususnya membawa pelajar kepada perasaan jemu dan bosan membaca. Perasaan dan sikap ini dapat dikendurkan kerana pelajar dapat memahamidan menghayati isi kandungan dan wawasan di belakang cerita tersebut.

Penguasaan pelajar terhadap keterampilan ini membawa mereka lebih dekat dengan gambaran suasana, fenomena dan jalinan peristiwa yang ditampilkan oleh cerpenis. Pelajar dapat menangkap dan mengesan kandungan perutusan yang dicetuskan oleh pengarang. Pengarang mengutarakan pengertiaan maksud melalui penggunaan kata-kata, frasa, kalimat mahupun wacana yang digunakan oleh cerpenis. Unsur dan gaya bahasa seperti ini menyukarkan pelajar mengesan maksudnya sekiranya pelajar tidak diasuh bagaimana hendak memahami, menggayakan dan memahirkan pembacaannya serta ketekunan berserta ketelitian membaca.

Pelajar juga harus diasuh supaya taat dan berkeinginan membaca secara berterusan supaya menghabiskan pembacaannya. Memahami dan menghayati cerpen tidak boleh dilakukan oleh pelajar sekiranya mereka hanya membaca separuh-separuh sahaja dan menyambung kembali pembacanya apabila ada kelapangan. Pelajar harus membaca sesebuah cerpen berkali-kali. Bacaan pertama hanya semata-mata mencari idea keseluruhan dan pengesanan gaya sementara seseorang penulis. Bacaan kali pertama ini juga akan menentukan keindahan sesebuah cerpen. Oleh itu bacaan pertama ini walaupun pantas tetapi merupakan ransangan pertama bagi menerokai isi cerpen itu dengan lebih mendalam.

Bacaan kali keduanya atau bacaan isi kandungan dilakukan di mana pelajar memberikan penelitian terhadap aspek-aspek yang hendak dihalusi. Pada peringkat ini pelajar diajar oleh guru untuk menanda isi kandungan bahan bacaannya seperti menggaris , menghitamkan dan sebagainya di tempat-tempat seperti nama watak, latar masa dan tempat supaya memudahkan pelajar mengingat. Hal ini akan memudahkan pelajar merujuk kembali untuk memahami, menggayakan dan memahirkan pembacaannya serta ketekunan berserta ketelitian membaca. Pelajar juga harus diasuh supaya taat dan berkeinginan membaca secara berterusan supaya menghabiskan pembacaannya. Walaupun aktiviti susulan semasa membaca kali kedua ini boleh dilakukan tetapi pelajar harus menguasai bacaan telaah bagi mengandaikan karya ciptaan cerpen dengan berdasarkan kepada tumpuan pemahaman dan penghayatan.

Pelajar juga harus memahami secara dekat tema yang hendak disampaikan oleh cerpenis. Bagi mengesan tema utama sesebuah cerpen, pelajar harus mengesan tema utama sesebuah cerpen Misalnya teks cerpen Lambaian Malar Hijau karya pelajar harus sedaya upaya memahami, menghayati dan menangkap maksud tema. Dengan terus membaca keseluruhan cerpen Lambaian Malar Hijau berdasarkan teknik baca isi kandungan dan bacaan teliti, pelajar cuba menikmati dan memperhalus persoalan-persoalan kemanusiaan dan kesejagatan seperti yang dipaparkan oleh penulis melalui watak cikgu Jo yang sangat dedikasi dan menjalankan amanah sebagai pendidik dengan penuh tanggungjawab. Buktinya, cikgu Jo sanggup masuk ke kampung Orang Asli semata-mata hendak memujuk Daneng sehingga akhirnya Daneng bersetuju untuk meneruskan perjalanannya. Kejayaan pengarang dalam mengetengahkan sifat “ Cikgu Jo” yang mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Inilah nilai universal yang dapat dikesan dan diamalkan oleh semua manusia tanpa mengira bangsa, agama dan perbezaan status. Dengan ini sahaja pelajar akan dapat menghubungkan dirinya dengan cerpen tersebut. Pelajar berkeupayaan menyatukan dirinya dengan cerpen tersebut.

Menurut Ishak Ramli (2003), selalunya cerpen tidak menggunakan bilangan watak yang banyak jika dibandingkan dengan genre-genre lain. Sifat seperti ini menjadikan pelajar lebih mudah memahami dan menghayati cerpen. Namun begitu, pemahaman dan penghayatan ini tidaklah semudah yang disangka oleh guru kerana cerpenis mempunyai pelbagai gaya bahasa bagi mengolah dan menghidupkan watak-watak dalam cerpennya.

2. Menggunakan Teknik Penemuan

Pada peringkat awal, guru memberikan penerangan berkenaan konsep atau makna. Tujuannya adalah mengajak pelajar mengetahui maksud sesuatu perkara secara lebih mendalam. Contohnya cerpen ‘hikayat mat jenin’. Pada peringkat awal pengajaran, guru memberikan maksud tema. Tema bererti perkara utama cerita dalam cerpen. Menerusi cerpen ini, pelajar menemui tema iaitu, “kegigihan bekerja membolehkan seseorang itu mencapai kejayan cemerlang”. Secara tidak langsung, pelajar lebih mudah memahami isi pengajaran yang cuba diterangkan oleh guru. Di sini pelajar diajak berfikir secara kreatif dan kritis bagi mengeluarkan pendapat dan idea secara tidak langsung. Oleh itu, pelajar mudah memahami dan menemui sesuatu perkara yang diingini oleh guru. Pelajar juga lebih mudah memahami perkara yang sukar dalam waktu yang singkat.

Selepas mengemukakan konsep tema, guru boleh mengemukakan beberapa soalan kepada pelajar cerita cerpen. Guru boleh mengubahsuai beberapa soalan supaya lebih mudah difahami oleh pelajar. Tujuan utama kaedah penemuan adalah supaya para pelajar mudah menemui soalan yang timbul dan seterusnya mereka boleh mengeluarkan soalan dan dibincangkan bersama. Secara keseluruhannya, persoalan yang wujud dalam cerpen ‘hikayat mat jenin’ adalah berkaitan anak yang malas. Selain itu, mendapat manfaat daripada pengalaman dan nasihat baik, sabar menempuh pelbagai masalah dan akhirnya kejayaan dapat dicapai tanpa perlu memiliki pendidikan tinggi. Melalui kaedah ini guru boleh membawa pelajar mengenal pasti jenis-jenis watak dan perwatakan yang wujud. Sebagai contohnya watak statik, watak bulat dan watak pipih. Pelajar juga boleh mengenal pasti watak

· Pokok-pokok dan rumah-rumah di kiri dan kanan jalan berlari-lari ke belakang.
· Belum sempat aku menyambutnya, deringan loceng menghalau Raja Nor Mustaqimah.

Melalui cerpen ini, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai pengajaran yang ada. Guru boleh menggunakan teknik penceritaan iaitu guru menceritakan sesuatu isu di luar sukatan dan seterusnya menyatakan nilai-nilai murni, nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan. Berdasarkan cerita ini, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai murni, nilai kemanusiaan dan nilai kemasyarakatan. Berdasarkan cerita ini juga, pelajar dapat mengenal pasti nilai-nilai yang ada dalam hiakayat mat jenin. Antaranya ialah ketabahan dan keberanian.

Pengajaran cerpen tidak lengkap tanpa nilai-nilai teladan yang boleh dijadikan pegangan. Guru perlu mendedahkan nilai-nilai ini kepada pelajar. Secara tidak langsung, guru menyelitkan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri pelajar. Melalui kaedah penemuan ini, guru boleh menggunakan teknik menyelesaikan masalah. Pada dasarnya, guru boleh mengemukakan sebarang masalah kepada pelajar. Sebagai contohnya, sikap pelajar yang tidak mendengar cakap kedua orang tuanya. Sama ada secara berseorangan atau kumpulan, pelajar diminta menyelesaikan masalah itu. Pelajar juga boleh mengemukakan masalah mereka dan sama-sama mencari jalan penyelesaian.

Dalam menyelesaikan masalah, pelajar diperuntukkan masa supaya berbincang dengan kawan-kawan yang lain. Hal ini bagi memastikan idea yang dihasilkan bernas dan relevan. Secara tidak langsung, pelajar dapat mengenal pasti nilai dan pengajaran dalam cerpen dan sekaligus mengeluarkan isi-isi yang berkenaan. Guru bertindak sebagai pemudah cara sahaja. Banyak perkara perlu dilakukan sendiri oleh pelajar dan guru hanya memberi panduan. Melalui aktiviti ini pelajar dapat mengeluarkan idea dan mengalakkan mereka berfikir secara kreatif dan kritis. Kaedah penemuan ini menyeronokkan pelajar. Hal ini kerana mereka berusaha dengan sendiri bagi mendapatkan jawapan pada persoalan yang dikemukakan. Dengan ini dapat mengelakkan pelajar daripada bosan semasa mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.


3. Teknik soal jawab

Teknik menyoal memainkan peranan penting dalam mengembangkan daya intelek, rohani, dan emosi serta menggalakkan daya pemikiran yang kreatif, inovatif, logik dan kritis. Guru digalakkan supaya mempelbagaikan teknik menyoal agar pengajaran dapat disampaikan dengan berkesan, menarik dan memberangsangkan pelajar untuk terus belajar. Penggunaan soalan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa boleh membantu pelajar meningkatkan kefahaman isi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, persoalan juga membolehkan pelajar untuk :
a. Membimbing dan menggalakkan pelajar berinteraksi antara satu sama lain, dengan guru dan dengan bahan;
b. memenuhi kehendak pelajar yang berlainan tahap pencapaian;
c. membantu guru untuk meningkatkan daya pemikiran pelajar;
d. membantu dan menggalakkan pemikiran secara meluas dan mendalam;
e. menilai peringkat kefahaman pelajar; dan
f. memberangsangkan pelajar untuk terus belajar.

Guru boleh menggunakan pemeringkatan soalan mengikut taksonomi Bloom. Soalan-soalan yang dikemukan bolehlah terdiri daripada pelbagai aras atau peringkat kesukaran iaitu daripada soalan-soalan adalah seperti berikut:

Peringkat Soalan
Aras Pemikiran Pelajar
Contoh
Pengetahuan
Pelajar perlu mengingat atau menghafal sesuatu yang sudah dipelajari. Pelajar boleh mendapat butiran jawapan secara berterusan.
Siapakan nama pengarang novel “ Lambaian Malar Hijau ? ”
Apakah nasihat cikgu Jo kepada Daneng?
Pemahaman
Pelajar perlu memahami maksud atau makna sesuatu bahan yang diberikan.
Terangkan apakah yang cuba disampaikan oleh pengarang tentang kasih sayang antara Cikgu Jo dengan Daneng?
Apakah usaha yang dilakukan oleh Cikgu Jo untuk memastikan pelajar cemerlang seperti Daneng terus belajar?
Pengetahuan dan Aplikasi
Pelajar boleh menggunakan pengetahuan yang telah ada untuk disesuaikan atau digunakan dengan situasi atau bahasa yang diberikan.
Karangkan sebuah cerita pendek yang ada kaitan dengan tema yang telah dibincangkan tadi?
Berdasarkan cadangan-cadangan yang telah anda berikan, apakah langkah yang boleh diambil untuk membantu Daneng?
Analisis
Pelajar boleh memecahkan atau mencerakinkan sesuatu bahan kepada bahagian-bahagian kecil supaya dapat memahami keseluruhan bahan dengan lebih jelas.
Senaraikan semua sifat-sifat mulia yang dimiliki oleh Cikgu Jo dalam petikan ini?
Apakah cara-cara yang boleh kita lakukan untuk membantu Cikgi Jo menyelesaikan masalahnya.
Sintesis atau Rumusan
Pelajar boleh merumus atau membuat kesimpulan tentang bahan-bahan yang telah dicerakinkan supaya mendapat satu kesimpulan atau rumusan tertentu.
Apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui cerpen yang dibaca tadi?
Apakah perkara pokok yang dibicarakan dalam petikan diatas.
Penilaian
Pelajar boleh membuat pertimbangan atau menilai sesuatu bahan.
Patutkah kanak-kanak diberi kebebasan memilih bahan bacaan yang disukainya.
Pada pendapat anda apakah tanggungjawab anda sebagai pelajar?


Pemeringkatan soalan penting dalam memastikan pelajar dapat menerima sesuatu dengan mudah. Soalan-soalan yang dikemukakan boleh dibahagikan kepada dua jenis:



1. Jenis Bertumpu ( Convergent)

Soalan jenis ini memerlukan jawapan betul atau salah iaitu lebih berbentuk objektif. Jawapan kepada soalan jenis ini boleh didapati daripada petikan atau bahan yang diberikan. Dalam pemeringkatan soalan mengikut Taksonomi Bloom, peringkat pengetahuan, pemahaman dan penggunaan pada peringkat rendah termasuk dalam jenis ini.

2. Jenis Bercapah ( Divergent )

Jawapan kepada soalan ini lebih bersifat terbuka atau bebas. Jenis soalan ini lebih menguji pemikiran pelajar supaya dapat menaakul, meneroka menganalisis, mengkritik dan menghayati sesuatu bahan. Jenis soalan ini juga memberi peluang kepada pelajar berinteraksi secara aktif dan melahirkan pemikiran yang kreatif. Soalan-soalan yang termasuk dalam jenis bercapah adalah soalan diperingkat analisis, sistesis dan penilaian.

Sebelum mengemukakan soalan, guru hendaklah merancang, membentuk dan memilih soalan yang sesuai. Guru perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara yang berikut:

1. Bila Menyoal ?

Bilakah soalan dikemukakan? Adakah pada awal pelajaran sebagai pengenalan untuk menimbulkan minat dan kesediaan pelajar bagi menghadapi pembelajaran, atau pada pertengahan pelajaran sebagai ransangan untuk menguji pemahaman pelajar?

Soalan boleh dikemukakan pada awal, pertengahan atau pada akhir pelajaran mengikut keperluan dan keadaan.

Contohnya:
i. Pernahkah anda melihat permainan tradisional?
( Awal)
ii. Bolehkah anda merumuskan kembali apa yang telah kita bincangkan tentang sejarah wau di Malaysia?
( Pertengahan)
iii. Pada pendapat anda perlukah permainan tradisional diperkenalkan kepada generasi akan datang?
(Akhir/Pengukuhan)

Soal-jawab merupakan salah satu aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran cerpen yang dapat membimbing pelajar ke arah pemikiran yang lebih luas. Soalan yang mencabar akan membantu pelajar menajamkan lagi pemikiran dan juga membantu pelajar mencari maklumat melalui perbincangan dan pembacaan yang luas. Oleh itu, guru seharusnya memberikan perhatian yang serius kepada aspek soal-menyoal dan memanfaatkan penggunaannya untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.

2.4 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI DRAMA

Drama merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam antologi Kesusasteraan Melayu yang diperkenalkan sebagai sisipan dalam bahagian pemahaman bagi subjek Bahasa Malaysia. Drama ialah cerita berdialog atau cereka yang mengandungi konflik yang memaparkan kehidupan yang dilakonkan atau karya yang dipersembahkan oleh pelakon di atas pentas yang dikenali sebagai teater atau sandiwara atau yang dipersembahkan melalui radio, televisyen atau sejenis karangan cereka yang berbentuk prosa dan puisi yang mengandungi dialog dan menampilkan pelbagai persoalan dan realiti kehidupan. Menurut Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir (2005a: 334), drama dapat dipisahkan kepada dua bentuk, iaitu drama bertulis dan drama pementasan.

Dasar pendidikan negara yang berhasrat melahirkan individu yang berperibadi mulia yang kemudiannya menjadi rakyat yang berkualiti. Falsafah Pendidikan Negara juga menjelaskan bahawa pendidikan negara ini bersifat berterusan kerana adanya unsur-unsur kesinambungan antara pengajaran dan pembelajaran daripada satu peringkat ke peringkat yang seterusnya. Selanjutnya, Falsafah Pendidikan Negara juga menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia berfungsi untuk memperkembang bakat dan kemampuan murid waima dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu.

Pengajaran drama dalam antologi kesusasteraan Melayu amat menepati hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang bermatlamat mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Hal ini amat bersesuaian dengan unsur drama yang mencerminkan masyarakat dan kebudayaan serta merupakan manifestasi kesenian melalui media lakonan dan penceritaan yang lebih berkesan. Di samping itu, unsur drama juga membolehkan murid dapat memahami manusia di sekitarnya dan membolehkan penyerapan nilai-nilai murni seterusnya membantu matlamat ke arah berusaha melahirkan insan yang seimbang dan harmonis.

2.4.1 Penyelesaian Masalah

Drama dari segi pendidikan adalah lebih daripada pementasannya. Unsur drama boleh dikatakan menjadi aktiviti yang dapat memberi peluang kepada murid untuk ‘belajar sambil bermain’. Belajar sambil bermain adalah satu konsep dalam alam pendidikan yang dapat menggalakkan pelajar cenderung untuk belajar. Hal ini kerana, melalui konsep ini pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan bererti. Unsur drama bukan sahaja dapat mengajar tentang bahasa kepada para pelajar, malahan turut mengajar pelajar kemahiran sosial dan sikap seperti kerjasama, berinisiatif, kreatif, kesedaran terhadap sesuatu masalah tertentu dan pelbagai kemahiran lain tidak mungkin diperoleh daripada kurikulum formal persekolahan biasa. Kemahiran seperti ini penting bagi pertumbuhan mental, fizikal dan emosi seseorang pelajar.

Namun, kegiatan berdrama mempunyai kekangan-kekangan tertentu untuk dilaksanakan meskipun pelbagai kelebihan boleh didapati daripada aktiviti ini. Meskipun terdapat banyak kelebihan berkaitan pembangunan diri pelajar, aktiviti tersebut tidak dapat dilaksanakan menjadikannya tidak menyeluruh dan terhad. Keadaan ini bukan sahaja terhad kepada waktu pertunjukannya tetapi juga kepada pelajar dan guru yang mampu melaksanakannya. Hal ini bermaksud, mampu dari sudut perolehan guru yang berjiwa atau berbakat seni. Kebanyakan pelajar tidak mampu menghayati teks sastera yang disediakan apatah lagi malu untuk melakonkan watak-watak dalam drama. Jika guru mempunyai perasaan malu, pasti gagal untuk menggerakkan pelajarnya. Secara tuntasnya, masalah dalam pembelajaran unsur drama ialah pelajar kurang berkeyakinan dan malu dalam pembelajaran sama ada dalam pembacaan mahupun pementasan.

Drama dalam KOMSAS sebenarnya mampu menjadi wahana pembelajaran yang baik dan berkesan. Penggunaan buku teks yang dibekalkan sememangnya mempunyai beberapa drama berbentuk tulisan yang sangat menarik dengan gaya bahasa yang kreatif dan naratif yang dicipta oleh beberapa penulis tersohor negara. Sepatutnya, pembelajaran KOMSAS dapat mencambahkan minat pelajar terhadap kesusasteraan dan bidang berkaitan dengannya di samping hasil sampingan yang dapat membangunkan sahsiah pelajar

Drama dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah menengah ialah unsur-unsur drama asas yang terdapat dalam gerak kerja lisan. Pelajar diharapkan dapat menguasai kemahiran bahasa lisan dengan berlatih bercerita dan melakonkan cerita-cerita. Aspek ini amat menarik kerana menjadi tanggapan bahawa pada peringkat awal remaja, mereka masih gemar bercerita dan berlakon olok-olok. Hal ini menjadi kebiasaan semulajadi yang ada pada diri setiap pelajar. Sebagai bukti, apabila tiada guru di dalam bilik darjah, pelajar mula membuat bising dengan pelbagai aksi ketika bercerita sesama rakan. Keadaan yang semulajadi ini harus dieksploitasi dengan sepenuhnya oleh guru. Tetapi, mengapakah apabila disuruh berlakon, pelajar malu dan kaku? Hal inilah yang perlu dititikberatkan oleh setiap guru dalam menangani setiap pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan ragam.

Pembelajaran drama melibatkan pelbagai kemahiran yang tidak harus dipandang mudah oleh seseorang guru. Guru perlu sedar bahawa pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu diterokai serta dikembangkan oleh guru. Pembelajaran drama adalah medan terbaik untuk guru mengenal pasti keupayaan setiap pelajar. Terdapat pelajar yang mempunyai kemahiran artistik dan seni yang tinggi. Pelajar seperti ini boleh dikembangkan bakat nyanyian, lakonan ataupun tarian yang dimiliki olehnya. Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai bakat tersebut berkemungkinan seorang yang tinggi sifat kepimpinannya. Oleh itu, guru boleh melantiknya sebagai ketua dalam sesuatu program pementasan yang dilaksanakan. Malah, terdapat juga kru-kru sokongan yang menjadi tulang belakang sesuatu pementasan sesuai untuk pelajar yang cergas dan suka dengan kerja-kerja disebalik tabir. Walau apa pun peranan mereka guru perlu memandang serius supaya keyakinan mereka dapat dipupuk serta mengikis sifat malu apatah lagi ketika berhadapan dengan orang ramai. Selain itu, peranan ibu bapa turut sama penting dalam mengatasi masalah ini di samping alat bantu mengajar yang sesuai untuk membantu mereka memahami dengan lebih berkesan.


2.4.1.1 Instrumen Penyelesaian

i) Guru (Teori Modeling/ Kognitif Sosial Bandura)

Teori yang digunakan ialah, Teori Modeling atau Teori Kognitif Sosial yang diasaskan oleh Bandura. Dalam teorinya, beliau menjelaskan bagaimana individu dalam sesebuah masyarakat menerima pembelajaran. Menurut beliau, pembelajaran bukan sahaja berlaku secara pelaziman klasik dan operan yang mementingkan perkaitan antara rangsangan dan gerak balas, tetapi juga melalui peniruan. Dalam hal ini, pembelajaran unsur drama amat bertepatan dengan teori ini dimana guru sebagai model dan pelajar adalah penirunya. Teori Modeling dari Bandura ini merupakan gabungan antara teori belajar behavioristik dan psikologi kognitif, dengan prinsip modifikasi perilaku.
Teori Modeling Bandura menunjukkan pentingnya proses mengamati dan meniru sikap dan reaksi orang lain. Bandura ( 1977 ) menyatakan bahawa :

“Learning would be exceedingly laborious, not to mention hazardous, if people had torely on the effects of their own action to inform them what to do. Fortunately, most human behavior is learned observationally through modeling, from observing others one forms an idea of how new behaviors are performed and on later occasions this coded information serves as guide for action.”.

Teori ini menjelaskan perilaku manusia dalam konteks interaksi timbal balik yang berkesinambungan antara kognitif, perilaku dan pengaruh lingkungan.

Belajar adalah proses perubahan perilaku yang dibentuk melalui umpan balik informatif yang dihasilkan oleh perilaku langsung individu dalam interaksinya dengan lingkungannya, misalnya melalui melihat, mengamati, dan bahkan meniru orang lain disekitarnya. Oleh yang demikian, proses belajar akan menyenangkan, menyedihkan, atau apa sahaja yang sesuai dengan keadaan mental orang yang sedang belajar. Proses perubahan dengan pola ini banyak kaitannya dengan keadaan lingkungan sekitar yang mempengaruhi individu. Misalnya seseorang yang hidupnya dibesarkan dalam lingkungan judi, maka dia cenderung berjudi, atau setidak-tidaknya menganggap bahawa judi itu tidak salah. Jika seseorang hidup dalam lingkungan media dan sumber-sumber informasi, maka orang yang berkaitan akan menyukai informasi, atau setidak-tidaknya tahu akan informasi dan sumber-sumber informasi. manusia akan selalu menyesuaikan dirinya dengan lingkungan sosial sekitarnya.

Keadaan ini seharusnya dimanfaatkan oleh guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru seharusnya menjadi seorang dramatis yang natural tidak kira apa pun mata pelajaran yang diajarnya. Guru juga perlu mempunyai kebolehan untuk menyampaikan bahan-bahannya dengan berkesan iaitu kebolehan berlakon dan mengikis semua perasaan malu menjadikan seorang guru itu dianggap serba boleh. Apabila guru mampu meningkatkan keyakinan dirinya, ia tidak akan merasa sukar untuk menggerakkan anak muridnya melakonkan drama di bilik darjah mengikut sukatan yang telah ditetapkan. Oleh itu, guru perlu meneroka setiap potensi dan bakat yang ada pada pelajarnya. Hal ini membolehkan guru mengenalpasti apakah kebolehan yang ada serta dapat merangka tugas-tugas yang patut diberikan kepada pelajarnya dalam pengajaran drama. Tidak semua pelajar akan menjadi pelakonnya. Sesetengah pelajar mungkin berbakat dalam bidang pengarahan dan kreatif dalam penyediaan props. Inilah fungsi sebenar guru sebagai pembimbing supaya bakat mereka dapat digilap.

Sebelum memulakan sesuatu pengajaran drama, guru perlu mengenalpasti apakah lakonan yang hendak dibawa oleh seseorang pelajar serta apakah kepentingannya dalam pendidikan dan kesesuaiannya dengan jiwa pelajar. Lakonan perlu realistik iaitu dapat dijalankan oleh pelajar serta sesuai dengan tahap umur pelajar. Dialog-dialog yang dilontarkan dalam sesebuah drama mestilah hidup, lancar, cair dan tidak kaku. Sukatan pelajaran yang telah disusun dapat membantu guru memilih bahan pengajaran yang baik berpandukan buku teks. Di sinilah kehebatan seorang guru yang dapat diukur. Guru yang baik dapat menggerakkan emosi dan kebolehan berlakon pelajar untuk menjayakan sesuatu pementasan. Tidak semestinya semua pelajar akan mengambil peranan dalam lakonan. Guru perlu menyusun atur tugas bagi membolehkan pelajarnya mempunyai peluang yang sama untuk terlibat serta menjadi latihan kerjasama dalam sesuatu organisasi yang bakal menjadi contoh kehidupannya kelak.

Guru dan pengajaran juga merupakan aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran sastera. Guru yang mengajar dengan baik dapat mengubah persepsi pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran. Untuk mengubah persepsi pelajar, guru perlu memainkan peranan membentuk minat pelajar serta lebih menumpukan perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Oleh itu, guru harus sentiasa bersikap proaktif dan menganbil inisiatif untuk berusaha meningkatkan kemahiran dan menghasilkan teknik pengajaran berkesan yang mampu menarik minat pelajar, dan pada masa yang sama turut memenuhi keperluan sukatan pelajaran.

Menurut Prettyman (1996), daya kreatif guru adalah penting dalam pengajaran dan pembelajaran drama. Minat dan kesungguhan yang mendalam pada seorang guru itu membantu mempercepat proses penghayatan pelajar. Guru juga tidak seharusnya beranggapan mempelajari unsur drama adalah suatu perkara yang mudah dan membiarkan pelajar membaca dan memahami sendiri teks drama. Seseorang guru perlu mempunyai keupayaan untuk menarik hati pelajar dengan menyelami peristiwa yang berlaku sehingga pelajar benar-benar dapat merasakan sesuatu peristiwa dalam drama tersebut. Bimbingan dan galakan daripada guru kepada pelajar amat penting agar pelajar dapat melibatkan diri dalam aktiviti bilik darjah. Pendapat ini juga disarankan oleh Mike yang menyatakan bahawa:

”...teachers are the decisive element in the classroom. Teachers posses power to make a child’s life joyous or miserable. Teachers can be an instrumen of inspiration or torture to a child’s motivation to learn”.

Oleh itu, guru perlu memainkan peranan sebagai ”pelajar contoh” di dalam kelas. Pelajar mudah dikawal sekiranya guru pandai memilih aktiviti yang sesuai, menjalankan pengajaran dan pembelajaran dua hala, memahami kehendak individu di dalam kelas dan menjalankan aktiviti pengukuhan berdasarkan kemampuan pelajar. Penerapan model Role Playing juga perlu digunakan oleh guru dengan pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Melalui kaedah ini, beberapa kelebihan akan didapati membabitkan guru, pelajar dan kemahiran yang diperoleh pelajar. Melaluinya juga, guru dapat meningkatkan kemampuannya dalam mencapai objektif pengajaran, memotivasikan pelajar dan membimbing pengajaran. Selain itu, di pihak pelajar pula, pelajar lebih berani menyatakan pendapat dan seterusnya terdapat kesedaran hubungan antara peranan yang dimainkan dengan masalah kehidupan masyarakat yang sebenar serta memudahkan pelajar mengingat kembali tentang konsep, fakta dan teori.


2.) Teori Pelaziman Operan Skinner

Pembelajaran unsur drama dalam KOMSAS tidak boleh dianggap mudah oleh guru. Setiap pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan haruslah mempunyai kaedah-kaedah yang mampu menarik serta merangsang perhatian pelajar. Dalam Teori Pelaziman Operan Sinner, gerak balas boleh dikuatkan atau dihapuskan jika diberi peneguhan sebaik-baik sahaja gerak balas ditunjukkan. adalah suatu proses peneguhan perilaku operan ( penguatan positif atau negatif ) yang dapat mengakibatkan perilaku tersebut dapat berulang kembali atau hilang sesuai dengan keinginannya.

Skinner telah menjalankan uji kaji terhadap seekor tikus di dalam makmalnya. Skinner memasukkan tikus yang telah dilaparkan dalam sebuah kotak yang disebut “Skinner box”. Kotak tersebut sudah dilengkapi dengan pelbagai peralatan, iaitu tombol, alat pemberi makanan, penampung makanan, lampu yang dapat diatur nyalaannya dan lantai yang dapat dialirkan elektrik. Akibat lapar, tikus tersebut berusaha keluar untuk mencari makanan. Ketika tikus itu bergerak untuk keluar dari kotak itu, secara tidak sengaja, tikus tersebut akan menekan tombol menyebabkan makanan keluar. Secara berjadual, makanan diberi secara bertahap sesuai dengan peningkatan perilaku yang ditunjukkan oleh tikus. Proses ini disebut shaping.

Berdasarkan hasil percubaannya kepada tikus dan burung merpati, Skinner menyatakan bahwa unsur terpenting dalam pembelajaran ialah peneguhan. Hal ini bermaksud, pengetahuan yang terbentuk melalaui respon akan semakin kuat apabila diberi peneguhan. Skinner membahagikan peneguhan ini kepada dua, iaitu peneguhan negatif dan penguatan positif. Penguatan positif sebagai motivasi, dapat meningkatkan terjadinya pengulangan tingkah laku, sedangkan peneguhan negatif dapat mengakibatkan perilaku berkurang atau menghilang. Dalam hal ini, adalah penting bagi seorang guru memberikan peneguhan positif dalam bilik darjah sebagai salah satu bentuk motivasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Dalam kegiatan berdrama, komitmen yang diberikan pelajar adalah sangat tinggi terutama apabila membabitkan sesuatu pementasan. Pelajar bukan sahaja terlibat dengan pementasan tetapi juga terlibat dengan kegiatan belakang tabir yang menuntut perhatian penuh daripada setiap pelajar. Oleh itu, guru tidak seharusnya terlepas pandang. Hal ini akan mengakibatkan pelajar akan berasa tidak dihargai seterusnya menyebabkan mereka tidak bermotivasi untuk melakukan tugas tersebut.

Apabila peneguhan positif diberi kepada pelajar, pelajar akan menjadikannya sebagai satu bentuk motivasi yang akan mendorongnya melakukan sesuatu dengan lebih baik. Guru perlu menggunakan kaedah ini untuk membentuk diri pelajar sesuai dengan kemampuannya. Contohnya, guru akan memberikan pujian terhadap kegiatan-kegiatan berdrama yang dilakukan oleh pelajarnya. Malah, selesai sahaja aktiviti tersebut, guru akan memberikan hadiah yang kepada pelajar yang menonjolkan hasil kerja yang memuaskan. Oleh itu, pelajar akan terus berusaha untuk melakukan tugassan seterusnya dengan menunjukkan peningkatan prestasi dan hasil kerja yang lebih bermutu.

Sehubungan itu, guru tidak boleh bersikap pilih kasih. Hal ini kerana bukan semua pelajar akan berlakon. Guru perlu bersikap lebih adil dan ikhlas menghargai hasil kerja pelajarnya. Guru perlu menzahirkan perasaan bangga dan menghargai hasil kerja pelajarnya supaya menjadi peneguhan kepada mereka. Rangsangan-rangsangan seperti senyum, menepuk bahu pelajar serta turut melibatkan diri dalam aktiviti pelajar adalah contoh peneguhan yang akan memberi impak positif terhadap pelajar. Guru juga perlulah memberi peneguhan secara serta-merta dan bersistematik. Sebaik-baiknya, setelah selesai sahaja sesuatu aktiviti itu dijalankan, peneguhan positif perlulah diberikan. Pemberian ganjaran juga haruslah bersesuaian dengan tahap umur pelajar. Contohnya, tahap pelajar sekolah menengah atas lebih menggemari aktiviti sosial. Oleh itu, guru boleh menganjurkan jamuan melibatkan pelajar secara terkawal.

3.) Penggunaan Alat Bantu Mengajar ( ABM )

Pembelajaran aktif dapat mempertingkat pemikiran dan tindak balas pelajar. Pelajar seharusnya diberikan peluang untuk membuat refleksi terhadap aktiviti yang dijalankan untuk pembentukan makna daripada pengalaman. Pembelajaran secara konkrit kepada pembelajaran abstrak amat digalakkan supaya pelajar dapat berfikir secara induktif. Hal ini penting supaya pembelajaran tersebut menjadi pembelajaran yang bermakna. Oleh itu, guru perlu membantu pelajar dalam pembentukan pembelajaran yang bermakna. Pelajar mempunyai pelbagai kecerdasan yang perlu dikembangkan oleh guru.

Dalam pembelajaran drama, penggunaan ABM amat penting untuk memastikan pelajar memahami setiap pengajaran. Hanya ABM yang mempunyai komunikatif tinggi sahaja yang mampu membantu pelajar memperoleh pengalaman belajar yang berfaedah bagi mengembangkan sikap ilmiah dan sikap sosial, kemantapan emosi dan daya penghayatan. ABM yang digunakan melibatkan penggunaan deria pelajar seperti pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan bau. Dengan penglibatan semua deria, pelajar bukan sahaja tertumpu kepada pengajaran dan pembelajaran guru, malah pelajar lebih mudah memahami dan mengingati bahan pelajaran yang disajikan kepadanya. Penggunaan ABM yang melibatkan deria semasa pengajaran dan pembelajaran akan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan. ABM bukan sahaja membantu menghidupkan kelas malah mempelbagaikan perkembangan kognitif dan afektif pelajar-pelajar.

Antara contoh penggunaan ABM yang berkesan dalam pengajaran drama ialah penggunaan radio dan televisyen. Hal ini kerana penggunaan radio dan televisyen melibatkan penggunaan banyak deria pelajar seterusnya menjadikan pengajaran lebih berkesan. Dalam sesuatu pengajaran drama, penerangan boleh disertakan dengan contoh-contoh yang konkrit, gambaran-gambaran yang jelas, terang dan menarik. Semua ini dapat dilakukan melalui alat-alat radio dan televisyen seterusnya menarik dan memikat hati pelajar dan ini boleh mendorong mereka untuk terus meminati drama dan mempelajarinya. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting untuk memilih bahan yang bermutu untuk disajikan kepada pelajarnya.

Selain itu, penggunaan buku teks juga adalah perlu. Hal ini kerana buku teks merupakan sumber utama dalam pembelajaran. Bahan-bahannya telah diteliti terlebih dahulu oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan. Terdapat pelbagai bahan pengajaran dalam buku teks termasuk latihan-latihannya. Malahan idea-idea yang terkandung di dalamnya boleh diekspoitasi oleh para guru dengan menokok tambah bahan-bahan itu sendiri. Namun begitu, guru-guru tidak seharusnya terlalu bergantung dengan bahan yang terkandung dalam buku teks. Mereka harus mendedahkan kepada para pelajar lebih daripada buku teks dan sesuai dengan tahap umur pelajar tersebut. Hal ini bermakna, guru-guru sendiri perlu memainkan serta menambahkan pengalaman mereka sendiri. Contohnya, guru boleh menggunakan teks drama yang dikarangnya sendiri atau memberi galakan kepada pelajar mereka untuk menghasilkan skrip sendiri. Hal ini secara tidak langsung mampu menambahkan keyakinan mereka dalam pembelajaran serta mencambahkan pemikiran kreatif dalam dirinya.

Penggunaan pelbagai media yang sesuai dan menarik penting supaya suasana pengajaran yang kaku dapat ditukar kepada pembelajaran yang melibatkan pelajar. Aplikasi dan manipulasi drama melalui genre elektronik, perisian komputer dan sebagainya dapat mengekalkan minat dan tumpuan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran drama. Guru perlu kreatif dan inovatif serta memilih bahan yang sesuai. Sumber dan bahan pengajaran yang digunakan oleh guru perlu menarik, dapat mengekalkan minat pelajar, mengembangkan minat pelajar terhadap pelajaran dan menjadikan pelajar merasa mereka amat penting. Guru perlu memastikan pelajar lebih membuat daripada mendengar dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu membaca, menulis, berbincang seterusnya terlibat dalam pementasan. Guru juga perlu memasukkan aktiviti pembelajaran yang aktif dan dan singkat tanpa mengurangkan isi kandungan. Dengan ini pelajar dapat belajar lebih daripada proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru akan melamahkan perkembangan potensi pelajar dalam proses pembelajaran. Hal ini akan mengakibatkan prestasi pelajar tidak mencapai tahap yang optimum. Teknik yang variatif dan inovatif dapat membangkitkan minat pelajar untuk belajar. Teknik interaktif mestilah melibatkan pembelajaran yang komunikatif serta wujudnya integrasi penggunaan ketrampilan berbahasa.

Secara tuntasnya, faktor bahan memberi kesan yang mendalam untuk meningkatkan minat pelajar untuk terus menguasai sesuatu kemahiran dan berinteraksi dengan lebih berkesan. Guru perlu peka dengan penggunaan teknologi maklumat seiring dengan arus pendidikan semasa supaya pembelajaran menjadi lebih menarik. ABM dapat membentuk gaya pemikiran, kreatif dan memperkukuh persepsi pelajar. Penggunan ABM yang merupakan unsur terpenting dalam pengajaran drama berfungsi sebagai penyubur imaginasi para pelajar. Melaluinya, mereka akan dilatih berfikir secara kritis, membuat pertimbangan yang wajar, penilaian, kritikan dan sebagainya. Oleh itu, mereka perlu diberi perhatian oleh guru semasa mengadakan perbincangan. Penglibatan semua pelajar adalah perlu bagi memastikan masalah utama dapat diatasi iaitu mengikis perasaan malu dalam diri pelajar. Apabila guru bertanya dan menerima pendapat mereka, pelajar akan rasa dihargai seterusnya sentiasa berusaha memberikaan idea-idea baru. Guru perlu membantu mereka membuat simulasi sendiri berdasarkan bahan-bahan yang ditonton.

4.) Pengaruh Baka

Pengaruh baka amat penting dalam menentukan pembelajaran anak-anak berjaya. Motivasi ibu bapa mempunyai kaitan rapat dengan aspirasi pendidikan anak-anak. Sikap anak-anak boleh dikatakan menyerupai sikap ibu bapa. Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting dalam mempengaruhi kejayaan anak-anak. Wilkins menyatakan bahawa:

”...the attitude of children are almost always the atitudes of their parents also, so that it could be said that the parents do much to determine the lack of success of their children in learning..” (1981:53)

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak-anak mempelajari sastera. Walau apa pun unsur dalam pembelajaran, ibu bapa perlu mengambil bahagian dalam pembelajaran anak-anak. Galakan ibu bapa amat penting sebagai pendorong kepada anak-anak untuk berjaya dalam pembelajaran. Dalam pembelajaran unsur drama dalam KOMSAS, ibu bapa perlu bertindak sebagai pengarah yang membolehkannya mengikis sifat malu anak-anak apabila terlibat dalam sesuatu pementasan. Ibu bapa perlu mengambil alih tugas guru apabila berada di rumah. Hal ini akan menyebabkan anak-anak akan berasa mereka mendapat sokongan yang penuh serta yakin akan kemampuan diri sendiri.

Sebelum itu, minat membaca haruslah dipupuk terlebih dahulu. Peranan ibu bapa sangat penting dalam memupuk minat membaca anak-anak. Sekiranya ibu bapa meluangkan masa membaca bersama anak-anak atau membaca untuknya, minat membaca akan terpupuk secara tidak langsung terutama dalam pembelajran sastera. Minat terhadap sestera perlulah dipupuk sejak awal. Hubungan yang baik dan sokongan daripada ibu bapa boleh meningkatkan minat pelajar dalam pelajaran.



2.5 MASALAH PELAJAR DALAM MENGUASAI NOVEL

Novel merupakan salah satu komponan sastera yang terdapat dalam KOMSAS bahasa Melayu yang mesti diajarkan oleh guru di dalam kelas. Novel adalah sebuah roman yang singkat atau dikenali juga sebagai sebuah prosa reka yang panjang di dalamya termuat sebahagian daripada sebuah kehidupan. Contohnya, novel Di Hadapan Pulau yang diajarkan kepada pelajar tingkatan empat dari negeri selatan mengesahkan tentang kehidupan rakyat jelata yang penuh dengan penderitaan akibat daripada peperangan. Istilah ‘novel’ itu berasal daripada bahasa Itali novella yang bermaksud satu benda kecil yang baru.

Masalah pelajar dalam menguasai komponen sastera dilihat semakin meruncing dengan kepelbagaian faktor yang mempengaruhinya. Dalam masalah pelajar untuk menguasai novel terdapat beberapa faktor yang mempengaruhinya iaitu faktor dalaman dan faktor luaran.

2.5.1 Faktor Dalaman

Kebanyakan pelajar sukar untuk menguasai novel kerana mereka malas hendak menghabiskan membaca novel kerana novel adalah sebuah cerita panjang dan bagi mereka novel sesuatu yang membosankan juga. Pelajar tidak minat mengkaji novel kerana terpaksa mengkaji pelbagai aspek yang terdapat di dalamnya. Selain itu, mereka malas hendak menghafal perwatakan setiap watak yang terdapat dalam novel berkenaan. Sementara itu, mereka juga mudah mencampuradukkan perwatakan watak yang terdapat dalam novel berkenaan. Faktor lain, ada juga pelajar yang minat belajar novel tetapi mereka susah hendak mengingati unsur- unsur yang terdapat dalam novel berkenaan. Sementara itu, pelajar juga tidak dapat menguasai novel kerana guru sendiri belum bersedia menguasai novel yang hendak beliau bincangkan. Pelajar menjadi tidak berminat dengan novel memandangkan novel memerlukan pembacaan yang panjang. Novel mempunyai banyak pecahan bahagian. Kekangan waktu membaca menyebabkan pelajar semakin terdesak untuk mengambil sikap endah tidak endah dengan pembacaan novel. Hal ini menyebabkan pelajar tidak memahami persoalan, peristiwa, plot serta pengajaran yang terdapat dalam novel tersebut. Sebagai contoh, novel Di Hadapan Pulau yang memerlukan pelajar menelaah novel ini bagi mendapakan skop-skop pembelajaran tertentu.

2.5.2 Faktor Luaran

Selain daripada faktor dalaman, faktor luaran juga banyak menyumbang kepada kegagalan murid untuk menguasai novel kerana guru sendiri tidak mempunyai kepelbagaian teknik mengajar novel yang menarik untuk memancing minat pelajar. Pengajaran selalunya bersifat sehala sahaja iaiu guru hanya bercakap dan pelajar hanya mendengar serta berdiam diri tanpa apa-apa respon terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berjalan dalam kelas. Suasana kelas yang sungguh membosankan juga akan menggalakkan kecenderungan pelajar untuk tidak menumpukan perhatian kepada proses pengajaran dan pembelajaran kerana tidak ada alat bantu mengajar yang lengkap berkenaan dengan pengajaran novel. Waktu pengajaran untuk subjek ini juga tidak mencukupi kerana pelbagai teknik perlu digunakan untuk menghilangkan kebosanan dalam diri pelajar. Antaranya menggunakan teknik perbincangan, melakonkan satu-satu watak dan mengunakan slied show memerlukan tempoh waktu yang banyak.


2.5.3 Penyelesaian Masalah

Pengajaran novel melibatkan pelbagai tingkah laku pelajar. Oleh kerana kekangan waktu pengajaran novel dan pelbagai permasalahan yang terdapat dalam novel maka membawa kepada kebosanan pelajar melanjutkan untuk analisis dan penghayatan terhadapnya. Perlakuan ini bukan perkara baru dalam pengajaran novel. Bagi mengelakkan berlakunya perkara sebegini beberapa langkah perlu diatur oleh guru sastera. Novel boleh diajar secara ekstensif, intensif atau melalui bacaan bebas. Pendekatan pertama menekankan kuantiti; kedua, menekankan kualiti; dan ketiga, menekankan keperluan serta minat. Ketiga- tiga ini mempunyai kekuatan dan kelemahan masing- masing. Walau bagaimanapun, kebanyakan guru akan mengasaskan pemilihan mereka kepada kesesuaian dan kepelbagaian. Sesuatu perancangan pengajaran kesusasteraan yang baik akan mengambil kira ketiga- tiga aspek berkenaan.


2.5.3.1 Sebelum Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Sebelum memulakan pengajaran, guru- guru perlu memerhatikan tingkah laku muridnya supaya cara pengajaran yang akan digunakan memberi kesan kepada murid berkenaan. Hal ini kerana setiap individu mempunyai tingkah laku yang berbeza. Menurut Atan Long (1978), perbezaan individu memberi kesan yang besar terhadap kepelbagaian tingkah laku dalam bilik darjah. Guru-guru perlu mengenal pasti tingkah laku yang berbeza itu untuk mengetahui masalah asas palajar. Antara implikasi yang ketara ialah:

1. Perbezaan gaya berfikir

Perbezaan gaya berfikir merujuk kepada gaya kognitif dan gaya belajar murid. Kedua- dua gaya terhasil daripada perbezaan individu. Kedua-dua gaya ditunjukkan oleh murid di dalam kelas seperti ada yang lebih selesa belajar menggunakan kemudahan- kemudahan audio dan ada pula yang lebih selesa dengan menggunakan alat visual. Gaya belajar dikelaskan sebagai gaya belajar bergantung, bebas, mengelak, bekerjasama, bersaing dan melibatkan diri. Anda boleh mengenal pasti dengan jelas keenam-enam gaya belajar di atas di dalam sebuah bilik darjah. Parry dan Shipman, dua tokoh yang banyak mengkaji hal- hal yang berkaitan dengan implikasi perbezaan individu telah mendapati sekurang-kurangnya dua puluh perbezaan gaya belajar individu. Oleh itu, guru perlu membuat sedikit kerja rumah meneliti perlakuan setiap murid dalam kelasnya sebelum pengajaran dimulakan.


2. Kesediaan belajar

Murid- murid yang telah dikenal pasti mempunyai perbezaan dalam kesediaan emosi, kesedian kognitif dan kesediaan psikomotor memerlukan pertimbangan sewajarnya daripada guru dalam memilih kaedah dan teknik mengajar. Murid- murid yang pintar biasanya akan bersedia awal untuk belajar berbanding dengan murid yang lembam yang memerlukan ransangan yang lebih untuk menggerakkan mereka belajar. Perlu diperhatikan daya kecergasan dan kestabilan emosi murid sebelum pengajaran dimulakan. Oleh itu, dicadangkan guru membuat pemerhatian awal secara rambang untuk mendapatkan tahap kesediaan murid pada hari itu.


Sementara itu, sebelum menentukan tahap taksonomi teknik yang harus dilakukan oleh guru ialah beliau terlebih dahulu harus mengenal pasti tahap kebolehan serta gaya pembelajaran pelajarnya. Gaya pembelajaran merupakan satu set ciri peribadi yang mempengaruhi seseorang dalam menerima, mengumpul dan memproses maklumat. Gaya pembelajaran pula berkait rapat dengan tahap kecerdasan seseorang pelajar. Gardner (1993) yang membuat kajian tentang teori kognitif telah memperkenalkan satu model kecerdasan yang pelbagai jenis. Model ini menjelaskan bahawa kecerdasan boleh dipelajari, diperkembangkan dan dipertingkatkan. Model ini berdasarkan prinsip- prinsip iaitu:

· Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap perkembangan ada yang berbeza-beza.
· Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap yang cekap jika diberikan galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
· Kecerdasan yang bertindak serentak dalam menghasilkan sesuatu kerja, dan jarang beroperasi secara sendiri.
· Sesuatu kecerdasan boleh dimanifistasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Sembilan kecergasan yang diperkenalkan oleh Gardner terdiri daripada kecerdasan linguistik (kecekapan bahasa), kecerdasan visual/spatial, kecerdasan muzikal, kecerdasan tubuh badan (kenestatik/fizikal) , kecerdasan logik matematik, kecergasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan naturalistik dan kecerdasan emosional/spritual (etika). Berdasarkan sembilan kecerdasan yang dinyatakan tadi, guru boleh merancang dan memilih beberapa teknik atau aktiviti yang sesuai serta serasi dengan gaya pembelajaran dan kecerdasan pelajar. Antara aktiviti atau teknik yang difikirkan sesuai untuk dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran novel yang merupakan salah satu komponan KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ialah seperti berikut:

(a) Kecergasan Linguistik

Individu yang mempunyai kecenderungan dalam kecerdasan jenis verbal-linguistik boleh berfikir dan mampu menggunakan perkataan untuk menyampaikan sesuatu secara berkesan sama ada dalam bentuk lisan atau penulisan. Pelajar akan sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk memanipulasikannya. Pelajar mampu untuk berkomunikasi dengan baik melalui aktiviti mendengar, bertutur, membaca serta menulis. Mereka peka terhadap berbagai- bagai fungsi bahasa terutamanya dari segi kebolehan untuk mencuit perasaan dan emosi. Oleh itu, Pelajar mudah berbahasa bagi melahirkan perasaan dan pendapat, gemar akan makna yang kompleks, mudah mengingati maklumat dan boleh memberi keyakinan kepada orang lain.

Selain itu, Pelajar juga pandai berbicara, gemar bercerita dan tekun mendengar cerita atau membaca. Kecergasan jenis ini menuntut kemampuan seseorang untuk menyimpan berbagai- bagai informasi yang bererti dan berkaitan dengan proses pemikirannya. Contoh-contoh aktiviti ialah mengambil bahagian dalam perbahasan, pemperkayakan perbendaharaan kata, berucap secara formal, menulis karya- karya kreatif, berjenaka dan bercerita. Penyair, penyiar radio, pembaca berita, penceramah, penulis, penyarah dalam bidang sastera adalah pekerjaan yang sepadan untuk mereka yang mempunyai kecergasan verbal-linguistik. Sebagai contohnya, guru boleh mengadakan peraduan mengulas novel. Hal ini bagi menarik minat pelajar untuk memahami novel. Selain itu, guru boleh menyuruh pelajarnya menulis cerita berdasarkan pengalaman hidup. Hal ini bagi menggalakkan pelajar menulis dengan kreatif.

(b) Logik Matematik (penyelesaian masalah)

Kecergasan logikal-matematik adalah kebolehan menggunakan nombor, menaakulan, mengenal pasti pola abstrak, perkaitan, sebab dan akibat. Kebolehan yang dominan di bahagian kiri otak membolehkan seseorang menakul secara deduktif dan dominan serta berfikir secara konseptual dan abtrak. Kecergasan ini menggabungkan kemampuan matematik dengan mudah sahaja dan boleh membuat soalan, menganalisis, mensintesis, mengira dan menggunakan komputer dengan cekap.

Seseorang yang mempunyai kecergasan logikal-matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang besar terhadap kegiatan berbentuk eksplorasi. Mereka sering bertanya tentang berbagai- bagai fenomena yang dilihat oleh mereka yang berlaku di sekeliling mereka. Lazimnya, mereka suka menuntut penjelasan logik dari setiap pertanyaan. Selain itu, mereka juga suka menklafisikasikan benda untuk mudah mengira. Contoh- contoh aktiviti jenis kecergasan ini adalah penggunaan simbol, rumus, urutan nombor, polo abstrak, perkaitan sebab dan akibat (logik), penyelesaian masalah, pengurusan grafik dan pengiraan. Sebagai contohnya melakar bentuk sebagai simbol menjelaskan rumusan. Melakar peta minda, grafik atau carta aliran berdasarkan teks iaitu guru boleh menyuruh pelajar membuat peta minda untuk mengingati pengajaran yang terdapat dalam novel berkenaan. Dalam novel Di Hadapan Pulau kita boleh membuat carta aliran bagaimana keadaan rakyat jelata sebelum, semasa dan selepas peperangan.

(c) Kecerdasan Interpersonal

Kecergasan interpersonal merupakan kemampuan individu dalam mendiskriminasi antara pelbagai petanda interpersonal dan kebolehan untuk berkomunikasi dengan berkesan secara pragmatik terhadap petanda tersebut. Kecergasan interpersonal membolehkan seseorang itu memahami perasaan, motivasi, tabiat dan hasrat orang lain. Selain itu, mereka juga berasa sensitif dan memahami emosi, perasaan, fikiran dan harapan orang lain. Murid-murid yang mempunyai kecerdasan ini akan belajar dengan berkesan melalui pembelajaran, bekerjasama dengan rakan sebaya dan mudah terlibat dengan pergaulan. Sebagai contohya, melalui aktiviti perbincangan rakan sebaya, guru boleh menyuruh pelajar membincangkan tema, watak, latar, teknik plot, dan sebagainya yang terdapat dalam novel yang sedang mereka pelajari. Guru juga boleh mengadakan forum (perkara pokok dalam karya). Hal ini boleh menimbulkan minat pelajar terhadap novel serta mengadakan perbahasan (isu yang ditimbulkan daripada teks). Dengan ini pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan tidak membosankan pelajar.

(d) Kecerdasan Intrapersonal

Kecergasan intrapersonal merupakan kesedaran tentang diri sendiri, berfikiran metakognitif, dan berkebolehan untuk menilai diri sendiri. Orang yang mempunyai kecerdasan intrapersonal yang tinggi selalunya dapat mengenali diri sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Selain itu, orang seperti ini akan lebih menyukai belajar secara bersendirian di perpustakaan dan gemar melakukan renungan yang mendalam dan termenung di persekitaran yang sangat sunyi. Di samping itu, mereka juga mempunyai kepekaan terhadap perasaan.

Contoh yang boleh kita lihat ialah guru boleh menggalakkan pelajar menulis jurnal atau diari refleksi tentang perasaan anda ketika membaca novel Di Hadapan Pulau. Membahaskan (isu yang ditimbulkan dalam teks). Guru boleh juga mengarahkan pelajar membahaskan persoalan keruntuhan akhlak akibat daripada penderitaan pada zaman peperangan yang terdapat dalam novel Di Hadapan Pulau. Dengan ini, para pelajar boleh memberikan idea masing- masing dan ini menjadikan pembelajaran menjadi lebih menarik. Selain itu, guru juga boleh membuat bayangan minda iaitu merenung kisah yang terdapat dalam novel. Hal ini membolehkan pelajar lebih mengingati peristiwa yang terdapat dalam novel berkenaan.

(e) Kecerdasan Emosional/Spiritual

Menurut Goleman (1995), kecergasan emosional adalah kemampuan merasakan, memahami, dan secara selektif menerapkan daya dan kepekaan emosi sebagai sumber tenaga dan pengaruh manusia. Kecergasan ini menuntut perasaan untuk belajar mengakui, menghargai perasaan pada diri dan orang lain serta menganggapnya dengan tepat, menerapkan secara efektif tenaga emosi dalam kehidupan sehari- hari.

Sebagai contohnya guru boleh mengadakan perbincangan tentang nilai dan pengajaran yang terdapat dalam novel yang dibaca serta membahaskan isu-isu dalam karya yang perlu selesaikan oleh pelajar. Guru juga boleh melakukan improvisasi iaitu mengesakan klimaks dalam novel Di Hadapan Pulau ialah apabila Mak Ketong bersama-sama dengan Aziz dan Afidah seolah-olah berputus asa menghadapi penderitaan hidup. Apabila terdengar bunyi kapal terbang dan diikuti bunyi bom, mereka duduk sahaja tanpa bersembunyi di dalam shelter. Pelajar disuruh memberi penjelasan mengapa penyelesaiannya harus begitu. Teknik ini akan menjadikan pelajar sentiasa berfikir dan tidak hanya mengharapkan penjelasan daripada guru sahaja. Hal ini akan menghilangkan rasa bosan belajar novel kerana melibatkan pengajaran dua hala iaitu murid dan guru. Sementara itu, jika pihak sekolah mempunyai peruntukan, mereka boleh menjemput tetamu dalam aksi menjemput pengarang untuk membicarakan moral dan pemikiran dalam karya novelnya. Novel Di Hadapan Pulau penulisnya ialah A. Samad Said. Monolog iaitu menghayati watak dalam karya serta merasai perasaan dan aspek kerohanian watak dalam karya.


2.5.3.2 Semasa Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Peranan guru dalam menghadapi perbezaan individu.

Guru ialah objek penting yang perlu mengetahui dan menangani perbezaan individu. Peranan-peranan yang dilakukan oleh guru adalah seperti berikut:

Mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran

Strategi yang berkesan diperlukan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pada umumnya strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis, iaitu strategi pemusatan yakni pemusatan kepada guru, murid atau pada bahan. Pemilihan strategi pengajaran oleh guru bergantung kepada situasi murid. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa murid.

Memberi peneguhan positif dan peneguhan negetif

Menurut seorang ahli psikologi yang paling masyhur yang terlibat dengan teori perlakuan iaitu B. F. Skinner mengambil berat tentang kemahiran guru menggunakan peneguhan di dalam bilik darjah. Peneguhan positif bermakna guru memberi pujian atau hadiah kepada satu tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid. Sebaliknya, jika tingkah laku yang dibentuk oleh murid tidak dikehendaki atau negetif guru boleh menggunakan peneguhan negetif. Hal ini bagi menimbulkan perasaan dihargai dalam diri pelajar apabila mereka memberikan jawapan yang betul dan guru terus memuji mereka. Hal ini kerana fitrah manusia suka memang dipuji.

Teknik motivasi

Motivasi bermakna penggerak untuk memandu tingkah laku ke arah yang lebih dinamik. Guru mungkin bertemu dengan pelajar yang malas belajar novel. Mengikut Greece, seorang tokoh motivasi, menyatakan setiap tingkah laku individu yang berbeza-beza memerlukan satu teknik motivasi yang berbeza-beza. Seorang pelajar yang malas belajar dengan pelajar yang tidak mempunyai cita-cita memerlukan tenaga penggerak yang berbeza-beza. Oleh itu, guru perlu biasa dan memahirkan diri dengan pelbagai teknik motivasi.

Mempelbagai kedah pengajaran

Pada masa ini terdapat berbagai-bagai kaedah mengajar yang telah dicipta. Antara kaedah mengajar yang biasa diamalkan seperti berkumpulan, kooperatif, inkuiri, perbincangan, sosiodrama, kuliah dan sebagainya. Kaedah-kaedah yang disukai oleh murid adalah berbeza-beza. Contohnya, ada murid tidak suka dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran bersama rakan manakala ada juga murid yang suka kepada bentuk pengajaran dan pembelajaran luar kelas. Guru perlu mendalami kecenderungan kaedah pengajaran yang disukai oleh murid. Walau bagaimanpun, guru pastinya tidak dapat memenuhi permintaan kehendak semua murid tetapi dengan mempelbagaikan kaedah mengajar akan dapat mengurangkan kebosanan murid. Contohnya, dalam mengkaji novel perbincangan amat penting kerana memerlukan pelajar berfikir dan bertukar-tukar idea tentang unsur-unsur yang terdapat dalam novel berkenaan.

Merancang variasi penyampaian

Variasi penyampaian bermakna guru menggunakan segala kebolehan dan bakat sebagai guru semasa berhadapan dengan murid. Guru harus menggunakan semua pencainderanya seperti tepuk tangan, fokus pandangan, gerakan kepala, dan gerakan fizikal guru yang berbagai- bagai. Dengan mempelbagaikan teknik pengajaran mampu menarik perhatian murid- murid yang mengatuk yang secara tiba- tiba akan terjaga apabila mendengar tepukan tangan guru. Murid yang suka mengganggu rakan pasti akan berhenti mengganggu rakan apabila guru bergerak menghampirinya. Guru hendak selalu menukar-nukarkan intonasi suara supaya murid-murid benar-benar terhibur. Banyak kajian menunjukkan murid-murid tidak berminat untuk belajar disebabkan oleh persembahan pengajaran guru tidak memberansangkan. Contohnya, mempelajari novel bagi pelajar sesuatu yang membosankan. Jadi guru harus peka dengan keadaan muridnya. Apabila ada pelajar yang sudah hilang fokus dalam belajar, guru harus menggerakkan fizikal mereka yang berbagai-bagai.

Semasa guru hendak memulakan pengajaran, beliau harus memulakan sesuatu proses pengajaran dengan permulaan yang menarik dan berkesan. Ini penting untuk mewujudkan perasaan seronok terlebih dahulu sebelum para pelajar didedahkan dengan pengkhususan kajian yng lebih mendalam dan memerlukan pemerhatian yang teliti. Konsep pengajaran bermula daripada yang mudah sebelum beralih kepada yang susah. Langkah pertama pengajaran selalunya akan menantukan kejayaan atau kegagalan langkah-langkah berikut. Keberkesanan dan keseronokan dalam mengikuti aktiviti pengajaran besar sekali pengaruhnya kepada pelajar bagi memastikan kejayaan sesuatu pengajaran.

Selain itu, guru seharusnya memberi gambaran awal buku yang bakal dipelajari supaya para pelajar akan lebih tertarik terhadap apa yang terkandung di dalam buku tersebut. Semasa menyampaikan episod ini guru perlu lebih berhati- hati dengan gaya, teknik penyampaian dan penerokaan awalan supaya ia berupaya meransang pelajar supaya membaca dan terus membaca novel tersebut. Pada peringkat awal pengajaran guru hendaklah mengurangkan sedikit penekanan kepada unsur- unsur struktural yang membangunkan novel tersebut. Sebaliknya, bawa pelajar menikmati dan menerokai pengalaman baru terlebih dahulu sebelum memperincikannya daripada satu aspek ke satu aspek yang lain dengan lebih mendalam.

Pada peringkat awal penerokaan novel, guru jangan terus bertindak seperti seorang pakar perubatan yang mengajar dan menjalankan praktikal kepada calon kedoktoran. Pelajar tidak harus terus dibawa mengkaji setiap elemen dan unsur yang membangunkan novel tersebut. Jika kaedah ini dilakukan kepada pelajar, maka guru tersebut memulakan pengajarannya dengan suatu bentuk ‘pembunuhan minat dalam kebutaan pendekatan’. Hal ini kerana pengajaran novel tidak seperti pengajaran puisi yang boleh diberikan sekali gus semua aspek dalam satu atau dua waktu pengajaran, tetapi pengajian yang hendak dilakukan memerlukan jumlah waktu yang panjang. Oleh itu guru harus memecahkan novel tersebut kepada beberapa tahap dan pecahkannya mengikut bab-bab tertentu.

Dalam proses membahagikan peringkat-peringkat perkembangan pengajaran ini, guru-guru boleh menyediakan beberapa sedutan dan pengalaman baru yang diperoleh daripada novel tersebut. Berikutnya, guru boleh memadankan pengalaman baru itu dengan pengalaman sedia ada pelajar supaya mereka sama-sama merasai dan mengaitkan pengalaman dalam novel dengan pengalaman sedia ada mereka bagi membentuk suatu kesatuan pengalaman. Guru-guru juga harus menanamkan kesedaran kepada pelajar berkenaan dengan pengalaman- pengalaman yang begitu banyak yang terdapat dalam novel itu. Hasilnya, novel yang dibaca itu akan memberi gambaran pengalaman baru serta mempunyai sepenuh ataupun sedikit variasi pengalaman pelajar.

Novel-novel yang baik biasanya mementingkan ketepatan dan ekonomi. Setiap episod atau penceritaan (deskripsi) mestilah mempunyai sebab-sebab dan berkaitan dengan kehidupan. Pilih beberapa episod daripada novel tertentu dan bincangkan mengapa ini semua mustahak. Minta para pelajar meneliti novel tersebut dan cari episod- episod atau diskri yang tidak mustahak.



Alat- Alat Bantu Mengajar

Sementara itu, penggunaan alat bantu mengajar juga merupakan salah satu teknik untuk menarik minat pelajar dalam pangajaran novel. Antaranya ialah:

a) Gambar

Guru- guru boleh menggunakan gambar- gambar bagi membantu pelajar menguasai konsep-konsep yang hendak disampaikan kepada pelajar. Gambar ini boleh berupa gambar sekeping atau bersiri. Gambar-gambar ini boleh digunakan dalam pelbagai suasana, umpamanya:
1. Gambar untuk menerangkan sesuatu objek, benda, orang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.
2. Gambar untuk menerangkn sesuatu keadaan atau suasana seperti suasana sedih, gembira dan sebagainya.
3. Gambar untuk menerangkan beberapa peristiwa penting misalnya peristiwa kebuluran semasa perang dan peristiwa menyelamatkan diri daripada akar-askar Jepun dalam novel Di Hadapan Pulau.
4. Gambar menunjukkan perwatakan watak- watak dan tokoh- tokoh penting.
5. Gambar untuk memperlihatkan keadaan di waktu senja, pagi, petang dan sebagainya.

Dalam membuat pemilihan gambar, guru- guru perlu memberi perhatian kepada ketepatan, kesesuaian dan ringkasan.

b) Carta

Carta juga boleh digunakan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Cara ini memudahkan para pelajar untuk mengingati sesuatu urutan peristiwa dan tarikh-tarikh sesuatu kejadian itu berlaku terhadap watak- watak yang terdapat dalam novel yang dibaca. Antara fungsi carta yang boleh digunakan dalam novel ialah:

1. Cara untuk menerangkan keturunan dari awal hingga akhir.
2. Carta untuk menjelakan peristiwa-peristiwa sejarah.
3. Carta untuk memperlihakan elemen-elemen tarikh, masa dan waktu sesuatu peristiwa.
4. Carta untuk mempelihatkan hubung kait watak-watak dalam cerita.
5. Carta untuk menjelaskan rentetan-rentetan peristiwa dan plot.

Dalam membuat pilihan carta, guru-guru perlu memberi perhatian kepada ketepatan dan kesesuaiannya. Carta seharusnya tidak terlalu banyak maklumat kerana ia boleh mengelirukan pelajar.


2.5.3.3 Selepas Sesi Pengajaran dan Pembelajaran

Selepas sesi pengajaran dan pembelajaran, dinamakan sebagai penamat kepada satu penyelesaian sesuatu tugas atau pembelajaran tertentu. Dalam pengajaran dan pembelajaran, penutup boleh dilakukan melalui suatu rumusan atau kesimpulan. Biasanya, ada dua kesimpulan yang boleh digunakan oleh guru untuk menamatkan pengajarannya. Pertama ialah kesimpulan kognitif. Kesimpulan jenis ini merupakan penutup yang dilakukan untuk mengukuhkan segala bentuk pelajaran yang telah dipelajari. Perhatian diberikan kepada butir-butir utama yang telah diketengahkan dan dikuasai. Kesimpulan kognitif haruslah menarik dan sekurang-kurangnya dapat membawa pelajar kepada beberapa kemungkinan dan persoalan- persoalan yang baru.

Contoh kesimpulan kognitif ialah :-
Perkara: cerita- “Cikgu rasa cukulah dahulu setakat ini. Kita semua telah mendengar cerita tadi dan beberapa rakan kamu telah dapat menceritakan semula cerita itu. Siapakah antara kamu dapat memberitahu apakah pengajaran yang kita dapati daripada cerita ini?”

Kedua ialah kesimpulan sosial yang dilakukan untuk memberitahu pelajar satu perasaan pencapaian. Hal ini bermakna, walaupun mereka menemui sebarang kesulitan dalam pelajaran, mereka tetap ingin terus berusaha dan mencuba lagi. Biasanya, penyimpulan sosial digunakan hanya pada akhir sesuatu pengajaran, dengan tujuan untuk memberitahu pelajar yang mereka sudah berjaya dan penghargaan harus diberi kepadanya.

Contoh kesimpulan sosial:-
Perkara: novel- “Kamu semua telah memahami sungguh- sungguh tema dan persoalan yang terdapat dalam novel ini. Hampir semua daripada kita telah dapat memberikan pendapat tentang tema dan persoalan. Tahniah cikgu ucapkan! Dalam pelajaran akan datang, kita semua akan belajar pula nilai dan pengajaran yang terdapat dalam novel ini.”

Dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran, penggunaan kesimpulan kognitif dan kesimpulan sosial adalah perlu kerana dengannya guru dapat:
Menarik dan menumpukan perhatian pelajar kepada perkara-perkara yang telah dipelajari.
Mengukuhkan pembelajaran pelajar.
Membina rasa pencapaian dan rasa dapat menguasai pembelajaran dalam kalangan pelajar.
Menarik perhatian pelajar kepada tamatnya sesuatu peringkat pembelajaran.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru sewaktu hendak membuat penutup. Antaranya penutup mesti memberi makna kepada pelajar, mempunyai perkaitan dengan isi dan objektif pengajaran dan pembelajaran dan bersifat dalam bentuk menilai keberkesanan sesuatu pelajaran. Selain itu, penutup mestilah mencadangkan kegiatan- kegiatan susulan yang akan dijalankan, memberi kesedaran dan mewujudkan rasa puas dan ingin mencuba lagi di kalangan pelajar.



3.0 KESIMPULAN

Walaupun pengajaran dan pembelajaran Komponen Kesusasteraan Melayu (KOMSAS) banyak memberi manfaat kepada pelajar dari segi keseluruhannya, kita juga jangan lupa bahawa tidak semua pelajar mampu untuk menguasai pembelajaran KOMSAS ini di sekolah kerana latar belakang hidup, pengetahuan, minat, personaliti dan konsep kendiri yang berbeza-beza antara satu pelajar dengan pelajar yang lain menyebabkan penerimaan mereka terhadap komponen sastera adalah berbeza-beza.

Melalui aktiviti mengenal pasti masalah yang sering membelenggu pelajar seperti yang dilakukan diatas ini, dapatlah dirumuskan bahawa faktor yang paling ketara kelemahan pelajar dalam menguasai KOMSAS secar keseluruhannya ialah kurangnya pemahaman secara mendalam terhadap pembacaan karya-karya yang berunsurkan sastera ini. Interaksi yang kurang di dalam kelas antara guru dengan pelajar juga boleh dilihat secara tersirat banyak mempengaruhi kegagalan pelajar untuk memperoleh maklumat dengan cara yang berkesan. Pembelajaran teori psikologi pendidikan di universiti bagi bakal-bakal guru sahaja tidak cukup malah pengaplikasian teori psikologi pendidikan di sekolah itu nanti perlu lebih menyeluruh dan bersepadu.

Langkah secara drastik dan tersusun perlu segera dicari terutamanya oleh guru. Kepelbagaan teknik dapat menarik minat serta perhatian pelajar. Pelajar hari ini lebih suka akan pembelajaran yang bersifat kurang formal dan lebih menggalakkan penglibatan aktif mereka. Guru perlu sentiasa berusaha mengubah menu harian mereka kerana pelajar hari ini bukan pelajar yang hanya menerima apa yang diberikan oleh guru. Mereka lebih suka mempelajari sesuatu secara autentik. Walaupun dalam era teknologi maklumat yang canggih ini, guru masih berperanan sebagai model dan fasilitator yang membimbing pelajar untuk mencapai objektf pembelajaran.

Oleh itu, guru harus sentiasa bersedia memenuhi keperluan tersebut dengan mengikuti latihan dalam perkhidmatan secara berterusan bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan mereka selari dengan senario pendidikan semasa yang pesat berkembang. Guru juga harus mempunyai ilmu yang mencukupi untuk disampaikan secara berkesan kepada pelajar, di samping memiliki sikap dan nilai diri yang bersesuaian dengan gaya hidup seorang pendidik alaf baru, ini bermakna guru mesti selalu membaca, menulis, berkarya, membuat kajian ilmiah dan setiasa memenuhi keperluan tersebut supaya komponan sastera di dalam KOMSAS bahasa Melayu ini tidak dianggap sebagai suatu pelajaran yang membosankan. Jika kelas mata pelajaran bahasa Melayu sebagai kelas yang paling menarik, sebagai tempat pelajar meningkatkan minat dan kebolehan membaca, menulis dan mendengar. KOMSAS juga boleh menjadi komponan yang menarik dalam bahasa Melayu.

Selain itu, adalah lebih baik jika guru-guru yang mengajar bahasa Melayu diberi kursus dan pendedahan yang menyeluruh dan berterusan untuk mengajar KOMSAS dalam bahasa Melayu ini. Teks yang dipilih sepatutnya ditukarkan setiap lima tahun mengikut kesesuaian zaman dan cerita serta pemikiran yang relevan dengan apreasiasi agama, bangsa, dan negara.

Komponen Kesusasteraan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu memang boleh dilaksanakan dengan jayanya jika mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. Pelbagai faktor yang mempengaruhi kejayaan mahupun kegagalannya seperti faktor kepakaran guru, kesediaan guru, pentadbiran, alatan, masa, teknik, latar pelajar, minat, dorongan, suasana fizikal, dan lain-lain. Apa yang penting sekarang adalah melaksanakannya mengikut kemampuan dan kreativiti yang terdaya dilakukan oleh semua pihak.
Sesungguhnya usaha untuk memasukkan komponen sastera dalam bahasa Melayu di sekolah adalah satu usaha yang amat wajar, terpuji, tepat dan bijak. Negara yang sedang melangkah ke arah globalisasi, kemajuan, dan Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju akan lebih lengkap dan seimbang jika rakyatnya mempunyai ketamadunan keinsanan yang tinggi dan mendalam dan segalanya ada di dalam kesusasteraan itu.

Kesimpulannya, pengajaran kesusasteraan Melayu penting dalam pembinaan manusia yang seimbang, matang, prihatin dan beretika tinggi. Komponen ini penting kepada pelajar bukan setakat menghafal cerita malahan karya sastera kaya dengan khazanah ilmu, nilai, budaya, pengalaman etika dan lain-lain lagi. Malah, di dalamnya terangkum dunia keilmuan kesusasteraan yang tidak mempunyai penghujungnya sekaligus memancarkan perkembangan tamadun sesuatu bangsa termasuk budaya dan evolusi masyarakatnya.



1 comment:

  1. Salam, saya amat berminat untuk membaca kajian2 oleh pengkaji lain yang telah disebutkan dalam kajian ini. Boleh tak anda kongsi sumber2 tersebut?

    ReplyDelete